Friday, January 27, 2012

Hurt By Others: How to Cope and Heal

Artikel ini adalah hasil tulisan Sister Yasmin Mogahed. Sila rujuk artikel asal di link berikut:
http://www.yasminmogahed.com/2010/04/27/hurt-by-others-how-to-cope-and-heal/

Ketika saya membesar, dunia ini adalah satu tempat yang sempurna. Cuma masalahnya adalah, ianya sebenarnya tidak sempurna. Dahulu saya pernah percaya bahawa semunya sentiasa 'adil'. Maksudnya pada saya adalah, sepatutnya tiada siapa yang dizalimi, dan jika ada maka keadilan mestilah ditegakkan. Saya berusaha keras untuk menegakkan kepercayaan saya itu. Tapi dalam perjuangan itu, saya terlupa untuk memerhatikan satu perkara yang paling asas mengenai kehidupan ini. Di dalam idealism keanak-anakkan saya, saya gagal untuk memahami bahawa dunia ini memanglah sebenarnya dijadikan tidak sempurna. Kita, sebagai manusia, telah diciptakan untuk menjadi tidak sempurna. Jadi kita pastilah akan membuat silap. Dan ketika membuat silap itu, kita tidak dapat tidak akan melukakan hati orang lain samada sedar atau tidak, dengan niat atau tidak. Dunia ini memang sentiasa tidak adil.

Adakah itu bermakna yang kita akan berhenti dari menegakkan keadilan, atau berputus asa terhadap Kebenaran? Pastilah tidak. Tapi ia bermakna yang kita tidak sepatutnya meletakkan dunia ini – dan juga segala perkara lain – ke satu paras yang tidak realistik. Tapi itu bukanlah perkara yang mudah. Bagaimanakah kita mampu hidup di dunia yang sangat rosak, di mana orang lain akan menghampakan kita, malah keluarga kita sendiri boleh menghancurkan hati kita? Dan mungkin, yang paling susah adalah, bagaimanakah kita harus belajar memaafkan ketika kita dizalimi? Bagaimana kita boleh menjadi kuat, tanpa menjadi keras, dan kekal lembut, tanpa menjadi lemah? Bilakah kita bertahan, dan bilakah kita patut melepaskan? Bilakah yang dikatakan sangat prihatin, menjadi terlalu prihatin? Wujudkah keadaan di mana kita menyintai lebih dari yang sepatutnya?

Untuk mula mencari jawapan kepada persoalan – persoalan ini, mula – mula sekali kita perlu melangkah keluar dari kehidupan kita. Kita perlu melihat adakah kita orang pertama atau terakhir yang merasai kepedihan atau dizalimi. Kita perlu melihat kepada mereka yang datang sebelum kita, belajar dari perjuangan mereka, dan kejayaan mereka. Dan kita perlulah menyedari bahawa kematangan tidak pernah datang tanpa kesakitan, dan kejayaan hanyalah hasil daripada kesusahan. Kesusahan itu hampir pasti merangkumi ketegaran dan keupayaan menghadapi kemudaratan yang dihasilkan oleh orang lain.

Melihat kembali contoh terbaik dari nabi – nabi kita akan mengingatkatn kita bahawa kita bukanlah bersendirian bila mengalami sebarang kepedihan. Ingatlah bahawa Nabi Nuh a.s. dizalimi oleh umatnya selama 950 tahun. Di dalam Quran ada mengatakan bahawa: “Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Dia seorang gila dan dia telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama). (Quran, 54:9) Nabi Nuh telah didustakan sehinggalah baginda “berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)! (Quran, 54:10).

Atau kita boleh ingat kembali bagaimana Nabi junjungan kita Nabi Muhammad salallahualaihiwasallam telah dibaling batu, sehingga baginda berdarah, dan bagaimana para sahabat telah dipukul dan dibiarkan kebuluran. Semua kemudaratan ini telah dilakukan oleh orang lain. Sehinggakan para Malaikat juga memahami sikap manusia ini – malah sebelum kita wujud lagi. Ketika Allah memberitahu kepada para Malaikat yang Dia akan menciptakan manusia, persoalan pertama mereka adalah kemudaratan yang bakal dihasilkan oleh manusia. Allah memberitahu kita: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Quran, 2:30).

Potensi manusia untuk melakukan kejahatan terhadap satu sama lain adalah satu realiti yang menyedihkan di dalam kehidupan ini. Namun ramai di antara kita adalah sangat dirahmati. Kebanyakan dari kita tidak perlu menghadapi kesusahan dan kepayahan yang telah dialami oleh manusia lain di sepanjang zaman. Kebanyakan dari kita tidak perlu melihat keluarga kita disiksa dan dibunuh. Pun begitu, tersangat sedikit dari kita yang boleh mengatakan bahawa kita tidak pernah disakiti, dalam apa cara sekalipun, akibat dari perbuatan orang lain. Maka walaupun kebanyakan dari kita tidak pernah merasai bagaimanakah rasanya kebuluran sehingga mati atau hanya mampu melihat tanpa mampu berbuat apa – apa apabila rumah kita dimusnahkan, kebanyakan dari kita tahu apakah rasanya bila menangis dari hati yang terluka.

Adakah boleh untuk kita mengelakkan perkara sebegini? Sehingga ke tahap tertentu, saya rasa boleh. Kita memanglah tak mampu untuk mengelak kesemua rasa kesakitan itu, tapi dengan cara mengubah harapan kita, respons kita, dan fokus kita, kita mampu mengelak dari merasa tersangat kecewa. Sebagai contoh, meletakkan seluruh harapan, kepercayaan dan kebergantungan kita ke atas orang lain adalah tidak realistik dan sangatlah bodoh. Kita harus ingat bahawa manusia sentiasa membuat silap dan oleh itu, segala harapan, kepercayaan dan kebergantungan kita hanyalah boleh diletakkan ke atas Allah semata – mata. Allah mengatakan bahawa: “.... sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Quran, 2:256). Dengan mengetahui bahawa hanyalah pada Allah yang mana simpulan tali itu tidak akan putus, akan dapat menyelamatkan kita daripada sebarang kekecewaan yang tidak diperlukan.

Tapi ini bukanlah bermaksud yang kita tidak patut menyintai atau kurang menyintai. Yang penting adalah bagaimana kita menyintai. Tiada apa yang patut menjadi objek terunggul untuk dicintai, melainkan Allah. Tiada perkara lain yang sepatutnya mendahului Allah di dalam hati kita. Dan kita tidak sepatutnya sampai ke tahap di mana, kita menyintai sesuatu selain dari Allah sehinggakan kita tidak mampu meneruskan hidup tanpanya. 'Cinta' jenis ini bukanlah cinta, tapi sebenarnya adalah penyembahan, dan ia hanya akan menyebabkan kepedihan.

Tapi apakah yang berlaku apabila kita sudah melakukan kesemua itu dan kita tetap disakiti atau dizalimi oleh orang lain – sebagaimana ianya tetap akan berlaku? Bagaimanakah kita mampu melakukan sesuatu yang paling susah? Bagaimanakah kita harus belajar memaafkan? Bagaimanakah kita harus belajar untuk mengubati luka kita dan terus menjadi orang yang baik, walaupun mereka tidak baik terhadap kita?

Di dalam kisah Abu Bakar r.a, terdapat satu contoh yang indah untuk direnungi. Selepas anak perempuannya, Aisyah r.a telah difitnah dengan teruk sekali, Abu Bakar r.a telah dapat mengetahui bahawa sipembawa fitnah tersebut adalah Mistah, iaitu sepupu Abu Bakar yang selama ini mendapat bantuan kewangan dari beliau. Pastilah Abu Bakar menyekat bantuan kewangan tersebut. Tidak lama selepas itu, Allah telah menurunkan ayat berikut: “Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Quran, 24:22). Sebaik sahaja mendengar ayat ini, Abu Bakar bertekad untuk mendapatkan keampunan dari Allah, maka beliau bukan saja meneruskan bantuan kewangan kepada sepupunya, malah beliau meningkatkan jumlah wang tersebut .

Kemaafan yang sebegini hanyalah terdapat di dalam hati seorang yang beriman. Dalam menerangkan mengenai orang yang beriman ini, Allah swt mengatakan: “
Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.” (Quran, 42:37).

Keupayaan untuk sentiasa memaafkan sepatutnya terbit dari kesedaran bahawa kita juga mempunyai kekurangan dan melakukan kesalahan terhadap orang lain. Namun yang paling penting, perasaan rendah diri itu patut lahir dari kenyataan bahawa kita mengkhianati Allah pada setiap hari di dalam hidup kita, apabila kita melakukan dosa. Siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan Allah? Namun, Allah Pemilik seluruh alam, memaafkan kita siang dan malam. Siapalah kita untuk tidak memaafkan orang lain? Jika kita mengharapkan keampunan dari Allah, bagaimana mungkin kita tidak boleh memaafkan orang lain? Oleh kerana sebab inilah Nabi mengajar kita: “Sesiapa yang tidak mengasihani orang lain, maka Allah tidak akan mengasihaninya.” [Muslim].

Harapan untuk mendapat keampunan dari Allah sepatutnya memberi kita motivasi untuk sentiasa memaafkan orang lain dan dengan harapan suatu hari nanti kita akan masuk ke dalam alam yang benar – benar sempurna..

No comments: