Sunday, December 26, 2010

Rawatan Alternatif untuk Penyakit Asma/Lelah

Menurut rawatan alternatif menurut Islam, penyakit lelah (atau asthma) dan sesak nafas (dyspnoea) boleh dirawat dengan menggunakan bawang merah. Cara - caranya:

1. Potong bawang merah sehingga halus.
2. Campurkan sesudu kecil madu.
3. Berikan kepada pesakit campuran tadi sebanyak 4 sudu kecil setiap selang 2 jam selama sehari.
InsyaAllah, dengan izin Allah, penyakit lelah tersebut akan sembuh. Selamat mencuba!

Friday, December 03, 2010

Rahmat di sebalik musibah

Setiap musibah yang berlaku, sama ada kecil atau besar, pastinya mempunyai hikmah tersembunyi.

Pendakwah bebas, Ustaz Emran Ahmad berkata, sebagai hamba Allah, musibah yang terjadi tidak harus dikesalkan apatah lagi mempamerkan sikap sesalan pada yang Esa.

Menurutnya, Allah tidak turunkan musibah tanpa sebab kecuali ada perkara-perkara tertentu yang telah dilakukan oleh manusia di kawasan berkenaan.

“Cuba fikir sejenak, apakah perkara yang telah kita lakukan sehingga Allah turunkan musibah sedemikian?

“Bila sudah temui jawapan, jadikan perkara yang tidak disukai Allah itu sebagai satu pengajaran untuk memperbaiki diri menjadi yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat yang berdepan dengan bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya wajar menganggapnya sebagai ujian daripada Allah.



“Pada mangsa banjir atau sesiapa sahaja, mereka mesti percaya pada qada dan qadar. Terima apa yang berlaku dengan reda.

“Jangan cuba memporak-perandakan keadaan dan menyesali apa yang terjadi, sebaliknya banyakkan berdoa kepada Allah agar keadaan banjir, sama ada sedang atau akan berlaku kelak tidak mendatangkan kerosakan besar, kemudaratan dan memusnahkan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kita diuji dengan pelbagai musibah termasuklah banjir besar, ucapkan kalimah istirja’ iaitu ‘innalillahi wainaa ilaihi raajiuun.

“Ini adalah kalimah kembali pada Allah yang bermaksud "kami ini adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada Allahlah kami akan dikembalikan".

“Kalimah ini dibaca ketika kita diuji. Dalam masa sama, bacalah setiap masa kalimah istighfar,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Emran menasihatkan umat Islam agar mengucap syukur kepada Allah sekiranya Allah menguji seseorang itu dengan kesenangan dan kekayaan.

“Sebaliknya jika Allah uji kita dengan kesusahan, kemiskinan dan kepayahan, hendaklah kita banyakkan sabar dalam menempuhi setiap ujian daripada-Nya,” katanya.

Link:
http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8441830.asp

Wednesday, December 01, 2010

SALAM BAITULLAH - MENJEJAK HAJI MABRUR





http://www.rtm.gov.my

http://www.rtm.gov.my/new/bm/sub_tv1.php?pg_ID=139

Thursday, November 18, 2010

Asas Pembinaan Akhlak




Akhlak yang baik dibina dengan:
1)Ilmu
2)Keazaman dan ikhlas
3)Mujahadah
4)Taubat
5)Sabar – inilah tunjang akhlak
Sesungguhnya Islam itu dibina dengan kesabaran...

Keratan ringkas kelas Ust Emran di Shah Alam, 19 Nov 2010

Thursday, November 04, 2010

Lagi tips merawat perasaan cemburu




Hasil pengalaman sendiri yang seciput cuma dan pemerhatian sekeliling, berikut merupakan sedikit lagi cara – cara untuk mengawal perasaan cemburu. Tapi ini tidak bermakna yang cuma cara berikut saja yang berkesan, sebaliknya bergantunglah kepada kekuatan yang ada pada diri sendiri samada untuk menerima atau menolaknya. Pastinya setiap dari kita mempunyai cara – cara yang tersendiri untuk mengawal perasaan kita. Yang penting, apa saja yang kita lakukan, lakukanlah kerana Allah Taala semata – mata.

1/ Jangan lupa untuk membaca azkar pagi dan petang (ada dalam Hisnul Muslim), kerana ia boleh menjadi benteng daripada bisikan – bisikan syaitan yang senantiasa cuba untuk membawa kita ke neraka. (An-Nisa: 118-119).

2/ Bila perasaan cemburu melanda, sentiasa ingatkan diri bahawa azab di akhirat kelak adalah lebih besar berbanding dengan sedikit perasaan luka di hati pada hari ini. Pada hari akhirat kelak, kita tiada masa untuk memikirkan hal remeh – temeh seperti perasaan cemburu, sakit hati ataupun kecewa. Sebaliknya masing – masing hanya sibuk memikirkan nasib sendiri samada dimasukkan ke syurga ataupun dihumbankan ke neraka. Jadi, perlukah kita terlalu melebih – lebihkan perasaan cemburu yg ada pada diri, sedangkan nasib kita di akhirat kelak lebih penting untuk difikirkan lalu hendaklah kita cepat – cepat beristighfar dan bertaubat serta segera melakukan amalan – amalan soleh dengan ikhlas agar diterima oleh Allah Taala sebagai bekalan kita untuk hari akhirat.

3/ Jika cemburu masih menebal, maka sibukkanlah diri dengan segala aktiviti seharian yang dapat menukarkan fokus kita daripada hanya memikirkan perasaan cemburu itu. Lakukan kerja di pejabat, kerja di rumah, mengasuh anak atau apa – apa saja asalkan kita boleh melupakan perasaan cemburu itu. Jika kita sibuk melakukan hal – hal lain maka dengan sendirinya kita tiada masa utk duduk menggigit jari dan hanya asyik memikirkan soal hati dan perasaan yang tak ke mana.

4/ Sentiasa ingatkan diri yang syaitan akan terus mencuba untuk menggoda kita dan janganlah memberi ruang dan peluang kepada syaitan untuk menyesatkan kita apabila kita mula lelah dengan rasa cemburu. Bila jiwa kita lemah, maka syaitan akan bergembira dan mengambil kesempatan itu untuk menarik kita ke arah neraka. Maka kuatkan hati dan berazam dengan sesungguh azam untuk mengalahkan syaitan durjana. Bila kita dapat mengawal perasaan cemburu itu, maka bergembiralah kerana di saat itu juga si syaitan itu akan merasa kecewa. Biarlah kita menang 1-0 dengan syaitan dan jangan mengaku kalah kepadanya kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah.

5/ Sentiasa berdoa kepada Allah agar dikuatkan hati dan agar dihilangkan perasaan cemburu yang ada, sebagaimana kisah Rasulullah saw ketika melamar Ummu Salamah r.a.

Allahua'lam bisowwab.

Wednesday, November 03, 2010

Tips menghadapi perasaan cemburu


Sekarang mari kita belajar cara - cara nak mengatasi sifat cemburu ni..

1. Terima hakikat bahawa sifat cemburu kita adalah masalah kita sendiri & kita bertanggungjawab mengatasinya sendiri. Fikirkan tiada siapa yg boleh membuat kita cemburu. Kita boleh mengawal fikiran dalam apa bentuk situasipun. Ingat, pilihan terletak pada diri sendiri, bukannya orang lain.

2. Hormati perasaan pasangan kita. Seperti kita, dia juga mempunyai hak untuk menilai kecantikan wanita/lelaki lain. Jika kita dapat melakukannya, kita sudah dapat mengatasi sifat cemburu.

3. Tiada siapa suka memikirkan pasangan mereka curang. Kalaupun ini terjadi, teruk sangatkah kesannya kepada kita? Kita mungkin sedih, kecewa & marah untuk sementara waktu sahaja TETAPI TIDAKLAH SAMPAI MATI. Lambat laun kita akan dapat mengatasinya juga.

4. Bagi diri sendiri masa untuk mengatasinya. Jika kita memang seorang yang cemburu, usah berharap kita boleh berubah dalam masa yang singkat.

5. Tuliskan apa perasaan kita bila kita merasa cemburu. Marah? Tidak tentu arah? Menangis? Geram? Rasa malu? Rasa bersalah? atau bertindak kasar? Adakah kita ingin meneruskan hidup kita dengan cara ini? Jika jawapannya tidak, maka cepat-cepatlah berubah.

6. Cuba fikirkan bagaimana cemburu kita meledak. Adakah adil kita menyisihkan pasangan kita daripada orang lain? Teruk sangatkah dia bila dia senyum pada seorang wanita/lelaki lain? Tidakkah kita sendiripun pernah tersenyum pada wanita/lelaki lain?

7. Ramai orang yang mempunyai perasaan & masalah cemburu suka menyalahkan org lain. Mereka kerap mencari kesalahan orang lain & mahu pihak yang satu lagi mengubah sikap tetapi dalam masa yang sama tidak melihat kesalahan sendiri. Terima hakikat bahawa kita manusia sebenarnya tidak sempurna.

8. Bagaimana eratpun hubungan anda berdua, terima hakikat bahawa masih ada lelaki/wanita lain yang lebih cantik/tampan, bijak & baik. Jadi janganlah cuba mengongkong pasangan kita. Habiskan masa bersamanya dengan penuh kegembiraan. Jangan biarkan hubungan kita goyang dengan imaginasi kita yang karut.

9. Bina keyakinan diri. Kita mungkin berasa tidak selamat jika selalu bergantung kepada pasangan. Luaskan persahabatan dengan orang lain.

10. Jika rasa cemburu kita sedang memuncak, bayangkan apa yang akan berlaku jika kita melepaskannya kepada pasangan kita. Contohnya jika pasangan dinaikkan pangkat & mempunyai seorang setiausaha yang cantik, kita patutnya ucapkan tahniah & bukannya menyindir. Jika dia ingin curang dengan sesiapa, dia tetap akan buat tanpa mengira samada kita cemburu ataupun tidak. Cemburu tidak akan dapat menghalang mereka.

Dari:
http://lorenzo3036.multiply.com/journal/item/144

Cemburu?




Oleh NAJIBAH HASSAN


SELAGI ada bulan dan bintang, dan selagi makhluk ciptaan Tuhan yang paling istimewa ciptaan-Nya yang bernama manusia wujud di dunia, selagi itulah perasaan cemburu tidak akan pupus.

Malah, sejarah juga telah membuktikan permulaannya. Pembunuhan manusia pertama di dunia berlaku gara-gara cemburu.

Kecemburuan anak lelaki sulung Nabi Adam, Qabil meluap-luap terhadap adik lelakinya, Habil. Habil dibunuh hanya kerana berkahwin dengan Aqlima.

Tanpa mengira latar belakang atau status sosial, lazimnya, cemburu wujud apabila lahir perasaan `pemilikan' seseorang terhadap yang lain.

Lazimnya, cemburu sinonim sebagai ukuran darjah cinta atau kasih sayang terhadap pasangan masing-masing.

Sebetulnya, jika dilihat dari aspek yang luas, cemburu tidak hanya terikat pada hubungan antara suami isteri atau pasangan kekasih.

Malah, ia juga wujud di kalangan ahli keluarga, seperti adik-beradik atau anak-anak. Tidak kurang yang beranggapan, cemburu seolah-olah menjadi hak eksklusif kepada wanita. Hakikatnya tidak.

Baik lelaki, mahupun wanita, ia wujud dalam diri setiap daripada kita. Kegagalan mengendalikan tingkah laku ini, menyebabkan ia sering kali dikelaskan sebagai sesuatu yang negatif.

Ia juga sering kali dilabel sebagai sebahagian `watak hitam' yang menghiasi personaliti seseorang. Dalam budaya Melayu, tingkah laku cemburu ini secara tidak langsung, diterjemahkan dalam cerita seperti Bawang Putih Bawang Merah, Lela Manja, Panji Semerang dan sebagainya.

Sekalipun, ketiga-tiga cerita ini memaparkan kisah yang berbeza, namun mesej dan tema yang ingin disampaikan adalah sama. Cemburu.

Watak-watak `cemburu' dalam persengketaan perkahwinan poligami, di kalangan orang bangsawan dan terhadap anak tiri semuanya menggambarkan watak hitam yang menakutkan.

Kesan cemburu juga bukan sedikit. Selain mengundang konflik yang tidak berkesudahan, kegagalan mengawal tingkah laku ini boleh mengundang tragedi.

``Cemburu boleh merangsang seseorang itu menjadi agresif sama ada secara lisan atau fizikal ke atas pasangannya atau orang ketiga.

``Serangan fizikal ini boleh membawa kepada kecederaan atau tragedi seperti kematian atau kemusnahan harta benda,'' kata Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Mahzan Musa.

Menurut beliau, cemburu juga menyebabkan individu terbabit sering terhimpit dengan konflik dalaman dan dengan orang lain.

Jelas beliau, jiwa orang yang cemburu ini sentiasa bergolak, tidak tenang dan sentiasa berperang dengan diri sendiri.

Cemburu adalah satu bentuk ancaman psikologi terhadap hubungan dalam perkahwinan atau percintaan yang terjalin, akibat kehadiran orang ketiga.

Selain itu, cemburu juga dilihat sebagai satu bentuk persaingan. Dalam persaingan, ada pihak yang kalah atau menang.

Apabila seseorang merasakan `pasangan'nya bakal ditawan oleh pihak ketiga, dan keadaan ini sukar dikendalikan, individu terbabit akan berasa terancam.

``Bagaimanapun, hubungan ketiga ini boleh jadi wujud atau hanya `bayangan' minda individu terbabit.

``Biasanya, rasa cemburu yang tidak berasas ini kesan daripada syak wasangka terhadap pasangannya,'' katanya.

Menurut Mahzan, cetusan rasa cemburu yang berlaku antara suami isteri atau pasangan kekasih adalah kerana `nilai' hubungan tersebut.

Atas sebab itulah, pasangan atau kekasih yang dianggap sebagai tempat bergantung, teman, sahabat, rakan yang membentuk ikatan ini dipastikan tidak akan terlepas atau jatuh ke tangan orang lain.

Mahzan memberitahu, cemburu juga bukan sekadar cetusan perasaan. Ia adalah gabungan interaksi cetusan minda, tindakan, sikap dan niat seseorang.

Ia dikelaskan sebagai satu tingkah laku sosial yang tercetus dalam situasi-situasi perubahan dalam kehidupan seharian.

Cemburu, mampu mempengaruhi pemikiran, perasaan dan tindakan seseorang. Selain itu, ia juga merobah aspek fisiologi tubuh seperti peningkatan degupan jantung, pernafasan dan tekanan darah.

Bagaimanapun, rasa cemburu yang wujud ini menyebabkan individu terbabit melalui satu tindak balas psikologi.

Antaranya menyalahkan diri sendiri, membandingkan diri dengan pihak ketiga dan melihat imej diri tidak sehebat orang ketiga.

``Pelbagai reaksi emosi yang muncul seperti rasa marah, derita, takut, sedih, geram dan sebagainya.

``Dari aspek fizikal, mereka akan berpeluh, menggigil menahan kemarahan, sesak nafas, susah tidur, hilang selera makan dan mengalami kemurungan,'' ujarnya.

Perbezaan tingkah laku cemburu antara jantina

Secara umum, dari aspek keamatan atau kekerapan cemburu ini di antara lelaki dan wanita tidak banyak bezanya.

Lelaki

Biasanya, mereka akan menafikan atau mengelak apabila timbul rasa cemburu.

Tetapi, lelaki yang kecewa atau terguris kerana perasaan cemburu ini lebih cenderung untuk meluahkan rasa marah.

* Lelaki akan bertindak ganas secara fizikal apabila cemburu. Tindakan ganas ini lebih cenderung dilakukan kepada orang ketiga

* Dalam berdepan dengan cemburu, lelaki bertindak untuk mengawal dan mengekalkan harga diri.

Wanita

* Pendekatan yang digunakan oleh wanita apabila timbul rasa cemburu ialah dengan meluahkannya

* Wanita yang kecewa atau terguris kerana cemburu biasanya akan menangis, bermasam muka dan kelihatan resah gelisah atau gusar. Mereka juga akan mendera secara lisan

* Wanita lebih emosional dan bertindak balas terhadap orang ketiga. Ketika cemburu, wanita sedaya upaya berusaha untuk mengekalkan hubungan.

Kajian mendapati, wanita mencetuskan cemburu dengan lima tujuan:

* Mendapatkan ganjaran atau habuan seperti perhatian

* Menguji kekuatan hubungan mereka

* Membalas dendam kerana kecurangan pasangan

* Memperbaiki harga diri

* Menghukum pasangan.

Jenis-jenis cemburu

Normal

Cemburu kerana wujudnya ancaman sebenar terhadap hubungan intim mana-mana pasangan kerana kehadiran orang ketiga.

Khayalan

Ia adalah cemburu yang tidak normal. Individu terbabit mempercayai secara berterusan kononnya wujud ancaman daripada pihak ketiga.

Jika ia berlanjutan, individu terbabit perlu dirujuk kepada doktor atau pakar psikiatri. Mereka juga perlu menjalani kaunseling.

Melampau

Jenis yang sukar dikawal. Ia didapati hampir sama dengan mereka yang mengalami post traumatic stress. PTS ini biasanya dialami mangsa penderaan emosi, fizikal dan seksual.

Sifat cemburu yang keterlaluan atau terlampau boleh menimbulkan kesulitan.

Ada pasangan yang sanggup mengawal atau sering mengintip pergerakan pasangannya. Mereka berusaha mencari bahan-bahan bukti sebagai tanda kecurangan pasangan dan sebagainya.

Ini dikelaskan sebagai satu penyakit. Bagaimanapun, individu tersebut tidak menyedari kerana merasakan perbuatannya sesuatu yang normal.

Golongan ini, memerlukan rawatan jika ia sampai ke tahap yang menyulitkan kehidupannya sendiri dan pasangan.

Tip atasi cemburu

* Tidak bertindak melulu dan kawal diri

* Selidik sesuatu dengan fikiran rasional

* Tidak memendam perasaan seorang diri

* Luahkan rasa yang terbuku di hati dengan seseorang yang dipercayai

* Berbincang dan bersemukalah dengan pasangan

* Berjumpa pakar kaunseling yang arif berhubung selok-belok rumah tangga.

Sunday, October 31, 2010

DURIAN



Tahukah anda, kajian menunjukkan bayi yang menyusu susu ibu didapati lebih mudah untuk menerima pelbagai jenis dan rasa makanan pejal (bila tiba masa 'weaning') terutamanya sayur – sayuran berbanding dengan bayi yang diberi susu formula sahaja. Salah satu penerangan untuk fenomena yang menarik ini adalah, tidak seperti bayi yg hanya minum susu formula sahaja yang mana mereka cuma berpeluang merasai hanya sejenis (monotonous) perasa susu, bayi yang menyusu badan adalah lebih bertuah kerana mereka terdedah dengan pelbagai perasa yang terdapat di dalam susu ibu. Subhanallah.... hebatnya kuasa Allah Yang Maha Pencipta!
Hmm... kalau anda inginkan anak anda mudah makan durian bila tiba masanya, bolehlah mencuba untuk makan durian ketika fasa menyusukan anak itu... susu ibu perasa durian :)

Rujukan:
J.A. Mennella, Flavour Programming During Breastfeeding; Adv Exp Med Biol. 2009;639:113-20.

Monday, October 25, 2010

Siapa yang keliru?

Hari ini, saya merasa sangat sedih. Kekeliruan di dalam memahami Islam sangat kritikal di dalam masyarakat kita. Yang bathil dikatakan hak, yang hak dikatakan bathil. Tanggungjawab seorang bapa diserahkan kepada si ibu. Tanggungjawab seorang isteri diserahkan kepada pembantu rumah. Tanggungjawab seorang bapa kandung diserahkan kepada bapa tiri. Lalu terjadilah masalah dalam institusi keluarga. Yang sedihnya, orang yang tak patut dipersalahkan, lalu dia dipersalahkan. Manakala orang yang sebenarnya bersalah, bergembira berlepas tangan. Benarlah kita di hujung zaman....

Tuesday, October 12, 2010

Hubungan Sabar dan Solat

* kenapa Allah menyebut sabar dengan solat dan ianya berat kecuali kpd org yg khusyuk
* kenapa org yg tak khusyuk susah nak solat
* org yg tak sabar biasanya org yg tak khusyuk dalam solat
* sbb kesabaran tu bukannya kali pertama cuba boleh terus dapat
* harus mencuba berkali – kali barulah dpt khusyuk
* bagi org yg malas berusaha, dia hanya mencuba sekali lalu putus asa untuk mencuba, kemudian terus solat walaupun tak khusyuk
* sedangkan bagi org yg sabar, dia akan mencuba sekali lalu tak khusyuk, maka dicuba lagi lalu masih tak khusyuk, maka dicuba lagi dan lagi sehingga sepanjang hayatnya terus mencuba untuk mendapat khusyuk dlm bersolat
* Spt kata Prof Hamka di dalam Tafsir Al Azhar “Ada orang yang mencuba untuk khusyuk dalam solat dan usahanya itu memakan masa selama 17 tahun.”
* Dia telah mencuba selama 17 tahun barulah dia khusyuk, maka inilah orang yang sabar.
* Al Baqarah: 45-46.


**keratan ringkas dari Kelas Tafsir AQ baru - baru ini. Semoga bermanfaat.

Friday, October 01, 2010

Sayangku mengapa kau menangis?



Banyak benda yang orang perempuan sayang. Mereka sayangkan suami mereka, ibubapa, adik beradik, rumah, harta benda, barang perhiasan, kasut dan juga beg tangan. Namun, ada satu lagi benda yang mereka sayangi dan perhubungan kasih sayang ini amat sukar untuk diceritakan dengan kata – kata. Itulah hubungan kasih sayang dengan anak – anak. Menyayangi anak – anak ada sedikit perbezaannya, mungkin kerana susah payah ketika mengandungkan mereka dan juga ketika melahirkan mereka. Mungkin juga kerana susah payah menjaga mereka sewaktu kecil. Hubungan antara ibu dan anak itu sesuatu yang 'special'.

Anak – anak ini ada pelbagai ragamnya. Ada yang pendiam dan mudah menurut kata. Ada pula yang suka bergelak ketawa dan periang. Ada juga yang suka menangis. Sebagai seorang ibu, kita amat risau bila anak mula menangis. Sayangku, mengapa kau menangis? Ada banyak sebab anak – anak itu menangis. Bagi bayi yang kurang dari 6 bulan umurnya, agak mudah untuk menelah mengapa mereka menangis; samada basah (buang air kecil atau besar), mengantuk, lapar mahupun tidak selesa. Itu saja. Periksalah satu persatu, insyaAllah kita pasti mengetahui puncanya. Namun, jika semua sudah diperiksa dan ditangani, dan anak masih juga menangis, mungkin dia dalam kesakitan. Jika kelakuannya nampak berubah dari biasa, menjadi lembik dan mungkin tidak mahu menyusu seperti biasa, eloklah dibawa berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Namun bila anak semakin menginjak usianya, ketika dia mula bijak mengenal ibubapanya dan suasana di sekelilingnya, maka lebih banyak sebab untuk dia menangis. Keadaan menjadi semakin sukar bila dia masih belum pandai bercakap (iaitu sekitar usia 1 hingga 3 tahun) di mana dia mempunyai sebab tertentu untuk menangis tapi amat sukar untuk kita memahaminya lantaran jurang bahasa yang terbentuk antara kita dan dia.

Adakah sayangku merasa sedih? Merasa kesepian? Merasa ditinggalkan? Merasa tidak disayangi? Merasa cemburu kepada si adik yang lebih kecil? Merasa diketepikan? Perasaan – perasaan sebegini yang mula wujud di dalam diri mereka, sukar sekali untuk dinyatakan dengan perkataan. Maka menangislah caranya. Itulah caranya mereka hendak menyatakan rasa hati mereka.

Anak – anak itu suci, apa yang mereka rasa, itulah yang cuba dizahirkan dengan cara mereka yang tersendiri. Mereka tidak mempunyai perasaan dendam, busuk hati, ego, mahupun benci. Apa yang mereka ada dan rasa semuanya adalah fitrah. Anak – anak biasanya suka menyayangi, prihatin, sangat curious dengan persekitaran mereka dan suka mencuba. Bukankah kita juga begitu sewaktu kita kecil dahulu?


Tak kisahlah sebenarnya apa juga sebab mereka menangis, yang penting, sebagai ibu yang bijak, kita harus pandai menangani keadaan mereka ketika itu. Lagipun, apalah gunanya si ibu kalau tak pandai memujuk anak? Tapi sebelum itu, pastikan dahulu yang mereka menangis bukanlah disebabkan kesakitan seperti luka, lebam, demam ataupun disebabkan kelaparan. Setelah dipastikan bahawa dia menangis bukanlah disebabkan masalah fizikal, maka di sinilah peranan kita sebagai si ibu untuk merawat masalah di hati mereka.

Prihatin, dan tingkatkan sensitiviti kita. Itulah langkah pertama. Cuba memahami hati mereka sebagaimana kita ingin hati kita difahami. Cubalah berada di situasi mereka pada ketika itu, dengan segala kelemahan – kelemahan dan kekurangan yang mereka ada (tidak mampu memberitahu perasaan mereka, merasa insecure dan sebagainya). Pada ketika itu, apa lagi yang mampu mereka lakukan selain menangis?

Kita sebagai ibu, jangan cepat menganggap yang si anak hanyalah mengada – ngada dan manja. Bersangka baiklah terhadap mereka. Pada kebiasaannya, mereka sebenarnya memerlukan perhatian dari kita. Itulah anak, mereka risau kalau ibubapa tak menyayangi mereka. Mereka takut jika mereka tidak dipedulikan lagi. Maka berilah kasih sayang dan perhatian yang mereka harapkan dan dambakan itu. Belailah mereka, peluklah mereka... mereka hanya memahami bahawa kita sayangkan mereka dengan cara perbuatan kita – peluk dan belai. Itulah ubat yang sangat berkesan.

Ibu bapa mana yang tak sayangkan anak? Namun tak semua ibu bapa pandai menzahirkan perasaan sayang itu kepada anak – anak mereka. Ketahuilah, kalau sekadar sayang di hati, namun tidak diluah dengan kata – kata, mereka mungkin tak mengetahuinya. Malah, kalau sekadar diluah dengan kata – kata, namun tidak dizahirkan dengan perbuatan, mereka merasa sukar untuk merasainya. Tunjukkan kasih sayang kita kepada anak – anak dengan kata – kata yang lembut dan belaian dan pelukan yang hangat. Mereka amat – amat menghargainya. Tanpa kita sedari, mereka akan mula kurang menangis, mereka menjadi lebih yakin pada diri mereka sendiri dan mereka akan mula menunjukkan kemampuan mereka sebagai anak yang hebat. Anak yang hebat lahir dari didikan ibu bapa yang hebat.

Wahai ibu, tanamkanlah perasaan sabar di dalam diri. Bersyukurlah kerana Allah mengurniakan dirimu dengan zuriat yang sihat dan comel. Lebih ramai wanita di luar sana yang amat inginkan anak, namun masih tidak diberi rezeki anak. Maka bagi kita yang diberi nikmat perkahwinan, mengandung, dan diberikan kurnia anak, bersyukurlah. Bersyukurlah dengan cara menjaga amanah itu sebaiknya. Janganlah sehingga kurnia itu ditarik balik baru kita menyesal menggigit jari. Bersyukurlah sementara masih diberi kesempatan.

Jika kita sesungguhnya bersyukur dengan pemberian Allah ini, dari situ timbullah perasaan sabar ketika membela mereka. Anak – anak hanyalah anak – anak, mereka itu fitrah. Mereka bukan dilahirkan semata – mata untuk menyakitkan hati kita. Sebaliknya mereka dilahirkan untuk menguji kesabaran dan kemampuan kita sebagai ibu muslimah yang mensyukuri nikmat Allah. Maka bersabarlah ketika mereka menangis. Tolaklah jauh – jauh perasaan benci, ego, pentingkan diri sendiri yang wujud ketika itu. Sebaliknya lembutkan hati, korbankan perasaan supaya kita dapat melayan mereka dengan penuh kasih sayang. Memanglah, sebagai isteri dan ibu kita sentiasa sibuk di dapur, menguruskan rumahtangga dan sibuk bekerja bagi ibu yang bekerja. Tapi itu bukanlah alasan untuk kita menolak anak ke tepi hanya kerana pada waktu itu dia memerlukan belaian kita. Belajarlah untuk menghargai mereka agar mereka membesar dalam suasana yang positif dan penuh keharmonian.

Bagaimanakah mahu belajar bersabar dengan kerenah anak – anak? Banyak caranya. Tepuk dada tanya selera. Antara cara yang berkesan adalah dengan berhenti sebentar dan berfikir. Kalau di negara Barat, mereka mengajar begini: jika ketika itu kita sedang merasa sangat marah, maka berhenti sebentar dari melakukan apa jua dan mula mengira sehingga sepuluh. Sambil itu, tarik nafas dalam – dalam dan hembuskan perlahan – lahan. Dengan itu kita dapat berfikir dengan lebih rasional dan tidak melakukan tindakan yang bodoh dan sia – sia. Itu cara orang putih. Maka bagi kita juga, boleh juga digunakan dengan cara yang sama, cuma daripada mengira satu sehingga sepuluh, sebaliknya kita diajar untuk beristighfar. Istighfarlah sehingga hati merasa tenang. Daripada berdiri kita duduk. Daripada duduk kita berbaring. Ambil wudhuk dan tenangkan diri. Kemudian barulah berfikir urusan yang mengganggu kita sebentar tadi. InsyaAllah kita akan terelak daripada melakukan perbuatan yang bodoh dan sia – sia.


Ada juga ibu yang membelai dan berlaku baik kepada anaknya hanya di depan suami atau ketika bersama orang lain. Sebaliknya di belakang mereka, dia menengking anak itu, menarik telinga sekuat hati, dan mencubit sehingga lebam – lebam bila anak itu menangis atau mengganggu urusan si ibu. Tapi terlupakah si ibu bahawa Allah sentiasa memerhatikan kita? Malah Allah sentiasa mengetahui isi hati kita yang terdalam jauh di lubuk sana. Tak guna jika kita hanya baik dengan anak di hadapan orang sedangkan kita sebenarnya hanyalah menipu diri kita sendiri. Ingatlah, kita bertanggungjawab untuk menjawab di hadapan Allah di akhirat kelak akan segala perbuatan kita sekarang. Dan bukan sekadar menjawab kepada suami, keluarga atau orang sekeliling. Oleh itu sentiasalah berlaku baik kepada anak – anak pada bila – bila masa. Baik ketika keseorangan mahupun ketika bersama orang lain.

Ingatlah, kita diwujudkan di muka bumi ini hanyalah semata – mata untuk beribadah kepada Allah Taala. Orang yang paling Allah redha adalah mereka yang paling bertakwa dan banyak amalan solehnya. Maka jadikanlah tugasan seharian kita sebagai ibu dan isteri sebagai satu ibadah dan amalan soleh yang diterima oleh Allah Taala. Lakukan yang terbaik dan ikhlas hanya kerana Allah Taala. Semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal untuk kita.

Saturday, July 17, 2010

WANITA MUDAH DIGODA SYAITAN

Ada suatu kisah di mana seorang gadis yang sudah agak berumur telah dipinang oleh seorang jejaka yang baik agamanya. Permulaan kisah mereka baik, di mana mereka ditemukan melalui orang tengah yang mengenali kedua pihak. Mereka tidak bercinta sebelum pernikahan. Kini mereka masih di alam pertunangan.

Namun yang sedihnya, gadis itu telah dimainkan oleh perasaannya sendiri. Kononnya dia tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap lelaki itu. Kononnya dia telah melakukan pelbagai cara untuk menumbuhkan rasa cinta kepada lelaki tersebut, tapi masih tak berjaya. Kononnya dia telah berusaha berdoa, melakukan solat hajat, beristikharah demi untuk menimbulkan cinta terhadap lelaki itu tetapi masih hampa.

Adakah cukup sebenarnya 'usaha - usaha' yang sebegitu? Cukup sekadar berdoa, berharap, solat dan kemudian duduk termenung agar Allah mengkabulkan permintaannya? Semudah itu? Hebat sangatkah kita sehingga wajib untuk Allah melaksanakan permintaan kita? Banyak sangatkah amalan soleh kita sehingga mendapat special treatment dari Allah untuk diberikan segala permintaan kita? Validkah sebenarnya permintaan - permintaan yang sebegitu?

Terlupakah dia bahawa perasaan cinta dan sayang sudah Allah janjikan bagi setiap pasangan yang berkahwin demi kerana Allah? Tidakkah dia yakin dengan janji Allah?

Lalu dia telah meminta nasihat seorang rakannya yang juga sudah mencapai ambang andartu. Kasihan juga si rakannya ini, juga menghadapi masalah mencari jodoh. Bukannya apa, terlalu memilih. Sebenarnya si rakan ini tertekan, kerana seorang demi seorang rakan di kalangan mereka sudah mendirikan rumah tangga. “Eh, takkanlah aku nak keseorangan membujang, sedangkan rakan2 yang lain dah selamat berbahagia. Tak boleh jadi ni..” Mungkin itulah yang bermain – main di fikirannya.

Jadi apabila si gadis yang malang ini meminta nasihat rakannya yang turut malang itu, maka inilah peluang rakannya untuk menusukkan jarum – jarum hikmat. Biar sama – sama tak kahwin. Dia tak sanggup digelar andartu keseorangan. Biarlah rakannya turut mengalami nasib yang sama sepertinya.

Dijadikan cerita pula, si lelaki tadi telah melakukan beberapa tindakan yang kurang disenangi oleh si gadis itu. Maka inilah yang dijadikan modal oleh si gadis untuk semakin menolak cinta lelaki tadi. Alasan yang remeh. Tidakkah dia tahu bahawa tiada siapa yang perfect? Setiap dari manusia itu termasuklah diri gadis itu sendiri bukanlah maksum. Jadi, bagaimana si gadis itu nak mengharapkan seorang lelaki yang perfect kalau dirinya sendiri juga tidaklah seperfect mana.

Beginilah mentaliti kebanyakan perempuan yang terlalu memilih, mereka tercari – cari Mr. Perfect, mereka tercari – cari Mr. Right menurut benchmark yang mereka tentukan sendiri. Tanpa menyedari bahawa memang tak pernah wujud Mr. Right atau Mr. Perfect di dunia ini. Mereka tertipu dengan kisah – kisah Cinderella, Snow White dan Thumbelina ciptaan Barat. Cuma kisah – kisah ini telah diIslamisasikan menjadi kisah – kisah Ayat – ayat Cinta, Bila Cinta Bertasbih, Wanita Berkalong Sorban dan juga Pemilik Cintaku Selepas Allah dan Rasul. Kisah – kisah sebegini meniti di minda mereka, mengharapkan kisah cinta mereka juga sehebat Laila dan Majnun. Apakah mereka buta?

Dek kerana kesalahan lelaki itu, maka si gadis dan rakannya semakin mencari alasan untuk menjustifykan keputusan si gadis untuk memutuskan pertunangan itu. Si rakannya pula telah menyiarkan kisah menyayat hati gadis itu di forum maya – kononnya bertanyakan pendapat ahli – ahli forum mengenai masalah besar yang dihadapi oleh gadis itu. Maka ahli – ahli forum yang jahil dan terlalu cetek pengalaman hidup turut menyokong tindakan si gadis untuk memutuskan pertunangan tersebut. Maka gembiralah si gadis dan rakannya kerana telah mendapat ‘restu’ dari ahli – ahli forum untuk meneruskan tindakannya.

Tidakkah gadis itu tahu, bahawa dalam mana – mana perhubungan jua, pasti ada salah dan silapnya. Pasti ada yang tak kena di hati. Tapi adakah itu boleh dijadikan lesen untuk memutuskan sesebuah perhubungan? Hanya mereka yang pendek akal sahaja memilih jalan mudah dengan segera memutuskan perhubungan tersebut.

Sedangkan bagi yang bijak, mereka akan cuba mencari jalan untuk mengatasi sebarang masalah yang dihadapi. Mereka yang bijak tidak mudah berputus asa dan menyedari bahawa tiada gunanya melarikan diri dari masalah dengan cara memutuskan hubungan semudah itu. Mereka yang bijak sedar bahawa jika tidak dengan lelaki ini, maka hubungan dengan lelaki lain juga tetap mempunyai masalah tersendiri. Maka terpulanglah di atas kebijakan atau kebodohan gadis itu untuk mencari penyelesaian kepada masalahnya.

Bagi mereka yang cerdik juga, mereka telus di dalam komunikasi. Jika ada sebarang perbuatan si lelaki yang tidak disenanginya, maka seeloknya bawalah perkara tersebut untuk berbincang. Bincang dengan baik dan tenang dan nyatakan pandangan masing – masing dengan ikhlas demi untuk kebaikan bersama. Yang sedihnya, si gadis ini langsung bertindak berhenti berbicara dengan lelaki tersebut. Segala sms lelaki itu tak berbalas. Bukankah tindakan itu kebudak – budakan?

Gadis itu terlupa, yang syaitan sangat licik memainkan peranannya untuk menusukkan jarum was – was dan ragu – ragu ke dalam dirinya. Syaitan sangat bijak memainkan peranannya untuk memberi idea – idea yang bernas agar pertunangan itu diputuskan. Syaitan semakin bergembira kerana satu lagi bakal masjid akan roboh. Malah syaitan yang bijak itu menggunakan rakan si gadis sebagai ‘syaitan bertopengkan manusia’ untuk melicinkan gerak rancangannya. Maka bergembiralah syaitan – syaitan dan syaitan manusia kerana rancangan licik mereka berjaya. Ini merupakan kejayaan besar buat mereka.

Itulah wanita, yang sememangnya amat mudah digoda syaitan tanpa mereka sedari. Maka akhirnya, siapa yang rugi?

Allahua'lam. Semoga Allah merahmati dan memberi petunjuk kepada kita semua, ameen.

Wednesday, July 14, 2010

SITI HAJAR: Wanita yang Sabar

Dari link: http://unity99.tripod.com/sitihajar.html

Dalam bahang terik mentari, di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim a.s. terus menunggang unta bersama Siti Hajar. Walaupun perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.

Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu.Setelah lebih kurang 6 bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah. Nabi Ibrahim memilih salah sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim a.s. turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.

Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikitpun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya tentang perintah Allah SWT itu. Sepanjang perjalanan tadi lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.

Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim a.s. bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu : "Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?" Tanpa memandang wajah isterinya yang dicintainya, Nabi Ibrahim a.s. hanya mampu menganggukkan kepala. ""Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini." ""Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu..." ""Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?" Hati Nabi Ibrahim a.s bagai disayat-sayat. Pilu dan pedih hatinya, hanya Allah SWT yang tahu. "Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah SWT."

Bila disebut ia perintah Allah SWT, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah SWT, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ. Dia sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah SWT. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah SWT itu? Sewaktu gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah SWT, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelusuk dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah SWT.

Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan ALlah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan... Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya : "Jika benar ia adalah perintah Allah SWT, tinggalkanlah kami di sini. Aku redha ditinggalkan" suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya yang berlinangan. Ditabahkan hatinya dengan berkata : "Tentang keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah SWT. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini."

Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta redha di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. "Cuma...," katanya lagi, "doakanlah agar datang pembelaan Allah SWT kepada kami." Nabi Ibrahim a.s sangat terharu dan bersyukur. Isterinya Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa :

"Ya Tuhan kami, aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka dari buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu.”

Menitis airmatanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan yang padu pada janji Allah SWT, ditunaikan juga perintah Allah SWT walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar. Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim a.s terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah SWT.

Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah di dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang akan berlaku. Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga telah kering sama sekali. Anaknya Ismail a.s menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu?

Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun SIti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air. Diapun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia telah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air.

Walaupun tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang telah kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi.

Tiba-tiba dengan rahmat Allah SWT, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail a.s. Waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku."

Selepas peristiwa itu, kabilah-kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Mekah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah SWT. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Mekah menjadi tumpuan manusia untuk berdatangan.

Ya, Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan isteri Nabi yang paling dicintai ALlah SWT, adalah perintis kepada semua peristiwa itu, hingga Makkah sekarang menjadi tempat yang paling diberkati dan aman.

Kekuatan Jiwa - Siri 2

Pada artikel yang lalu, telah diterangkan mengenai 2 kekuatan jiwa iaitu Yakin dan Ikhlas. Kekuatan jiwa yang ketiga adalah Istiqamah.

Istiqamah berasal dari perkataan “Qaama” yang bermaksud “berdiri teguh”, atau “Qaa im” yang bermaksud “tegak”. Dengan itu, maksud Istiqamah adalah “tegak dan lurus di atas kebenaran” dan “tidak berputus asa”. Berbeza dengan kebanyakan kita yang memahami istiqamah sebagai melakukan sesuatu perkara secara tetap dan berterusan. Sedangkan sebagai umat Islam, kita sepatutnya sentiasa melakukan penambahbaikan terutamanya dari segi amalan kita, dan bukanlah mengekalkannya di satu tahap status quo sahaja. Istiqamah juga bermaksud tidak berputus asa dengan Rahmat Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Malah, kalau seseorang umat Islam itu berputus asa dengan rahmat Allah, maka dia sudah menjadi kafir, na’uzubillah. Maka Istiqamah juga bermakna seseorang itu “thabat” ataupun berprinsip dan berdiri teguh dengan pendiriannya.

Satu contoh betapa istiqamahnya para sahabat dan sahabiah di zaman silam, adalah apabila berlakunya perselisihan pendapat antara dua kumpulan sahabat sehingga menimbulkan perang saudara pertama selepas kewafatan Nabi saw iaitu Perang Siffin. Di satu kumpulan, iaitu yang diketuai oleh Muawiyyah – mereka menuntut supaya pembunuh Uthman bin Affan dikenakan hukuman segera. Manakalah di satu kumpulan lain iaitu yang diketuai oleh Ali bin Abi Thalib – beliau berpendapat bahawa pencarian pembunuh Uthman akan mengambil masa yang lebih panjang. Masing – masing merupakan di antara para sahabat besar Nabi. Tiada ragu yang kedua – dua panglima ini merupakan antara manusia yang tinggi iman mereka kepada Allah taala.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna yang mereka tidak boleh mempunyai pandangan yang berbeza dalam sesuatu perkara. Contohnya mengenai cara mencari dan menghukum pembunuh Uthman bin Affan. Namun disebabkan kekentalan istiqamah yang dipegang oleh mereka, dan masing – masing amat yakin dengan pendirian masing – masing, maka mereka sanggup bergadai nyawa demi prinsip tersebut hanya kerana iman yang teguh kepada Allah taala. Walaupun masing – masing sedih kerana terpaksa berperang, sedangkan mereka sebenarnya amat utuh dengan ukhuwwah Islamiyah, namun demi istiqamah yang menjadi tonggak kekuatan jiwa mereka, maka mereka tetap teruskan peperangan tersebut. Allahua’lam.

Seterusnya marilah kita ikuti kekuatan jiwa yang keempat. Kekuatan yang dimaksudkan adalah Sabar. Sabar bermaksud kuat atau teguh. Juga bermaksud pendinding atau benteng. Satu lagi maksud sabar adalah menahan diri. Terdapat 3 bentuk kesabaran yang perlu kita fahami dan seterusnya amalkan. Sabar yang pertama adalah sabar dalam melakukan perintah Allah. Sabar yang kedua adalah sabar dalam meninggalkan larangan Allah. Manakala sabar yang ketiga adalah sabar dengan ujian dan musibah yang menimpa kita. Kebanyakan dari kita lebih biasa mendengar erti sabar yang ketiga, tanpa menyedari bahawa sabar di dalam Islam juga bermaksud bersabar melakukan perintah Allah dan bersabar dalam meninggalkan laranganNya.

Sabar dalam melaksanakan perintah Allah bermaksud kita sentiasa kuat dan teguh untuk taat kepada perintah Allah. Bagi kebanyakan kepada kita, bukan mudah untuk sentiasa sabar bangun untuk solat Subuh. Solat tahajjud apatah lagi. Namun, bagi mereka yang sentiasa sabar dalam melaksanakan perintah Allah yang sukar ini, maka banyaklah ganjaran yang bakal menanti di akhirat kelak. Bagi seorang isteri pula, bukan mudah untuk sentiasa sabar dalam mentaati perintah suami, sedangkan Allah mewajibkan setiap isteri agar sentiasa taat kepada suaminya selagimana suaminya tidak menyuruh dia melakukan perbuatan maksiat dan mungkar. Seringkali si isteri mengeluh bila suaminya meminta segelas air. “Eh, awakkan ada kaki, bukannya tak boleh ambil sendiri.” Demikianlah sungutan si isteri. Alangkah derhakanya isteri yang perangainya begitu.

Sabar juga bermaksud sentiasa menahan diri dari melakukan perkara yang dilarang Allah. Bagi sesetengah orang, bukan mudah untuk menahan diri dari menipu. Sedangkan menipu merupakan satu dari perbuatan yang dilarang Allah. Malah ia juga merupakan salah satu dari cabang orang yang munafik. Namun, ada yang mengambil jalan mudah dengan menipu untuk kesenangan diri sendiri yang sementara. Nampaknya orang yang sebegini tidak sabar dalam meninggalkan larangan Allah taala.

Sabar yang ketiga adalah bilamana seseorang itu redha dengan ujian, bala, bencana dan takdir yang ditentukan oleh Allah ke atas dirinya. Ada kata – kata yang berbunyi “Kesabaran itu adalah ketika kejutan yang pertama”. Ini bermaksud dilihatnya seseorang itu mempunyai kesabaran apabila dia mampu redha dan masih tenang ketika pertama kali mendengar sesuatu berita yang menyedihkan, ataupun ketika saat mula – mula ditimpa kemalangan. Dia tidak cepat melatah atau marah dengan situasi itu, malah menahan dirinya dari menyebut atau melakukan perkara yang bodoh sebagai reaksi terhadap ujian yang Allah berikan kepadanya.


Sesungguhnya tidak semua manusia mampu bersabar…

Demikianlah dua lagi bentuk Kekuatan Jiwa, iaitu Istiqamah dan Sabar. Semoga kita diberi kesempatan dan kekuatan untuk meneruskan perbincangan mengenai kekuatan jiwa yang berikutnya, ameen.

Sunday, July 11, 2010

Kekuatan Jiwa



Di dalam mengharungi kehidupan di dunia sebagai bekalan untuk kehidupan di akhirat, kita sebenarnya amat memerlukan kekuatan jiwa. Kerana dari kekuatan jiwa itulah dapat membantu kita untuk meraih syurga. Umat Islam yang terdahulu, semuanya diuji dengan pelbagai ujian yang memerlukan jiwa yang kental. Sebagaimana firman Allah taala:
“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?” (Al-Ankabuut: 2)

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kepentingan kekuatan jiwa ini, bolehlah membaca artikel tersebut di link ini:
Ibarat Sebuah Rumah
Artikel tersebut ditulis oleh madu saya, Mimi ketika kami sama - sama mendengar tazkirah yang disampaikan oleh suami kami, Ustaz Emran. Kiranya kedua - dua tulisan ini saling lengkap - melengkapi insyaAllah.

Maka, bagaimanakah para ulama dapat mengenalpasti apakah kriteria – kriteria kekuatan jiwa yang diperlukan untuk menegakkan syiar Islam yang syumul berdasarkan panduan Al-Quran dan Sunnah? Untuk itu, para ulama silam telah bertadabbur dan mengkaji setiap ayat di dalam AQ untuk mencari apakah kekuatan jiwa itu. Hasil dari itu, mereka berhasil mengumpulkan 10 kekuatan jiwa yang penting yang perlu ada dan diamalkan oleh setiap hamba yang mengaku menganut agama Islam.

Kekuatan jiwa yang pertama adalah YAQEEN. Yaqeen juga bermaksud Iman atau percaya. Yaqeen, atau dalam bahasa Melayunya, yakin dapat dibahagikan kepada 3 jenis. Jenis yang pertama adalah ‘Ainul Yaqeen. Ini bermakna, seseorang itu dapat membina keyakinan setelah dia dapat melihat sesuatu perkara itu berlaku. Contohnya, jika dia diberitahu bahawa terdapat satu kemalangan di hadapan jalan, mungkin dia masih tak percaya sehinggalah dia melihat sendiri kereta yang mengalami kemalangan tersebut. Yaqeen tahap ini adalah keyakinan yang terendah, kerana seseorang itu memerlukan sesuatu ‘bukti’ atau material yang wujud dan dapat dilihat sebelum dia boleh mempercayainya. Jenis yang kedua adalah ‘Ilmu Yaqeen. Orang yang memiliki ‘ilmu yaqeen bermaksud setelah mereka memperoleh sesuatu ilmu, maka dengan keilmuan itu dapat membina keyakinan mereka terhadap agama. Manakala yaqeen jenis yang ketiga adalah ‘Haqqul Yaqeen’. Ini merupakan keyakinan yang hakiki yang hanya mampu diraih oleh orang – orang yang benar – benar beriman. Keyakinan bahawa manusia kelak akan dihisab dan mempercayai kewujudan Allah dan mempercayai segala yang datang daripada Allah swt dan mempercayai dengan jitu tanpa ragu segala arahan Allah swt.

Golongan inilah yang disebut sebagai golongan yang memiliki sifat Ihsan iaitu beribadah kepada Allah seolah-olah mereka melihat Allah kerana meyakini kebenaran agama ini dan sekiranya mereka tidak dapat melihat Allah swt maka mereka tetap meyakini bahawa diri mereka dilihat oleh Allah swt lalu di dalam kelemahan dan kekuatan, di dalam suka atau terpaksa mereka tetap menunaikan kewajipan mereka kerana menyedari dan menyakini mereka diperhatikan oleh Tuhan Yang Maha Gagah.

Lawan kepada yakin adalah syak wasangka dan perasaan was – was. Maka bagi mereka yang masih merasa was – was terhadap kebenaran agama Islam, sesungguhnya mereka masih belum mencapai tahap pertama dalam kekuatan jiwa iaitu keyakinan. Mereka inilah golongan yang rugi disebabkan belitan syaitan yang menimbulkan perasaan syak wasangka dan was – was itu.

Kekuatan jiwa yang kedua ialah IKHLAS. Ini bermaksud melakukan sesuatu HANYA KERANA ALLAH taala dan tidak selainnya. Jadi, bagaimanakah kita hendak mengikhlaskan diri kita hanya kerana Allah? Antaranya adalah dengan timbulnya rasa cinta yang mendalam kepada Allah taala. Kita juga mesti memahami dan mengetahui mengenai agama kita di mana di situ timbullah iman. Dan yang ketiga, kita hendaklah mengharapkan yang lebih baik di akhirat kelak tanpa mengharapkan sebarang balasan di dunia ini. Oleh itu, bagi para isteri, bila dikatakan ikhlas melakukan sesuatu di dalam rumah tangga, ia bermaksud tidak mengharapkan sebarang balasan atau pujian dari suami dan anak – anak. Contohnya, bagi seorang isteri yang berkerjaya dan penat seharian di tempat kerja, lalu dia pulang ke rumah dan bergegas untuk menyediakan makan malam.

Setelah siap memasak, diapun memanggil suami dan anak – anak datang untuk makan. Tiba – tiba si suami tidak mahu makan sebaliknya ingin keluar sebentar bersama seorang rakan. Maka apakah tindakan si isteri? Jika isteri itu memiliki kekuatan jiwa dan ikhlas ketika menyediakan makanan tadi, maka dia tidak akan merasa kecil hati atau bersedih. Yang penting, dia sudah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri pada ketika itu iaitu untuk menyediakan makanan bagi keluarganya. Dengan itu, dia ikhlas melakukan tugasannya itu HANYA KERANA ALLAH dan tidak mengharapkan sebarang balasan dari suami atau anak – anaknya.

Memanglah, makanan itu mungkin membazir, tapi itu adalah antara suaminya dengan Allah, dan jika dia seorang isteri yang bijak, mungkin dia boleh menyimpan makanan itu untuk diubahsuai dan dijadikan sarapan pada keesokan harinya. Yang penting, dia tidak boleh hilang fokus iaitu tetap melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri yang masih tersenyum dan melayan suaminya dengan sebaik mungkin walau pada ketika itu hatinya terasa dengan tindakan suaminya yang tidak mahu makan masakannya. Ingatlah, tanggungjawabnya adalah untuk taat kepada suami kerana itu adalah perintah Allah.

Untuk senarai kekuatan jiwa yang seterusnya, akan disambung kemudian...

**artikel ini ditulis berdasarkan kelas Ustaz Emran yang diikuti oleh kami

Tuesday, June 22, 2010

Adab dan Menghormati Rumah Orang

Apakah agaknya pendapat anda apabila ada orang datang bertanda ke rumah anda kemudian kencing dan berak merata-rata tanpa segan silu seolah-olah tidak menghormati anda.

Tidak beradab !

Itulah sifat dan sikap anak-anak muda sekarang yang merasa dirinya pesuruh tuhan yang datang ke blog orang lalu menghina dan memfitnah sesuka hati demi memuaskan nafsu dan hasad dengki mereka.

Pertama - Tuhan tidak suruh kita memburukan orang lain khasnya di blog orang tersebut. Mana akhlak sebagai Muslim ? Letak di lutut agaknya.

Kedua - Mana sikap hormat dan adab apabila bertandang ke rumah orang ? Apa dikehendakinya dengan memburukan orang lain ? Mahu membalas dendam ? mahu melepas geram ? atau sekadar dengki dan hasad dengan kedudukan serta kelebihan orang lain yang tidak mampu dicapai ?

ketiga - Membaca komen bodoh beberapa orang yang punyai penyakit di hati mereka membuatkan saya terfikir apakah mereka ini seorang Muslim atau merupakan munafiq yang mempergunakan agamanya untuk memuaskan hawa nafsu mereka ? Cerdiklah sedikit, sebagai Muslim ada adab di dalam menegur dan menasihati bukan mencela dan memfitnah yang bukan-bukan.

Ke-empat - Tiada siapa yang maksum, apabila kita mencela orang lain kerana kesalahannya maka kita sewajarnya lebih sedar bahawa diri kita yang menegur itu lebih terbuka kepada pelbagai kesalahan dan kritikan. Kalau kita boleh berasa perlu diberi maaf atas salah mengapa orang lain tidak boleh ? jawapannya hanyalah kerana orang itu bukan kita.

ya, hanya kita yang penting.

Itulah agama anutan sesetengah muslim iaitu hanya mereka yang betul dan hanya mereka yang benar dan hanya cerita mereka sahaja yang tepat dan betul. Apakah mereka benar di sisi Allah ?

Kita berdoa dan biarkan Allah yang menentukan di mahkamahnya nanti.
Yang mahu berlagak menjadi polis dan memerhati orang itu pun ada malaikat memerhatikannya. Alangkah rugi masa dan waktunya diguna menabur benih benci dan dusta.

Wassalam.

Thursday, June 03, 2010

Fadhilat Bersedekah dan Mengeluarkan Zakat kepada Thalibul ilmi (Pelajar)


Saya ingin berkongsi dengan kalian mengenai satu artikel yang 'dekat di hati' :). Hasil karya suami saya yang dicintai, Ustaz Emran Ahmad.
________________________________________________________________
Pada kali ini ana ingin menimbulkan satu topik yang sangat penting terutama kepada masyarakat Malaysia khususnya dan umat Islam amnya yang kurang menyedari betapa besarnya fadhilat bersedekah dan berbakti kepada khadim ilmi iaitu golongan penuntut ilmu yang menghabiskan masa mencari cahaya demi menerangi umat Islam dari kegelapan.

Ana mendengar berita dari rakan bahawa sekarang ini di Malaysia untuk mendapat bantuan pengajian demi menampung pembelajaran sangatlah susah khususnya kepada golongan yang ingin menuntut ilmu syar’ie (agama) . Perbadanan Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA) dikatakan sudah menghadkan jumlah bantuan dan jenis pengajian yang boleh menerima pinjaman kewangan.

Hal ini menyebabkan ramai pelajar yang kurang berkemampuan tidak dapat melanjutkan pengajian mereka kerana menghadapi masalah kewangan. Selain itu pusat pengajian swasta dan sekolah persendirian juga menghadapi masalah dan terpaksa gulung tikar.

Menyedari masalah ini maka ana cuba mengetengahkan satu topik mengenai galakan umat Islam yang berkemampuan dan memiliki kekayaan dari nikmat Allah swt supaya turun padang dan membantu meringankan beban golongan yang susah khususnya para penuntut ilmu yang memerlukan belanja dan dana yang besar bagi usaha mendapatkan ilmu.

Sesungguhnya zakat dan sedekah itu membersihkan harta seperti firman Allah swt :

“ Ambillah sedekah dari harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan harta mereka” (At-Taubah : 103).

Bahkan disebut dalam hadith riwayat Muadz Ibn Jabal ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda “ Sedekah itu memadamkan dosa seperti air yang memadamkan api” (hadith sahih riwayat tirmidzi no. 609 dan nasaie , Ibn majah ).

Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda baginda “Tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah” (hadith riwayat tirmidzi).

Apakah pelajar termasuk golongan yang boleh menerima zakat ?

Golongan yang ditetapkan berhak menerima zakat disebutkan oleh Allah swt dalam firman-Nya :

“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang miskin dan pengurus harta zakat dan orang yang baru masuk Islam (mualaf), hamba yang ingin dimerdekakan, orang yang berhutang, orang yang di jalan Allah dan ibnu Sabil ” (At-taubah : 60).

Para penuntut ilmu termasuk dalam golongan yang berhak menerima zakat harta dan lain-lain zakat dari bahagian ibnu sabil yang disebut dalam firman Allah swt di dalam ayat di atas.

Hal ini merupakan ijtihad ulamak berdasarkan kedudukan para penuntut ilmu khususnya mereka yang berada di luar negara yang kesempitan kewangan untuk menampung pengajian di luar negara.

Syarat untuk membolehkan mereka (penuntut ilmu) menerima zakat ialah :

1) mereka haruslah muslim
2) kesempitan dan kesusahan dari sudut kewangan untuk berbelanja menampung kehidupan
3) tidak menuntut ilmu yang bercanggah dengan Islam dan tidak berbuat maksiat

Sesungguhnya orang-orang yang soleh itu sifat mereka sangatlah pemurah seperti firman Allah swt :

“Dan mereka memberikan makanan yang baik kepada orang miskin dan anak yatim dan orang tawanan” (Ad- Dahr: 8).

Mereka yakni orang yang beriman apabila bersedekah dan mengeluarkan zakat tidaklah mengharapkan balasan dunia dan pujian sebaliknya hanya mengharapkan keredhaan Allah swt.

“Mereka berkata; kami memberikan makanan kepadamu kerana mengharapkan keredhaan Allah dan tidak kami mengharapkan kepadamu balasan dan tidak pula pujian serta tidak pula penghargaan” (Ad-Dahr : 9).

Hari ini, bidang pengajian agama dilihat sebagai bidang yang tidak komersil dan tidak mendatangkan untung duniawi lalu sangatlah kurang bantuan dan kewangan yang disalurkan kepada golongan ini.

Mereka (pelajar agama) di anak tirikan kerana bidang mereka tidak mendatangkan keuntungan kepada ekonomi negara dan mereka sangat susah menerima bantuan pinjaman dan sokongan kewangan.

Sudahlah begitu, bagi mendapatkan bantuan zakat pula mereka terpaksa menghadapi kerenah kumpulan manusia yang ta’asub kepada parti politik dengan tidak memberikan zakat melainkan kepada golongan yang sejemaah atau separti dengannya sedangkan Rasulullah pernah bersabda;

“Tidaklah beriman seorang kamu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya” (hadith sahih riwayat bukhari dan muslim).

Manakala bagi para pelajar agama di luar negara, mereka berdepan dengan masalah kewujudan label dan pengiktirafan dari kerajaan apabila terdapat ramai pelajar tidak layak menerima zakat dari kerajaan dan pusat jabatan zakat disebabkan mereka belajar di tempat yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Mereka yang belajar di Yaman misalnya seperti saya tidak layak menerima zakat kerana belajar di tempat yang tidak diiiktiraf oleh kerajaan dan kementerian pendidikan kerana kononnya tidak menghasilkan sijil yang diiktiraf.

Inilah dunia !
Apabila agama dijadikan sebagai alat dunia maka zakat yang sepatutnya disalurkan kepada golongan yang berhak seperti para pelajar penuntut ilmu agama tanpa mengira di mana dan apakah pusatnya itu diiktiraf atau tidak selagi dia belajar di tempat yang bagus dan belajar ilmu syariat dengan kefahaman yang sahih maka menjadi kewajipan untuk dibantu dan diberi zakat.

Hendaklah mereka mendengar ancaman dari Allah swt :
“Orang-orang yang menyimpan emas dan perak (harta) mereka dan tidak membelanjakannya di jalan Allah maka berilah peringatan kepada mereka akan azab siksa yang pedih” (At-taubah : 34).

Sesungguhnya golongan yang hanya menyimpan harta mereka tanpa membelanjakannya di jalan Allah swt dan membantu para pelajar agama yang belajar mencari ilmu demi menyebarkan kebenaran dan menghancurkan kejahilan maka hendaklah mereka bersiap menghadapi balasan azab dari Allah swt.

“ Pada hari dibakar segala harta dalam neraka jahannam lalu dibakar muka, rusuk dan punggung mereka dengannya sambil dikatakan kepada mereka ; inilah harta yang kamu simpan untuk diri kamu dahulu maka rasailah balasan dari apa barang yang kamu selalu simpan itu” (At-taubah : 35).

Sesungguhnya ramai orang di Malaysia yang menyerahkan zakat mereka kepada pusat zakat dibawah tadbiran kerajaan kerana menyangka zakat mereka dapat dimanfaatkan oleh pihak berkuasa dengan ditadbir secara manfaat namun malangnya kerajaan kita di Malaysia dan pihak berwajib sangatlah menyeleweng.

Mereka menyekat zakat kepada para golongan susah disebabkan perbezaan fahaman politik dan kerana kononnya tidak bertepatan dengan syarat yang mereka ada-adakan sedang baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda :

“ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .

Pun begitu ramai yang tidak tahu bagaimana menguruskan zakat mereka maka demi mengambil jalan mudah mereka menyerahkan kepada pusat zakat. Sebenarnya mereka boleh membantu para pelajar agama dengan menyalurkan kewangan dan sedekah serta zakat mereka kepada golongan ini.

Golongan pelajar merupakan sebaik-baik golongan yang terdapat di bawah langit ini disebabkan sabda baginda salallahualaihiwasalam : “Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap mereka menaungi para penuntut ilmu meredhai apa yang dituntutnya itu” ( hadith sahih riwayat Ahmad no. 239 Jilid 4).

“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah Al-Mujadalah :11).


Sebagai kesimpulannya diharapkan golongan masyarakat memahami bahawa para penuntut ilmu merupakan asnaf yang berhak menerima zakat sekiranya mereka merupakan golongan susah yang tidak mampu menampung pengajian mereka akibat masalah kemiskinan dan kekurangan kewangan. Wajiblah mereka dibantu dan diberi sedekah dan disumbangkan dengan bantuan. Ini kerana mereka merupakan pewaris ilmu yang merupakan tinggalan para nabi sebagaimana sabda baginda “Para nabi itu tidak meninggalkan harta baik dinar atau pun dirham tetapi mereka mewariskan ilmu” (hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2606).


“Janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka itu menyangka bahawa bakhil (kedekut) itu baik untuk mereka bahkan sebaliknya ia buruk untuk mereka kerana nantinya mereka akan dikalungkan dengan harta yang mereka bakhilkan itu di leher mereka pada hari kiamat”
(Ali- Imran : 180).


_______________________________________________________

Maka, apa tunggu lagi, wahai muslimah sekelian! Daripada kita menghabiskan wang gaji untuk menambah koleksi pakaian yang sudah tidak muat almari, lebih baik kita sedekahkan kepada golongan thalibul ilmi yang pastinya lebih memerlukan wang tersebut. Daripada kita menggunakan wang belanja kita untuk membeli socks dan mitten bayi kita yang sudahpun ada berpasang - pasang di dalam bakul, alangkah beruntungnya kalau wang tersebut disedekahkan kepada mereka yang lebih memerlukan. Sesungguhnya setiap sen yang disedekahkan itulah yang menjadi bekalan saham kita di akhirat kelak, asalkan dilakukan dengan hati yang ikhlas...

Thursday, February 25, 2010

Ayat - ayat Cinta




Ya Allah,

jika aku jatuh cinta,

cintakanlah aku pada seseorang
yang melabuhkan cintanya padaMu,
agar bertambah kekuatanku
untuk menyintaiMu...

Ya Rabbi,

jika aku jatuh hati,

izinkanlah aku menyentuh hati seseorang
yang hatinya bertaut padaMu
agar tidak aku terjatuh

ke dalam jurang cinta nafsu...


Ya Rabbul 'Izzati,
jika aku rindu,
rindukanlah aku pada seseorang
yang merindui syahid di jalanMu...

Ya Rafi',
jika aku menikmati cinta hambaMu.
janganlah kenikmatan itu

melebihi nikmatnya bermunajat kepadaMu...

Ya Mu'iz,
jika aku jatuh hati pada hambaMu,

jangan biarkan aku terjatuh
dalam perjalanan
menyeru manusia kepadaMu...

Ya 'Azim,
jika aku merindui hambaMu,
jangan biarkan aku melampaui batas

sehingga melupakan aku pada cinta hakiki
dan rindu abadi hanya kepadaMu...

Bagi Hati Yang Sedang Gundah Gulana...

"Verily after every difficulty there is a relief" (Quran, 94:5-6)

Doa Menghilangkan Sedih dan Gundah Hati

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ،

نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ

يَّ قَضَاؤُكَ، سْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ،

سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، وْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ،

أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، وِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ

فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ

رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، جَلاَءَ حُزْنِيْ،

ذَهَابَ هَمِّيْ.


“Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMu,
anak hambaMu (Adam) dan anak hamba perempuanMu
(Hawa). Ubun-ubunku di tanganMu, keputusanMu
berlaku padaku, qadhaMu kepadaku adalah adil.
Aku mohon kepadaMu dengan setiap nama (baik)
yang telah Engkau gunakan untuk diriMu,
yang Engkau turunkan dalam kitabMu, Engkau ajarkan
kepada seseorang dari makhlukMu atau yang Engkau
khususkan untuk diriMu dalam ilmu ghaib di sisiMu,
hendaknya Engkau jadikan Al-Qur’an sebagai penenteram
hatiku, cahaya di dadaku,pelenyap duka dan kesedihanku.
(H.R. Ahmad dinilai shahih oleh al albani)


rujukan : Doa dan wirid (Hisnul Muslim) Said bin 'Ali Wahf al Qahthani

Sunday, February 21, 2010

Books by Maryam Jameelah

1. ISLAM VERSUS THE WEST
2. ISLAM AND MODERNISM
3. ISLAM IN THEORY AND PRACTICE
4. ISLAM VERSUS AHL AL KITAB PAST AND PRESENT
5. AHMAD KHALIL
6. ISLAM AND ORIENTALISM
7. WESTERN CIVILIZATION CONDEMNED BY ITSELF
8. CORRESPONDENCE BETWEEN MAULANA MAUDOODI AND MARYUM JAMEELAH
9. ISLAM AND WESTERN SOCIETY
10. A MANIFESTO OF THE ISLAMIC MOVEMENT
11. IS WESTERN CIVILIZATION UNIVERSAL
12 WHO IS MAUDOODI ?
13 WHY I EMBRACED ISLAM
14 ISLAM AND THE MUSLIM WOMAN TODAY
15 ISLAM AND SOCIAL HABITS
16 ISLAMIC CULTURE IN THEORY AND PRACTICE
17 THREE GREAT ISLAMIC MOVEMENTS IN THE ARAB WORLD OF THE RECENT PAST
18 SHAIKH HASAN AL BANNA AND IKHWAN AL MUSLIMUN
19 A GREAT ISLAMIC MOVEMENT IN TURKEY
20 TWO MUJAHIDIN OF THE RECENT PAST AND THEIR STRUGGLE FOR FREEDOM AGAINST FOREIGN RULE
21 THE GENERATION GAP ITS CAUSES AND CONSEQUENCES
22 WESTERNIZATION VERSUS MUSLIMS
23 WESTERNIZATION AND HUMAN WELFARE
24 MODERN TECHNOLOGY AND THE DEHUMANIZATION OF MAN
25 ISLAM AND MODERN MAN

Wednesday, February 17, 2010

Short Biography Of Maryam Jameelah

Maryam Jameelah was born Margaret Marcus to a Jewish family in New Rochelle, NY, on May 23, 1934. She grew up in a secular environment, but at the age of nineteen, while a student at New York University, she developed a keen interest in religion.


Unable to find spiritual guidance in her immediate environment, she looked to other faiths. Her search brought her into contact with an array of spiritual orders, religious cults, and world religions; she became acquainted with Islam around 1954. She was then greatly impressed by Marmaduke Pickthall’s The Meaning of the Glorious Koran and by the works of Muhammad Asad, himself a convert from Judaism to Islam. Jameelah cites Asad’s The Road to Mecca and Islam at Crossroads as critical influences on her decision to become a Muslim.


Through her readings in Islam she developed a bond with the religion and became a vocal spokesperson for the faith, defending Muslim beliefs against Western criticism and championing such Muslim causes as that of the Palestinians. Her views created much tension in her personal life, but she continued to pursue her cause.


She embraced Islam in New York on May 24, 1961, and soon after began to write for the Muslim Digest of Durban, South Africa. Her articles outlined a pristine view of Islam and sought to establish the truth of the religion through debates with critics. Through the journal, Jameelah became acquainted with the works of Mawlana Sayyid Abu Ala Mawdudi, the founder of the Jamaati Islami (Islamic Party) of Pakistan, who was also a contributor to the journal.


Jameelah was impressed by Mawdudi’s views and began to correspond with him. Their letters between 1960 and 1962, later published in a volume entitled Correspondences between Maulana Mawdoodi and Maryam Jameelah, discussed a variety of issues from the discourse between Islam and the West, to Jameelah’s personal spiritual concerns.


Jameelah traveled to Pakistan in 1962 on Mawdudi’s advice and joined his household in Lahore. She soon married Muhammad Yusuf Khan, as his second wife.


Since settling in Pakistan, she has written an impressive number of books, which adumbrated the Jamaati Islami’s ideology in a systematic fashion. Although she never formally joined the party, she became one of its chief ideologists.


Jameelah has been particularly concerned with the debate between Islam and the West, an important, albeit not central, aspect of Mawdudi’s thought.


Her significance, however, does not lie in the force of her observations, but in the manner in which she articulates an internally consistent paradigm for revivalism’s rejection of the West. In this regard, her influence far exceeds the boundaries of the Jamaati Islami and has been important in the development of the Muslim world.


The logic of her discursive approach has recently led Jameelah away from revivalism and the Jamaati Islami. Increasingly aware of revivalism’s own borrowing from the West, she has distanced herself from the revivalist exegesis and has even criticized her mentor Mawdudi for his assimilation of modern concepts into Jamaati Islami’s ideology. Her writings in recent years embody this change in orientation and reveal the influence of traditional Islam.


Today she lives in Lahore and continues to write on Islamic thought and life.

Originally posted by: Mr. Taimur Ali

Sunday, February 14, 2010

Kolostrum: Cecair Bernilai Emas


“Engkau dah beranak nanti, mesti buang susu awal yang basi tu tau, nanti anak kau pula yang sakit”, pesan Halimah kepada anaknya yang bakal melahirkan anak sulung kelak.

“Eh, hari pertama tu kau dah ada susu ke? Aku sampai hari ketiga baru susu keluar. Terpaksalah aku bagi anak aku susu tepung sementara menunggu tu…” keluh Aina pula kepada rakan karibnya Maryam.

“Kenapa ye, hari kedua bayi aku lahir, aku perah susu tu warna kuning? Bukan susu patut warna putih ke? Elok ke bagi kat bayi aku tu?” Soal Lina bertalu – talu kepada Husna. Risau benar dia.

Sesungguhnya, apa yang dibualkan di atas adalah persoalan – persoalan yang sering diajukan oleh ibu – ibu muda. Malah, terdapat pelbagai lagi mitos yang diutarakan mengenai cecair kuning yang pekat dan melekit ini.

Cecair yang dimaksudkan adalah kolostrum atau susu yang dihasilkan oleh seorang ibu pada lingkungan tiga hari pertama selepas kelahiran bayinya. Kolostrum merupakan cecair yang istimewa dan mempunyai pelbagai khasiat penting, khas untuk bayi yang masih lemah dan baru mengenal dunia ini. Ciptaan hebat dari Yang Maha Kuasa ini mempunyai beberapa kandungan tertentu yang amat berharga dan kandungan tersebut tidak terdapat pada susu matang, apatah lagi pada susu formula.

Apakah sifat – sifat cecair yang amat istimewa ini? Kolostrum ini sebenarnya amat kaya dengan antibodi. Terdapat juga banyak sel hidup di dalamnya sehingga digelar “darah putih” oleh sesetengah pakar kanak – kanak. Ia juga bersifat laksatif dan dapat memudahkan pembuangan air besar bayi. Ia juga mengandungi pelbagai Faktor Pertumbuhan (Growth Factor) dan ia amat kaya dengan vitamin A.

Apakah pula kepentingan kolostrum ini? Benarkah pandangan warga dahulu kala yang mengatakan kolostrum ini sebagai susu basi? Tidak sama sekali, malah pelbagai kajian telah dilakukan dan kesemua kajian ini bersetuju bahawa kolostrum dapat memberikan perlindungan maksimum kepada bayi dari sebarang jangkitan. Oleh kerana ia juga bersifat laksatif, ia dapat mempercepatkan proses pembuangan mekonium, yang merupakan di antara faktor utama terjadinya jaundis (demam kuning). Kolostrum yang mengandungi banyak Faktor Pertumbuhan ini juga dapat mematangkan usus dan seterusnya dapat mengurangkan risiko alergi. Ia turut dapat mengurangkan kesan penyakit dan kandungan vitamin A yang tinggi mampu mencegah penyakit mata pada bayi. Ini amat bersesuaian sekali dengan firman Allah yang bermaksud:
"Pada kejadian kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang melata yang bertebaran, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah), bagi kaum yang meyakininya.” (Al-Jathiyah: 4). Begitu juga dengan firman Allah swt dalam surah az-Zariyat ayat 20 dan 21 yang bermaksud, “Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin. Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?”.

Di antara kandungan terpenting kolostrum adalah sejenis protein yang dinamakan Sekretori Immunoglobulin A (SIgA). Immunoglobulin adalah sejenis protein yang berfungsi sebagai antibodi di dalam badan manusia. Ia digunakan di dalam sistem pertahanan tubuh badan (sistem imuniti) untuk mengenalpasti dan meneutralkan objek asing seperti bakteria dan virus. SIgA adalah sejenis antibodi yang terdapat di dalam kolostrum dengan jumlah yang sangat tinggi. Kira – kira 80-90% daripada immunoglobulin di dalam kolostrum dan susu adalah terdiri daripada jenis SIgA. Kepekatannya boleh meningkat setinggi 12g/L di dalam kolostrum dan serendah 1g/L di dalam susu matang. Sebaliknya, disebabkan proses – proses yang perlu dilakukan ke atas, susu formula tiada langsung mengandungi SIgA.

Seorang bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif akan mendapat kira – kira 125mg/kg/hari SIgA pada umur sebulan, dan lebih kurang 75mg/kg/hari ketika berumur 4 bulan. Walaupun kepekatan SIgA di dalam kolostrum menurun dengan drastiknya dalam masa beberapa hari selepas kelahiran, tetapi dalam pada masa yang sama jumlah susu ibu turut meningkat dengan tingginya. Oleh itu jumlah total SIgA adalah hampir kekal sepertimana di awal kelahiran.

Manakala paras SIgA di dalam susu ibu yang melahirkan bayi pramatang adalah lebih tinggi berbanding dengan susu ibu yang melahirkan bayi matang. Bayi pramatang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit – penyakit yang berbahaya seperti Necrotizing Enterocolitis (NEC), sepsis, meningitis dan jangkitan virus. Kandungan antimikrob seperti immunoglobulin yang tinggi di dalam susu pramatang akan membantu untuk melindungi bayi pramatang daripada penyakit – penyakit tersebut.

Para saintis sudah membuktikan bahawa antibodi jenis SIgA dapat melawan pelbagai jenis bakteria, terutamanya bakteria yang berasal dari sistem usus bayi. SIgA adalah sejenis antibodi yang stabil dan berdaya tahan terhadap enzim proteolitik (enzim pemecah protein) di dalam perut, berbanding dengan antibodi jenis lain. Ketika bayi sedang menyusu, antibodi yang terdapat di dalam susu ibu ini akan bergerak masuk ke dalam saluran perut dan usus. Di dalam perjalanan itu, ia akan bergabung dengan mikrob – mikrob yang terdapat pada membran mukosa (sejenis lapisan yang melapisi sistem usus). Dengan itu, ia dapat menghalang mikrob daripada melekat pada sel – sel usus. Proses pelekatan mikrob pada sel usus merupakan langkah pertama untuk berlakunya sebarang jangkitan kepada bayi. Dengan itu, SIgA berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan bayi yang utama untuk melawan jangkitan usus. Maha Suci Allah, ciptaanNya amat hebat dan tidak mampu disaingi oleh mana – mana ciptaan manusia. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Firman Allah yang bermaksud:
"Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya." (Al-A'la : 2)

Kajian – kajian klinikal telah menunjukkan bahawa SIgA yang terdapat di dalam susu ibu mampu untuk melawan kuman seperti Vibrio cholerae (kuman untuk penyakit taun), enterotoksigenik E. coli, Campylobacter, Shigella dan Giardia lamblia. Kuman – kuman tersebut biasanya yang menyebabkan keracunan makanan pada manusia. SIgA mampu melindungi bayi daripada serangan cirit – birit yang disebabkan oleh kuman – kuman tersebut. Begitulah istimewanya SIgA yang hanya terdapat di dalam susu ibu.

Tidak dinafikan juga, susu ibu terutamanya kolostrum merupakan immunisasi pertama & terpenting bagi setiap bayi. Ketika bayi masih di dalam rahim ibu, dunia bayi adalah dunia yang selamat, bersih dan tidak tercemar oleh sebarang kuman mahupun jangkitan. Ini kerana rahim ibu memberikan perlindungan sepenuhnya kepada bayi yang masih lemah. Rahim ibu bolehlah dianggap sebagai kawasan vakum yang tidak boleh dilolos oleh sebarang kekotoran. Namun, sebaik sahaja bayi dilahirkan, dunia kecilnya yang selamat itu telah bertukar menjadi sebuah dunia yang amat luas dan penuh dengan pancaroba kuman dan jangkitan.

Allah swt itu Maha Kaya dan Maha Pencipta. Dicipta-Nya kolostrum (susu awal ibu) dengan hikmahnya yang tersendiri. Kolostrum merupakan sumber pertahanan yang terpenting bagi bayi yang baru lahir. Ia mengandungi antibodi dan sel – sel hidup yang mampu menyelamatkan bayi sebelum diberikan imunisasi formal (BCG, DPT, vaksin polio dan lain – lain). Inilah merupakan satu contoh sumber bukan nutrisi yang hanya terdapat di dalam susu ibu. Benarlah firman Allah swt yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”. (surah at-tin: 4)

Fisiologi jumlah isipadu kolostrum
Jumlah total kolostrum pada 24 jam pertama selepas lahir adalah sedikit (dipetik dari Riordan, 2005), tetapi sebenarnya jumlah ini sudah mencukupi untuk bayi itu. Secara puratanya hanya 37 ml kolostrum dihasilkan dalam satu hari (24 jam), dengan julat dari 7 hingga 123 ml, bergantung kepada penghasilan pada seseorang ibu tersebut. Jumlah ini semakin bertambah secara beransur – ansur dalam 36 jam pertama dan ia akan bertambah secara mendadak dalam 49 – 96 jam berikutnya. Pada hari kelima – jumlah isipadu total akan mencapai 500 ml / sehari. Jumlah ini seterusnya semakin meningkat ke 750 ml / sehari dalam selang masa 3 hingga 5 bulan penyusuan secara eksklusif. Apabila bayi mencapai umur 6 bulan, purata pengambilan susu adalah 800 ml / sehari.

Berdasarkan jumlah kolostrum pada 3 hari pertama kelahiran, ramai ibu merasa risau dan berpendapat bahawa susunya tidak mencukupi untuk bayi itu. Tidak ramai yang mengetahui bahawa jumlah yang sedikit (37 ml) itulah sebenarnya yang hanya diperlukan oleh bayi. Itulah sejumlah yang kecil untuk keperluan dan saiz perut yang kecil. Sesungguhnya persoalan susu tidak cukup pada hari – hari pertama kelahiran adalah tidak wajar diutarakan. Jika ibu itu mengharapkan susunya mengalir mencurah – curah sehingga 500ml pada hari pertama, memanglah mustahil. Ini kerana bayi yang masih kecil itu tidak memerlukan jumlah susu yang banyak pada mulanya. Indah sungguh ciptaan Mu ya Allah. Kau jadikan sesuatu itu cukup berdasarkan keperluannya. Tidak lebih dan tidak kurang. Mengapa masih ramai yang ragu dengan ciptaan-Mu yang satu ini? Sedangkan Kau juga telah berfirman yang maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (surah Luqman: 14).

Maka yakinlah, jika seseorang ibu itu mampu mengandung dan melahirkan anaknya, maka mengapa pula dia tidak mampu menyusukan anak itu dengan susunya sendiri?

Antara tips – tips yang penting untuk memastikan bayi mendapat kolostrum dengan secukupnya pada hari – hari awal kelahiran adalah dengan meletakkan bayi kepada ibu dengan sentuhan kulit ke kulit sebaik sahaja bayi dilahirkan. Seterusnya, usahakan agar bayi dapat menyusu dengan baik dan melekap dengan betul di payudara. Ini penting agar proses stimulasi dapat berlaku dengan lancar di samping dapat mengeluarkan kolostrum dari payudara dengan efektif. Jika ibu tidak mahir, maka segera dapatkan bantuan dari doktor, bidan ataupun jururawat yang bertugas. Antara tips – tips lain yang tidak kurang pentingnya adalah, sentiasa susukan bayi pada bila – bila masa sahaja yang dia mahu. Biarkan bayi bersama ibu sepanjang masa (‘rooming in’) dan elakkan dari bayi dibiarkan di bilik bayi atau ‘nursery’ ketika berada di hospital. ‘Rooming in’ amat penting agar ibu sentiasa memantau keadaan bayi dan segera menyusukannya bila bayi menunjukkan tanda – tanda ingin menyusu. Ia juga penting untuk mengelakkan kes jangkitan silang (‘cross infection’) yang mungkin berlaku kepada jika bayi ditinggalkan di bilik bayi. Susukan bayi dengan susu ibu sahaja dan elakkan pemberian air lain seperti air kosong, air teh, air glukos mahupun susu formula. Dengan itu, bayi akan mendapat kebaikan susu ibu sepenuhnya tanpa dicemari oleh alternatif lain.

Sewajarnya setiap ibu haruslah memberikan bayi mereka kolostrum yang sangat berkhasiat itu demi kesihatan dan pertumbuhan bayi yang tercinta. Sesungguhnya kasih ibu sentiasa padu dan salah satu caranya untuk membuktikan kasih itu adalah dengan memberikan nutrisi yang terbaik untuk anak – anak. Dan sesungguhnya, tiada nutrisi lain yang sebaik dan seistimewa susu ibu. Hapuskanlah kerisauan mengenai mitos – mitos yang menyelubungi kolostrum ini kerana sesungguhnya setiap ciptaan yang Allah jadikan itu adalah yang sebaiknya untuk umat manusia.

Rujukan:
1. Lars A. Hanson. Immunobiology of Human Milk: How Breastfeeding Protects Babies. Texas: Pharmasoft Publishing, 2004.
2. Riordan J. Breastfeeding and human lactation. Massachusetts: Jones & Bartlett Publishers, 2005.
3. Lawrence RA, Lawrence RM. Breastfeeding: A Guide for the Medical Profession. 6th edition. St Louis, MO: Mosby, 2005.


Oleh:
Dr Nazatul Shiha Bachtiar, MBBS, MMedSci