Monday, June 11, 2012

Di celah - celah kehidupan

Hari ini berjumpa satu Pakcik yang berjalan dalam kepayahan masuk ke bilik saya. Dia baru membuat ujian darah dan saya ditugaskan untuk memberi nasihat mengenai keputusan ujian darah yang telah dilakukannya. Melihatkan dia berjalan dalam kepayahan itu, saya terus bertanya dahulu, apakah cerita di sebalik ujian darah tersebut?

Pakcik itu memberitahu, lebih kurang sebulan yang lalu, dia didapati menghidap penyakit Kencing Manis. Dia telah diberi ubat yang bersesuaian oleh doktor di klinik kesihatan. Ketika itu, tiadalah sebarang masalah yang dihadapi. Selepas itu, dia telah diperkenalkan dengan sejenis 'Kopi' yang dikatakan mampu merawat Kencing Manis, Kolestrol Tinggi dan meningkatkan kesihatan badan secara umumnya. Katanya, pada kotak 'Kopi' tersebut terdapat lukisan yang menunjukkan bagaimana 'Kopi' tersebut mampu 'menghakis' lapisan lemak di dalam perut!.

Pakcik itu telah menghabiskan beberapa bungkusan kopi tersebut dan selepas itu dia mula merasakan kesakitan di dalam perutnya. Seluruh kaki turut merasa sakit. Dia juga mengalami najis berdarah dan najisnya bertukar menjadi hitam pekat seperti minyak tar.

Bila dilihat keputusan darahnya, memanglah dia mengalami kekurangan Zat Besi dan kandungan Hemoglobinnya juga turut merosot menghampiri nilai yang di bawah paras normal.

Dia sudah mendapatkan temujanji di sebuah hospital kerajaan untuk membuat 'Gastroskopi'. Saya dapat menjangkakan yang terdapat ulser di dalam perutnya, berdasarkan simptom yang dihadapi dan keputusan darah yang dilakukannya.

Akhir ayat dari Pakcik itu adalah, “Rasa macam nak sumpah si penjual 'Kopi' itu!” dalam nada yang tertahan...

No comments: