Sunday, July 10, 2011

Kenapa menyusahkan diri?



Mak hairan kenapa aku sanggup menyusahkan diri sebegini. Kenapa aku sanggup mengorbankan hati dan perasaan. Kenapa aku sanggup meninggalkan orang – orang yang tersayang. Kenapa?

“Kenapa kau buat begini, Ana? Kau tak kesian ke kat Mak, kat budak – budak tu? Kenapa kau sanggup tinggalkan kehidupan kau yang selesa dan mencari jalan yang susah? Kenapa kau sanggup pilih derita dari kesenangan?”

“Mak...” aku mula berbicara. “Mak ingat waktu Ana sekolah menengah dulu?” Mak mengangguk. “Mak tahukan keputusan peperiksaan Ana yang paling cemerlang antara semua adik – beradik? Mak ingatkan? Setiap tahun Ana mendapat keputusan yang baik. Alhamdulillah. Keputusan SRP baik, keputusan SPM juga baik. Adakah Ana dapat keputusan yang baik itu dengan hanya goyang kaki? Bukankah Ana sanggup bersusah – payah bersengkang mata di waktu malam untuk ulangkaji pelajaran? Ana lupakan TV, Ana lupakan tidur hanya untuk study bersungguh – sungguh. Dan adakah Mak melarang Ana buat begitu, atau hairan kenapa Ana buat begitu pada waktu itu?Kerana Mak tahu dan Mak mahu Ana berjaya di dalam peperiksaan. Bukankah begitu?”

Mak hanya diam mendengar...

“Begitu jugalah sekarang Mak.. Malah lebih penting lagi sekarang. Sekarang ni bukan lagi ujian peperiksaan. Tapi sebaliknya ujian kehidupan. Kenapa pula Ana tak sanggup bersusah – payah melupakan kesenangan dan so-called kebahagiaan demi meraih sesuatu yang lebih indah dan lebih kekal kelak? Bukankah itu pelaburan yang terbaik yang boleh kita lakukan? Kalau dulu Ana sanggup bersengkang mata untuk study, maka kenapa sekarang Ana tak sanggup pula bersusah – payah untuk mendapatkan syurga? Mana mungkin kita hanya mahu berangan – angan untuk ke syurga tapi tidak mampu menempuh susah – payah untuk ke sana? Kalaulah untuk mendapat keredhaan Allah, Ana perlu berkorban segalanya, maka itulah yang akan Ana lakukan Mak. Malah bukan Ana seorang, kalau boleh Ana mahu semua orang masuk ke syurga. Nak masuk syurga tak mungkin dengan bersenang – lenang. Tak mungkin dengan duduk goyang kaki. Tak mungkin tanpa perlu mengorbankan hati, perasaan dan nafsu, malah harta dan nyawa!”

Mak diam membisu... mungkin sukar baginya untuk menghadam kata – kataku. Kata – kata yang ikhlas dari lubuk hatiku. Aku tak mengharapkan pengiktirafan dunia, aku tak mahukan keredhaan manusia. Yang aku cari hanyalah pengiktirafan dan keredhaan Allah semata – mata. Bantulah aku, Mak. Marilah kita sama – sama menuju ke syurga!

No comments: