Ketika aku melahirkan anak pertamaku, aku seolah – olah baru tersedar akan tanggungjawab besar yang dipikul oleh seorang ibu. Sebelum itu bukanlah aku tak tahu, tapi tak sama rasanya bila kali pertama memegang anak sendiri yang masih basah dengan mekonium dan vernix, memegang tubuh yang hangat yang selama 9 bulan berkongsi badan denganku, perasaannya tak sama. Ketika itu baru aku benar – benar memahami betapa beratnya tanggungjawab itu. Sebuah nyawa!
Mulalah aku memikir – mikirkan perancangan untuk anakku itu. Aku mahu dia menjadi anak yang soleh. Aku mahu dia menjadi anak yang bijak. Aku mahu dia menyumbang kepada agama dan begitulah seterusnya kemahuanku yang tak putus – putus diiringi dengan doa dariku yang juga tak putus – putus.
Kemudian aku diberi rezeki pula dengan anak yang kedua dan ketiga. Syukurnya aku kepada Allah kerana memberi nikmat yang sangat berharga ini. Anak – anakpun semakin membesar. Maka senarai impianku semakin bertambah panjangnya. Aku mahu anak – anakku menjadi orang yang bertanggungjawab dan berguna kepada manusia lain. Aku mahu mereka saling sayang – menyayangi sesama adik – beradik dan sesama Muslim. Aku mahu mereka mempunyai kepercayaan kepada diri sendiri dan sentiasa peduli dengan sekeliling. Aku mahu mereka sentiasa berakhlak dan menghormati orang lain. Kemahuanku sentiasa tinggi dan aku tidak pernah putus memohon kepada Allah di samping usahaku sendiri mendidik mereka semampuku.
Sampailah di satu ketika, Allah mengajarku untuk berubah. Aku menambah lagi impianku kepada anak – anakku. Aku mahu mereka menjadi pejuang Islam, menjadi mujahid yang gagah dan berani untuk menumbangkan musuh Islam. Aku mahu mereka menjadi penegak Syiar Islam dan syahid di jalan Islam. Dan di ketika itu, zaman jahiliyah aku semakin berlalu. Perceraian yang aku tempuhi banyak mengajar aku erti menjadi seorang hamba Allah. Siapalah aku, aku hanyalah manusia yang banyak membuat dosa. Aku tidak mampu memiliki suatu apapun hatta sehelai rambut di tubuhku melainkan dengan izin Allah. Untuk merealisasikan impianku terhadap anak – anak, aku sendiri perlu berubah dan berani menghadapinya. Kejayaan tidak mungkin datang dengan mudah. Cita – citaku tak mungkin tercapai tanpa aku mengusahakan sesuatu semestinya dengan izin Allah. Aku mula mengorak langkah, mengambil keputusan yang drastik untuk berkahwin lagi setelah 2 tahun bercerai. Aku memilih suamiku kerana aku percaya dia mampu membimbingku dan juga mungkin inilah peluangku untuk melihat impian terhadap anak – anak menjadi kenyataan.
Allah mengajarku lagi. Sesungguhnya aku ini hanyalah insan yang lemah yang tak mampu hatta mengelipkan mataku tanpa izin dari Maha Pencipta. Allah mengajarku untuk sedar bahawa sebagai hambaNya, aku tidak memiliki apa – apa sekalipun di tubuhku, apatah lagi memiliki anak – anakku itu. Dia mengujiku dengan cara menarik nikmat memiliki anak – anak dariku. Hancur impianku, hilang cita – citaku yang panjang berjela itu, bab perasaan tambahlah pula. Ketika itu, aku mendapat tazkirah yang amat besar dari Ilahi. Allah memberiku pengajaran yang terlalu amat berharga yang aku pegang dan ingat sampai bila – bila.
Sejak itu aku mula benar – benar faham maksud ‘hamba Allah’. Sebagai hamba Allah, tugas aku di dunia ini hanyalah ubudiah, iaitu menyembah Allah dan hanya Allah semata – mata. Jangan terpesong dari matlamat dan tugasan itu. Anak – anak bukanlah ‘sembahan’ku. Aku tak boleh menyamakan apatah lagi melebihkan cintaku kepada anak – anak berbanding dengan Allah taala. Inilah yang aku terlepas pandang. Dan aku yakin, ramai ibu – ibu di Malaysia ini sama pemikiran seperti kuitu. Selama ini, aku bersusah – payah membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang sehingga tanpa sedar cintaku terhadap mereka hampir menyamai atau mungkin ada ketikanya melebihi cintaku kepada Rabbku. Jahilnya aku!
Lalu Allah mengetuk kepalaku dengan menarik nikmat memiliki anak – anak itu dariku. Kini mereka berada jauh dariku. Aku tersedar salahku. Allah yang Maha Esa, Dia Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa. Dia boleh melakukan apa saja kepada hamba – hambaNya. Dia boleh memberi dan menarik kembali nikmat itu. Dia juga Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Dia tidak akan mensia – siakan doa hamba – hambaNya yang ikhlas berdoa kepadaNya. Aku menganggap tamparan dari Allah itu sebagai satu hikmat yang amat bernilai pengajarannya buatku. Aku tak nafikan, tamparan ini juga kerana dulu aku hidup di dalam keadaan yang jahil. Aku tidak mencari Islam sedangkan sungguh mudah untuk mendapatkan ilmu agama di zaman teknologi di hujung jari ini. Aku tak mengamalkan Islam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul kepadaku. Itu salahku. Aku sangat – sangat bersyukur bila Allah membuka jalan buatku untuk aku semakin mendekatiNya. Aku sangat – sangat bersyukur bila aku menemui seorang suami yang benar – benar jujur dan istiqamah dalam mempraktikkan kehidupan sehariannya berlandaskan Al-quran dan Sunnah. Nikmat Iman dan Islam semakin aku rasai. Dan aku sangat membenci cara kehidupanku yang lalu. Maka nikmat Allah apa lagi yang aku cari?
Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka [HR Bukhari Muslim]
Ada yang bertanya kepadaku, tidakkah aku sedih bila aku terpaksa berpisah dengan anak – anak yang mana disebabkan merekalah aku masih berjuang meneruskan kehidupan selepas perceraian? Sudahlah terpaksa bercerai, kemudian kini anak – anak pula tiada di depan mata? Ketahuilah sesungguhnya kasihku kepada anak – anak tak mungkin hilang namun kini aku mengerti prioriti hidupku sebagai hamba Allah dan aku senantiasa yakin dengan janji Allah yang akan menjagaku jika aku menjaga tanggungjawabku sebagai seorang hamba Allah. Aku yakin dengan Allah dengan sesungguh yakin. Aku yakin Allah akan menjaga mereka malah dengan lebih baik dari jagaanku sendiri. Aku yakin Allah akan menunaikan doa – doa yang aku pinta selagi mana aku sendiri mesti berusaha menjadi Muslimah yang terbaik seperti yang diajarkan oleh Allah dan Rasul. Soal bila dan bagaimana malah adakah impian itu akan tercapai, maka itu adalah urusan Allah dan Dia yang Maha Mengetahui. Yang perlu aku fikirkan dan lakukan sekarang adalah sentiasa optimis dengan janji Allah kerana itulah pemikiran seorang yang mukmin.
Sungguh mengagumkan perihal mukmin. Sesungguhnya semua hal yang dialaminya adalah baik. Sifat itu tidak dimiliki siapapun kecuali oleh seorang mukmin. Jika ia mendapatkan hal yang menyenangkan, ia bersyukur. Maka hal itu menjadi suatu kebaikan baginya. Jika ia ditimpa hal yang menyakitkan, ia bersabar. Maka hal itu menjadi suatu kebaikan baginya. [HR Muslim]
Dan sungguh, kini Allah sudah memberi ganti yang lebih baik dari yang dahulu. Bantuan Allah datang dengan cara yang tak disangka – sangka selagi kita beriman kepadaNya dan sentiasa bersangka baik kepadaNya…
Maka hilanglah segala raguku, keluh – kesahku, kesedihanku. Biarlah, walau ramai yang tak mengerti apa sebenarnya yang terjadi, aku tak kisah kerana sememangnya aku tak mencari keredhaan manusia. Aku hanya mengharapkan keredhaan Allah taala. Ya Allah, bantulah aku…
Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. [HR Bukhari Muslim]
No comments:
Post a Comment