Sunday, July 11, 2010

Kekuatan Jiwa



Di dalam mengharungi kehidupan di dunia sebagai bekalan untuk kehidupan di akhirat, kita sebenarnya amat memerlukan kekuatan jiwa. Kerana dari kekuatan jiwa itulah dapat membantu kita untuk meraih syurga. Umat Islam yang terdahulu, semuanya diuji dengan pelbagai ujian yang memerlukan jiwa yang kental. Sebagaimana firman Allah taala:
“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?” (Al-Ankabuut: 2)

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kepentingan kekuatan jiwa ini, bolehlah membaca artikel tersebut di link ini:
Ibarat Sebuah Rumah
Artikel tersebut ditulis oleh madu saya, Mimi ketika kami sama - sama mendengar tazkirah yang disampaikan oleh suami kami, Ustaz Emran. Kiranya kedua - dua tulisan ini saling lengkap - melengkapi insyaAllah.

Maka, bagaimanakah para ulama dapat mengenalpasti apakah kriteria – kriteria kekuatan jiwa yang diperlukan untuk menegakkan syiar Islam yang syumul berdasarkan panduan Al-Quran dan Sunnah? Untuk itu, para ulama silam telah bertadabbur dan mengkaji setiap ayat di dalam AQ untuk mencari apakah kekuatan jiwa itu. Hasil dari itu, mereka berhasil mengumpulkan 10 kekuatan jiwa yang penting yang perlu ada dan diamalkan oleh setiap hamba yang mengaku menganut agama Islam.

Kekuatan jiwa yang pertama adalah YAQEEN. Yaqeen juga bermaksud Iman atau percaya. Yaqeen, atau dalam bahasa Melayunya, yakin dapat dibahagikan kepada 3 jenis. Jenis yang pertama adalah ‘Ainul Yaqeen. Ini bermakna, seseorang itu dapat membina keyakinan setelah dia dapat melihat sesuatu perkara itu berlaku. Contohnya, jika dia diberitahu bahawa terdapat satu kemalangan di hadapan jalan, mungkin dia masih tak percaya sehinggalah dia melihat sendiri kereta yang mengalami kemalangan tersebut. Yaqeen tahap ini adalah keyakinan yang terendah, kerana seseorang itu memerlukan sesuatu ‘bukti’ atau material yang wujud dan dapat dilihat sebelum dia boleh mempercayainya. Jenis yang kedua adalah ‘Ilmu Yaqeen. Orang yang memiliki ‘ilmu yaqeen bermaksud setelah mereka memperoleh sesuatu ilmu, maka dengan keilmuan itu dapat membina keyakinan mereka terhadap agama. Manakala yaqeen jenis yang ketiga adalah ‘Haqqul Yaqeen’. Ini merupakan keyakinan yang hakiki yang hanya mampu diraih oleh orang – orang yang benar – benar beriman. Keyakinan bahawa manusia kelak akan dihisab dan mempercayai kewujudan Allah dan mempercayai segala yang datang daripada Allah swt dan mempercayai dengan jitu tanpa ragu segala arahan Allah swt.

Golongan inilah yang disebut sebagai golongan yang memiliki sifat Ihsan iaitu beribadah kepada Allah seolah-olah mereka melihat Allah kerana meyakini kebenaran agama ini dan sekiranya mereka tidak dapat melihat Allah swt maka mereka tetap meyakini bahawa diri mereka dilihat oleh Allah swt lalu di dalam kelemahan dan kekuatan, di dalam suka atau terpaksa mereka tetap menunaikan kewajipan mereka kerana menyedari dan menyakini mereka diperhatikan oleh Tuhan Yang Maha Gagah.

Lawan kepada yakin adalah syak wasangka dan perasaan was – was. Maka bagi mereka yang masih merasa was – was terhadap kebenaran agama Islam, sesungguhnya mereka masih belum mencapai tahap pertama dalam kekuatan jiwa iaitu keyakinan. Mereka inilah golongan yang rugi disebabkan belitan syaitan yang menimbulkan perasaan syak wasangka dan was – was itu.

Kekuatan jiwa yang kedua ialah IKHLAS. Ini bermaksud melakukan sesuatu HANYA KERANA ALLAH taala dan tidak selainnya. Jadi, bagaimanakah kita hendak mengikhlaskan diri kita hanya kerana Allah? Antaranya adalah dengan timbulnya rasa cinta yang mendalam kepada Allah taala. Kita juga mesti memahami dan mengetahui mengenai agama kita di mana di situ timbullah iman. Dan yang ketiga, kita hendaklah mengharapkan yang lebih baik di akhirat kelak tanpa mengharapkan sebarang balasan di dunia ini. Oleh itu, bagi para isteri, bila dikatakan ikhlas melakukan sesuatu di dalam rumah tangga, ia bermaksud tidak mengharapkan sebarang balasan atau pujian dari suami dan anak – anak. Contohnya, bagi seorang isteri yang berkerjaya dan penat seharian di tempat kerja, lalu dia pulang ke rumah dan bergegas untuk menyediakan makan malam.

Setelah siap memasak, diapun memanggil suami dan anak – anak datang untuk makan. Tiba – tiba si suami tidak mahu makan sebaliknya ingin keluar sebentar bersama seorang rakan. Maka apakah tindakan si isteri? Jika isteri itu memiliki kekuatan jiwa dan ikhlas ketika menyediakan makanan tadi, maka dia tidak akan merasa kecil hati atau bersedih. Yang penting, dia sudah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri pada ketika itu iaitu untuk menyediakan makanan bagi keluarganya. Dengan itu, dia ikhlas melakukan tugasannya itu HANYA KERANA ALLAH dan tidak mengharapkan sebarang balasan dari suami atau anak – anaknya.

Memanglah, makanan itu mungkin membazir, tapi itu adalah antara suaminya dengan Allah, dan jika dia seorang isteri yang bijak, mungkin dia boleh menyimpan makanan itu untuk diubahsuai dan dijadikan sarapan pada keesokan harinya. Yang penting, dia tidak boleh hilang fokus iaitu tetap melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri yang masih tersenyum dan melayan suaminya dengan sebaik mungkin walau pada ketika itu hatinya terasa dengan tindakan suaminya yang tidak mahu makan masakannya. Ingatlah, tanggungjawabnya adalah untuk taat kepada suami kerana itu adalah perintah Allah.

Untuk senarai kekuatan jiwa yang seterusnya, akan disambung kemudian...

**artikel ini ditulis berdasarkan kelas Ustaz Emran yang diikuti oleh kami

No comments: