Friday, February 12, 2010

SUSU IBU - siri 2

(samb. 2/5)

KUMPULAN IBU BAPA

Sebenarnya saya mula mengenali Dr. Yazid semenjak saya menuntut di Fakulti Perubatan lagi, iaitu pada tahun 1996. Ketika itu, dia merupakan supersenior saya, dan kami memanggil beliau sebagai Abang Yazid. Takdir menentukan, saya meneruskan housemanship saya di PPUM pada 2001. Masuk posting keempat, iaitu posting pediatrik, saya ditempatkan di wad PICU (Paediatric Intensive Care Unit) di mana Dr. Yazid turut bertugas. Tika itu saya sedang sarat mengandungkan anak yang sulung. Namun tugas tetap tugas, dan saya amat gembira dapat bertugas bersama beliau, dan juga di samping Prof. Lucy Lam yang merupakan konsultan PICU ketika itu. Banyak ilmu yang saya perolehi dari mereka, secara langsung mahupun tidak.


Dr. Yazid sedang menerangkan mengenai penyusuan susu ibu kepada staf – staf PPUM yang khusyuk mendengar.


Dan kini, saya masih mendengar ceramah Dr. Yazid yang membincangkan mengenai beberapa jenis kumpulan ibu bapa. Menurut beliau, terdapat 5 jenis kumpulan ibu bapa berkenaan dengan pandangan mereka terhadap penyusuan susu ibu.

Yang Tahu dan mahu tak kira rintangan

Yang Tahu dan mahu tetapi perlu sokongan

Yang Dah Tahu tetapi tak mahu

Yang Tak Tahu tetapi mahu tahu

Yang Tak Tahu dan tak mahu ambil tahu


Namun, sudah pasti hanya ada satu Kumpulan Impian, iaitu:
Yang Tahu & Mahu tak kira rintangan, di mana mereka:
Mahu memberi sokongan kpd yang perlu
Mahu mengulangkaji dengan “Yang dah Tahu”
Mahu memberi tahu kepada yang mahu tahu
Mahu menghebahkan kepada yang tak mahu ambil tahu

Semoga kita tergolong di dalam Kumpulan Impian itu…

Para bapa sebenarnya merupakan tunggak yang terpenting ketika ibu menyusukan bayinya terutamanya ketika di dalam pantang. Bapa – bapa muda ini sedang asyik mendengar penerangan dari Puan Rohaya.


KEBAIKAN SUSU IBU

Bercakap mengenai kebaikan susu ibu ini, memang seolah – olah tiada penghujungnya. Sudah pasti ia adalah makanan terbaik untuk bayi. Kerana ia adalah satu – satunya makanan yang memberikan segala keperluan nutrisi untuk bayi yang berumur kurang dari 6 bulan. Sehingga kini, tidak ada satupun jenama susu formula yang mampu menyaingi kelebihan nutrisi dan bukan nutrisi yang terdapat di dalam susu ibu.

Susu ibu juga merupakan pemakanan yang perlu utk tumbesaran optima bagi bayi. Di samping itu ia dapat memberikan air yang mencukupi tanpa perlu sebarang air tambahan. Tidak seperti pemberian susu formula, yang mana pada kebiasaannya bayi itu perlu diberi tambahan air masak untuk mengelakkan sembelit. Bagi bayi yang berumur lebih dari 6 bulan pula, susu ibu merupakan ramuan diet yang tepat, di samping pemberian pemakanan komplementari. Perlu dinyatakan di sini bahawa susu ibu masih merupakan pemakanan utama bagi bayi berumur 6 sehingga 12 bulan, manakala pemberian makanan semi pejal atau pejal hanyalah sebagai komplementari atau pemakanan pelengkap kepada susu ibu tadi.

Tidak dinafikan juga, susu ibu terutamanya kolostrum merupakan immunisasi pertama & terpenting bagi setiap bayi. Ketika bayi masih di dalam rahim ibu, dunia bayi adalah dunia yang selamat, bersih dan tidak tercemar oleh sebarang kuman mahupun jangkitan. Ini kerana rahim ibu memberikan perlindungan sepenuhnya kepada bayi yang masih lemah. Rahim ibu bolehlah dianggap sebagai kawasan vakum yang tidak boleh dilolos oleh sebarang kekotoran. Namun, sebaik sahaja bayi dilahirkan, dunia kecilnya yang selamat itu telah bertukar menjadi sebuah dunia yang amat luas dan penuh dengan pancaroba kuman & jangkitan.

Allah swt itu Maha Kaya dan Maha Pencipta. Dicipta-Nya kolostrum (susu awal ibu) dengan hikmahnya yang tersendiri. Kolostrum merupakan sumber pertahanan yang terpenting bagi bayi yang baru lahir. Ia mengandungi antibodi dan sel – sel hidup yang mampu menyelamatkan bayi sebelum diberikan imunisasi formal (BCG, DPT, vaksin polio dan lain – lain). Kolostrum dapat mencegah jangkitan dan juga penyakit alergi. Inilah merupakan satu contoh sumber bukan nutrisi yang hanya terdapat di dalam susu ibu.


Kolostrum

Apakah sifat – sifat cecair yang amat istimewa ini? Kolostrum ini sebenarnya amat kaya dengan antibodi. Terdapat juga banyak sel hidup di dalamnya sehingga digelar “darah putih” oleh sesetengah pakar kanak – kanak. Ia juga bersifat laksatif dan dapat memudahkan pembuangan air besar bayi. Ia juga mengandungi pelbagai Faktor Pertumbuhan (Growth Factor) dan ia amat kaya dengan vitamin A.

Apakah pula kepentingan kolostrum ini? Benarkah pandangan warga dahulu kala yang mengatakan kolostrum ini sebagai susu basi?? Tidak sama sekali, malah pelbagai kajian telah dilakukan dan kesemua kajian ini bersetuju bahawa kolostrum dapat memberikan perlindungan maksimum kepada bayi dari sebarang jangkitan. Oleh kerana ia juga bersifat laksatif, ia dapat mempercepatkan proses pembuangan mekonium, yang merupakan di antara faktor utama terjadinya jaundis (demam kuning). Oleh itu bayi yang hanya menyusu susu ibu adalah didapati kurang kuning berbanding dengan bayi yang diberi susu formula. Kolostrum yang mengandungi banyak Faktor Pertumbuhan ini juga dapat mematangkan usus dan seterusnya dapat mengurangkan risiko alergi. Ia turut dapat mengurangkan kesan penyakit dan kandungan vitamin A yang tinggi mampu mencegah penyakit mata pada bayi.

Fisiologi jumlah isipadu kolostrum

Jumlah total kolostrum pada 24 jam pertama selepas lahir adalah sedikit (dipetik dari Neville et al, 1988), tetapi sebenarnya jumlah ini sudah mencukupi untuk bayi itu. Secara puratanya hanya 35 ml kolostrum dihasilkan dalam satu hari (24 jam), dengan julat dari 7 hingga 123 ml, bergantung kepada penghasilan pada seseorang ibu tersebut. Jumlah ini semakin bertambah secara beransur – ansur dalam 36 jam pertama dan ia akan bertambah secara mendadak dalam 49 – 96 jam berikutnya. Pada hari kelima – jumlah isipadu total akan mencapai 500 ml / sehari. Jumlah ini seterusnya semakin meningkat ke 750 ml / sehari dalam selang masa 3 hingga 5 bulan penyusuan secara eksklusif. Apabila bayi mencapai umur 6 bulan, purata pengambilan susu adalah 800 ml / sehari.

Berdasarkan jumlah kolostrum pada 3 hari pertama kelahiran, ramai ibu merasa risau dan berpendapat bahawa susunya tidak mencukupi untuk bayi itu. Tidak ramai yang mengetahui bahawa jumlah yang sedikit (35 ml) itulah sebenarnya yang hanya diperlukan oleh bayi. Jumlah yang kecil untuk keperluan (dan saiz perut!) yang kecil. Indah sungguh ciptaan Mu ya Allah. Kau jadikan sesuatu itu cukup berdasarkan keperluannya. Tidak lebih dan tidak kurang. Mengapa masih ramai yang ragu dengan ciptaan-Mu yang satu ini?


Formula Khas

Ini bukanlah formula khas susu tepung, sebaliknya formula khas dari susu ibu! Allah swt yang Maha Bijaksana telah menentukan bahawa susu ibu mempunyai formula atau kandungan yang tersendiri, bergantung kepada fasa penyusuan tersebut:

1) Fasa kandungan - Susu pra-matang / cukup bulan

2) Fasa laktasi - Kolustrum & susu matang

3) Semasa menyusu - Susu “fore-milk: rendah lemak” dan “hind-milk: kaya lemak; LCPUFA”

Di sini ingin ditambah lagi berkenaan dengan penemuan terbaru LCPUFA (Long Chain Polyunsaturated Fatty Acids). Terdapat pelbagai jenis LCPUFA, dan antara yang paling banyak dibuat kajian adalah DHA (Docosahexaenoic Acid) dan ARA (Arachidonic Acid). Kedua – dua DHA dan ARA ini hanya didapati di dalam susu ibu pada jumlah yang sesuai dengan umur bayi tersebut. Didapati bahawa DHA & ARA adalah sangat penting untuk perkembangan otak dan ketajaman penglihatan.

Kajian telah menunjukkan bahawa; bayi yang menyusu ibu:
1) MENDAPAT MARKAH LEBIH TINGGI dalam ketajaman penglihatan
2) menunjukkan perkembangan otak yang LEBIH BAIK

Manakala ‘Choline’ (kolin, yang juga hanya terdapat di dalam susu ibu) diperlukan untuk asas pembentukan otak bayi dan juga dapat memperbaiki ingatan jangka panjang.

8 comments:

The Pisces Man said...

Shiha, u dulu dgn hubby u ambik kursus jaga baby tak... and kat mana?

Dr Nazatul Shiha said...

abdun nop, didn't have the chance. But if u want, in PPUM, there is a Parentcraft class; designated especially for new parents/young couples (err.. kita nih category young couples lagi ke? hehe..). Well anyway, kindly contact Staff Nurse (Puan) Rohaya for further details: 03-7949 3172 or 012-391 8032. I've been to the class to help her out (jadi fasilitator ahaks!), and I do really think that the class is very helpful for first timers. Infact, kelas tu pernah di'promote'kan in one of the newspaper not long ago. All the best!

m i n e r a l . . . said...

hi...
syukur Alhamdulillah, my wife suka menyusukan baby kami sendiri, byk kebaikan susukan baby kan, isk kenapalah ramai lagi yg tak sedar2.

nice blog la :)

Dr Nazatul Shiha said...

m i n e r a l hi there..
good for you! pls say congrats to your wife for making such an effort. tu lah, bab kesedaran nih yg masalahnyer.. tu antara sebab saya buatkan blog nih.. to inform everybody akan kebaikan susu ibu. Tak syok la kalau family kita aje yg dpt 'nampak' and dpt benefit breastfeeding nih, kalau boleh mestilah kita nak semua parents & their children dpt benefit BF ni jugak..

Anonymous said...

salam
saya seorang ibu yg sedang menyusukan bayi secara eksklusif cuma nak tahu about breastfeeding jaundice. my baby dulu ada prolong jaundice and i read up ada yang disebabkan susu ibu. just nak tambah pengetahuan dalam hal ni. thanks. very informative blog

Dr Nazatul Shiha said...

dear nda
Congrats for being a breastfeeding mom! Keep it up! I'll try to write something about that, insyaAllah :). Harap2 masa mengizinkan.

Anonymous said...

salam,
just wondering lar..my baby umur 11 bulan...i stil masak bubur utk dia...tapi smpi umur berapa anak kita makan bubur? sbb i terpikirkan nak beli slow cooker...so can you advice me at ladymalaya@yahoo.com
Tqvm :)
ps: fyi, i still managed to give my baby ebm :D

lynn said...

salam kak... hehe saya menyibuk lagi... hehe masa discussion kat umah dulu ade kluar topic ni rasanya... pasal tempoh menyusukan... just nak confirm balik... mmg boleh ke susukan lebih 2 tahun?? kualiti susu berubah tak? ade yg kata mcam hisap darah ibu pulak?? huhu dah lama soalan ni berputar2 kat otak, still xdapat jawapan yg meyakinkan...tq kak layan karenah saya ni... hehe