Sunday, February 14, 2010

SUSU IBU - Siri 4

(samb. 4/5)

IMPIAN SETIAP ANAK

Saya pernah menghadiri satu ceramah oleh Dr. Musa Noordin, seorang pakar kanak – kanak yang terkenal. Beliau menunjukkan paparan yang serupa dengan ini, yang amat menyentuh hati saya:


Tanya beliau kepada kami para hadirin, “Apakah agaknya impian seorang kanak – kanak?”

Kami terdiam memikirkan jawapannya. “Ingin sebuah rumah yang besar?, ingin makanan yang sedap – sedap?, ingin permainan yang hebat –hebat?” itukah yang mereka inginkan?” fikir saya. Namun, beliau menunjukkan keseluruhan paparan itu:



Ya, yang sebenarnya mereka hanya ingin HIDUP! Jika mereka tidak bernyawa, bagaimana mungkin mereka dapat mencapai impian yang lain? Mungkin bagi kita yang dewasa, perkara ini dipandang remeh kerana tidak semudah itu untuk kita mati. Tetapi tidak bagi kanak – kanak, kerana hanya dengan mendapat cirit – birit yang teruk sudah cukup untuk mereka menderita. Dengan tahap imuniti yang masih belum matang dan keadaan fizikal mereka yang masih membesar, setiap penyakit merupakan cabaran yang amat besar bagi anak – anak ini. Cabaran untuk terus HIDUP!

Dengan pemberian susu ibu, dapatlah kita membantu mereka untuk menghadapi cabaran – cabaran itu. Bukannya dengan memberi pakaian yang cantik – cantik, mainan yang hebat – hebat, mahupun dengan memberi pemakanan kelas rendah (low grade food) seperti susu formula!


KEANGKUHAN SYARIKAT SUSU FORMULA

Seterusnya Dr. Yazid menunjukkan paparan yang berikut. Ini juga menunjukkan kepincangan syarikat pengeluar susu formula. Betapa angkuhnya mereka mengaku akan hakikat yang tak seberapa ini. Jauh langit dari bumi sebenarnya…

Sekarang, makin hampir ke susu ibu?

Tak sanggup untuk saya menatap penipuan yang terang – terangan ini. Boleh syarikat ini mengaku bahawa susu formula keluaran mereka semakin menghampiri susu ibu? Langsung tidak masuk dek akal. Hanya mereka yang tidak berpendidikan tinggi sahaja yang boleh tertipu dengan iklan yang sebegini. Jika hanya berdasarkan jumlah nisbah protein dan kasein, laktos, nisbah kalsium kepada fosforus, sudah dianggap hampir menyamai susu ibu, di mana hendak diletakkan antibodi – antibodi, sel – sel hidup, hormon – hormon dan pelbagai macam lagi kandungan nutrisi dan bukan nutrisi yang HANYA terdapat di dalam susu ibu? Di mana? Nasihat saya, janganlah mudah terpedaya dengan tipu helah yang tidak berpenghujung ini. Sedarlah wahai ibu bapa bahawa kuasa membuat keputusan terletak di tangan kita. Tepuk dada tanya selera!

Tidak dinafikan semua syarikat susu formula gergasi berhempas – pulas untuk menghasilkan susu tepung yang ‘terbaik’ dan ‘paling sesuai’ dengan pertumbuhan bayi. Demi untuk merealisasikan hasrat itu, mereka berusaha untuk menganalisis kandungan susu ibu dengan harapan dapat ditiru kandungan itu dan dimasukkan ke dalam susu formula keluaran mereka.

Sebagai contoh, Syarikat M**** J****** telah membuat penambahbaikan terhadap susu formula keluaran mereka berdasarkan kandungan yang terdapat di dalam susu ibu. Berbalik kepada beberapa paparan yang terdahulu,

[sila rujuk perenggan berikut:
Di sini ingin ditambah lagi berkenaan dengan penemuan terbaru LCPUFA (Long Chain Polyunsaturated Fatty Acids). Terdapat pelbagai jenis LCPUFA, dan antara yang paling banyak dibuat kajian adalah DHA (docosahexaenoic acid) dan ARA (arachidonic acid). Kedua – dua DHA dan ARA ini hanya didapati di dalam susu ibu pada jumlah yang sesuai dengan umur bayi tersebut. Didapati bahawa DHA & ARA adalah sangat penting untuk perkembangan otak dan ketajaman penglihatan. Kajian telah menunjukkan bahawa; bayi yang menyusu ibu:
1) MENDAPAT MARKAH LEBIH TINGGI dalam ketajaman penglihatan
2) menunjukkan perkembangan otak yang LEBIH BAIK

Manakala ‘Choline’ (yang juga hanya terdapat di dalam susu ibu) diperlukan untuk asas pembentukan otak bayi dan juga dapat memperbaiki ingatan jangka panjang
.],

Syarikat ini turut menambahkan DHA & ARA ke dalam susu formula mereka berasaskan penemuan di dalam susu ibu ini. Tindakan ini turut disusuli oleh pelbagai syarikat susu formula yang lain. Jangan kita lupa bahawa tindakan mereka yang cuba meniru komposisi susu ibu ini tidak bermakna bahawa susu mereka setanding dengan susu ibu, sebaliknya perbezaan kualiti antara susu ibu dan susu formula adalah amat jauh sekali!

Artikel di bawah juga turut menerangkan akan kebaikan susu ibu yang mengandungi ‘Mikrobiota’ yang amat berguna untuk pertumbuhan usus yang baik:

Penyelidik artikel ini mendapati bahawa ‘mikrobiota’ yang terdapat di dalam usus bayi – bayi yang menyusu susu ibu adalah dianggap sebagai ‘gold standard’. Komponen utama mikrobiota ini terdiri daripada bakteria dari spesis bifido (bifidobacteria), yang menyumbang kepada 70% daripada jumlah total mikrobiota di dalam bayi – bayi ini.


Ini pula merupakan asas bagi penambahan probiotik di dalam susu formula keluaran D****.


Berdasarkan artikel di atas, penyelidik dari Syarikat D**** sendiri mengakui bahawa di antara perbezaan yang paling ketara di antara bayi susu ibu dan bayi susu formula adalah pertumbuhan flora usus. Mereka turut mengakui bahawa tugas pertama mereka adalah untuk membangunkan teknik – teknik untuk menganalisa flora usus ini berdasarkan asas biologi molekul, supaya dengan ini dapatlah jarak perbezaan di antara bayi susu ibu dan bayi susu formula dikurangkan.


STRATEGI PEMASARAN SYARIKAT SUSU FORMULA

Persaingan di dalam perniagaan sentiasa sengit. Siapa yang paling bijak memasarkan produknya, pasti memperoleh pulangan yang lumayan. Untuk itu, strategi pemasaran yang komprehensif dan bertepatan perlu dijalankan. Dan inilah apa yang dilakukan oleh syarikat susu formula secara umumnya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat keuntungan yang maksimum.

Antara medium yang diguna pakai adalah melalui pengiklanan media masa dan penjualan susu secara retail. Manakala kumpulan sasaran mereka terdiri daripada pihak hospital, persatuan – persatuan profesional, pengamal perubatan seperti doktor, jururawat dan bidan, dan yang paling utama, ibu – ibu dan bayi – bayi itu sendiri.


Berdasarkan carta ini, dapat dilihat betapa komprehensif sekali cara mereka merapati dan menaburkan janji – janji manis mereka kepada kumpulan sasaran itu. Ini menunjukkan betapa mereka sebenarnya begitu hampir dengan kaum ibu dan bayi, dengan cara mempengaruhi pemikiran ibu – ibu ini secara langsung (melalui iklan contohnya) ataupun tidak (melalui pihak hospital, doktor dan lain – lain). Kaum ibu janganlah leka dan membiarkan syarikat – syarikat ini mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap kita. Kita haruslah sedar akan tanggungjawab kita untuk memberikan yang terbaik kepada anak – anak kita, terutamanya dari segi pemakanan mereka. Pastilah tugas ini tidak boleh diserahkan kepada lembu – lembu yang tidak tahu berfikir dan membuat keputusan seperti kita!

2 comments:

admin said...

allergic rhinitis tu apa ye dr/kak shiha?

m@rksm@n90 said...

tme ksih ats maklumat ini...
membntu sye membuat kerja kursus