Thursday, June 14, 2012

Anak mengalami sawan?

Menurut Paediatric Protocols for Malaysian Hospitals, demam sawan bermaksud sawan yang berlaku ketika anak berusia dari 3 bulan sehingga 6 tahun dan mengalami demam panas, yang mana anak – anak ini tidak pernah mengalami sebarang masalah otak (seperti Cerebral Palsy, pendarahan di otak dll) atau sebarang ketidakseimbangan elektrolit (seperti cirit – birit atau muntah yang terlalu teruk, badan kekeringan air yang teruk dll).

Bagaimanakah yang dikatakan demam sawan atau tarik itu?
Antara ciri – cirinya adalah:
1. Suhu bada meningkat melebihi 38.0 darjah Celcius
2. Tidak sedarkan diri / tidak responsif ketika dipanggil
3. Keseluruhan tangan dan kaki bergoncang atau tersentak – sentak (jerk)
4. Kedua bebola mata naik ke atas
5. Keluar air liur berbuih – buih dari mulut
6. Biasanya tempoh sawan adalah kurang dari 5 minit
7. Biasanya anak menjadi mengantuk sehingga mencapai tempoh sejam dari kejadian sawan tadi

Perlu ditegaskan walaupun keadaan anak pada ketika itu nampak menakutkan dan serius, tapi demam sawan yang mudah (simple febrile fits) mempunyai prognosis yang amat baik.

Tips – tips ketika anak mengalami sawan

1.Jangan panik, hendaklah bersikap tenang dan cuba kawal diri. Anda perlu tenang dan rasional supaya dapat membantu anak anda yang mengalami sawan. Jika anda juga turut panik dan menangis – nangis, ini boleh membahayakan keadaan anak anda ketika itu.

2.Sentiasa ingat bahawa sawan yang disebabkan oleh demam panas sangat jarang boleh menyebabkan kematian walaupun nampak seperti anak tidak responsif kepada panggilan anda pada ketika itu.

3.Pastikan keselamatan anak ketika sawan. Jika dia berdiri, maka baringkan dia sambil mengiring ke sebelah kiri. Rendahkan kepala dari badan supaya sebarang cecair yang keluar dari mulut tidak akan termasuk ke dalam paru – paru.

4.Lap sebarang cecair yang keluar dari mulut seperti muntah, air liur atau lendir.

5.Jauhkan dia dari benda – benda yang merbahaya seperti pisau, api atau baldi berisi air untuk mengelakkan sebarang kemalangan lain yang boleh meragut nyawa seperti tertusuk oleh pisau, terkena api atau kepalanya terendam di dalam baldi berisi air.

6.Longgarkan pakaian anak, terutamanya sebarang pakaian / rantai di sekeliling leher untuk mengelak dari tercekik.

7.Tidak perlu meletakkan sebarang objek keras di dalam mulut seperti sudu atau kayu walaupun dia tergigit lidahnya sendiri. Adalah lebih merbahaya kalau sudu atau kayu itu terpatah lalu menyebabkan anak tercekik.

8.Jangan beri sebarang air atau ubat melalui mulut pada waktu serangan berlaku (dikhuatiri tercekik atau tersedak).

9.Kawal kepanasan badan anak:
a) Buka baju dan demah badan dengan air biasa (tepid sponging)
b) Berikan sirap PCM mengikut dos yang ditentukan pada setiap 6 jam

10. Biasanya demam sawan hanya berlaku dalam tempoh masa beberapa minit sahaja. Namun kalau ini adalah kali pertama, atau ia berlanjutan lebih dari 15 minit, atau ia berlaku berulang – ulang kali, maka segeralah bawa anak ke hospital yang terdekat untuk pemeriksaan lanjut.


Tidak semua kanak – kanak yang mengalami demam sawan perlu ditahan di hospital. Antara sebab utama jika mereka ditahan di wad adalah:

1.Untuk memastikan tiada penyakit di dalam otak terutamanya jangkitan di selaput otak seperti meningitis.

2.Jika terdapat kebarangkalian mendapat sawan yang berulang – ulang.

3.Untuk memeriksa dan merawat penyebab demam (seperti jangkitan paru – paru, jangkitan air kencing atau jangkitan anak telinga).

4.Untuk meredakan kegelisahan ibubapa terutamanya jika anda tinggal jauh dari hospital.

Seringkali anda akan diberitahu bahawa anak anda perlu diambil air tulang belakang (lumbar puncture, LP) jika dikhuatiri terdapat jangkitan pada selaput otak (meningitis). Dan seringkali juga ramai ibubapa yang takut dan risau dengan prosedur ini – ada yang mengatakan anak menjadi lumpuh selepas prosedur ini dilakukan. Perlu dinyatakan di sini bahawa berdasarkan pengalaman penulis dan ramai doktor di Malaysia ini, prosedur ini adalah selamat dan amat penting dilakukan supaya dapat mengenalpasti jenis kuman atau virus di selaput otak. Ini penting supaya rawatan yang betul dapat diberikan kepada anak anda dan ini mungkin dapat menyelamatkan nyawanya dengan izin Allah. Segala mitos mengenai LP adalah tidak benar dan hanyalah kepercayaan kebanyakan orang kita sahaja.


Prognosis / harapan
Demam sawan adalah kejadian yang tidak merbahaya dan mempunyai harapan yang baik:

* hanya 3% dari populasi menghidap demam sawan
* 30% darinya boleh berulang kembali selepas serangan pertama
* 48% darinya boleh berulang kembali selepas serangan kedua
* cuma 2-7% berubah menjadi sawan tanpa demam atau epilepsi
* tiada bukti menunjukkan terdapat sebarang kecacatan neurologi atau kecacatan otak selepas demam sawan
* tiada kematian pernah dilaporkan disebabkan oleh demam sawan

Sentiasa ingat bahawa setiap kejadian yang berlaku adalah ujian dari Allah Taala. Oleh itu, jangan sesekali lupa untuk sentiasa berserah kepada Allah dan sentiasalah meminta bantuanNya pada sepanjang masa. Kita diwajibkan untuk berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh - sungguh, dan dalam hal ini untuk merawat anak. Ini boleh dilakukan dengan segera menghantar anak ke hospital untuk diperiksa oleh doktor dan memberi kerjasama yang sebaiknya kepada pihak hospital. Di samping itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk turut mencari info dan ilmu mengenai penyakit atau kejadian yang berlaku kepada anak kita supaya kita faham terhadap apa yang berlaku kepadanya.

Jangan sesekali tunduk kepada bisikan syaitan yang mengatakan anak anda tersampuk hantu, jin mahupun penunggu. Jangan terpedaya dengan cakap - cakap orang, ibu bapa atau orang - orang tua yang mengatakan bahawa anak anda disihir orang atau terkena buatan orang. Dapatkan bantuan dan rawatan dari pihak kesihatan terlebih dahulu supaya anda dapat pastikan apakah yang berlaku kepada anak anda. Jika anda tidak puas hati atau kurang yakin dengan rawatan seseorang doktor, adalah menjadi hak anda untuk mendapatkan pendapat kedua atau 'second opinion' dari doktor atau hospital yang lain. Ketahui hak anda sebagai pesakit atau saudara kepada pesakit. Setelah anda yakin dengan maklumat dan keadaan anak yang diberikan oleh pihak kesihatan, maka lebih mudah untuk anda tidak terpengaruh dengan kata - kata orang lain yang tidak berpengetahuan mengenai apa yang berlaku kepada anak anda.

Sebenarnya isu sebegini amatlah penting kerana ia melibatkan Aqidah anda sebagai seorang Muslim. Masih ramai ibu bapa yang terpedaya lalu pergi berubat dengan dukun, pawang, bidan dan sebagainya tanpa menyedari bahawa mereka sedang mempertaruhkan Aqidah mereka untuk itu. Jangan! Kerana yang rugi dan mendapat dosa adalah anda sendiri jika terjatuh ke lubang syirik yang mana tiada pengampunan dari Allah Taala. Sentiasa berhati - hati dan berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan yang merugikan akhirat anda.

Allahua'lam. Semoga bermanfaat di dunia dan akhirat.



Rujukan:

1. Paediatric Protocols for Malaysian Hospitals, edisi 2, tahun 2008. http://mpaweb.org.my/article.php?aid=67

2. Febrile seizures: current role of the laboratory investigation and source of the Fever in the diagnostic approach. Teran CG, Medows M, Wong SH, Rodriguez L, Varghese R. Pediatr Emerg Care. 2012 Jun;28(6):493-7.

3. Febrile seizures: an epidemiological and outcome study of 482 cases. Sfaihi L, Maaloul I, Kmiha S, Aloulou H, Chabchoub I, Kamoun T, Hachicha M. Childs Nerv Syst. 2012 May 9.

4. Febrile seizures: current views and investigations. Reid AY, Galic MA, Teskey GC, Pittman QJ. Can J Neurol Sci. 2009 Nov;36(6):679-86.



1 comment:

Admin said...
This comment has been removed by a blog administrator.