Thursday, March 22, 2012

Adakah Kita Sang Keldai Itu?

Saya semakin menyedari dan sangat bersyukur kepada Allah akan kesedaran ini. Ini hanyalah perkongsian tak seberapa dari saya selepas seberapa lama menghadapi dari satu ujian ke ujian yang lain. Saya tak memaksa sesiapapun untuk bersetuju dengan saya, namun saya terpaksa juga menulis hal ini kerana saya takut ditanya oleh Allah kelak, kenapa kau tak bincangkan dengan orang lain?




Dalam hidup ini, terlalu banyak perkara yang ingin kita perjuangkan. Kita ingin berjuang mengenai hak – hak wanita dan isteri. Kita ingin berjuang mengenai agama. Kita ingin berjuang mengenai anak – anak. Kita juga sering terlibat dengan perbincangan – perbincangan, perdebatan – perdebatan malah pertikaman lidah sesama kita mengenai sebarang isu yang ingin kita perjuangkan. Dan ada di antara kita yang mengambil tindakan yang lebih ke hadapan dengan turun padang dan bergerak juga berkerja supaya isu – isu yang kita bangkitkan itu bukan sahaja diterima oleh orang lain, malah turut diamalkan dan ditabalkan sebagai undang – undang yang sah di negara kita.



Ada yang menganggap isu – isu ranting atau furu' di dalam agama adalah perkara terpenting yang perlu diperjuangkan. Maka penuhlah FB dan blognya mengenai keharaman muzik dan lagu, hukum bacaan doa qunut, bilangan solat tarawikh (sebagai contoh) dan yang seumpamanya. Hinggakan sanggup bertikam lidah dan bermusuhan dengan orang lain yang tidak bersependapat dengannya.


Ada pula menganggap isu – isu pemakanan anak sebagai perkara terpenting di dalam hidupnya. Maka hidup dan mati kita adalah untuk memperjuangkan agar seluruh rakyat di negara kita memahami dan menerima bahawa hanya susu ibu adalah yang terbaik untuk anak – anak kita. Benar, itu memang tak salah. Masalahnya adalah PRIORITY. Dan PRIORITY adalah PILIHAN kita.




Ada juga di antara kita yang memperjuangkan isu – isu lain seperti poligami. Sepanjang masa bercakap mengenai poligami dan berusaha menyedarkan seramai mungkin mengenai kebaikan dan kelebihan berpoligami. Dan sudah pasti ianya mengundang resah kepada mereka yang fobia dengan perkataan yang bermula dengan huruf P itu. Perkataan P itu juga penting, kerana ia boleh menjadi wasilah. Again, apakah PRIORITY kita?




Sayang sekali, bila kita mahu anak kita mendapat pemakanan yang terbaik, susu yang terbaik, dan berusaha bersungguh – sungguh ke arah itu dan memastikan dia menyusu badan sehingga genap 2 tahun atau lebih. Maka selepas itu kita membuat tindakan yang tidak parallel dengan usaha awal kita tadi iaitu menghantar anak – anak kita ke sekolah yang bercampur di antara lelaki dan perempuan (contohnya), atau ke sekolah yang lebih menitikberatkan ilmu barat berbanding dengan ilmu agama (contoh saja), atau mungkin saja kita juga sudah berusaha yang terbaik dengan menghantar ke sekolah swasta beraliran agama dengan nama yang canggih – canggih seperti Itqan, Khadijah dll namun anak – anak kita tetap memuja cerita High School Musical (contohnya) atau masih meminati si Justin Bieber. Di mana silapnya?

Sayang juga bila kita begitu menitik beratkan hal – hal agama sehingga yang paling kecil sekecil zarah namun kita seolah terlupa perkara pokok dan besar di dalam agama seperti masalah aqidah dan juga masalah perpaduan umat. Kita sanggup berdebat mengenai masalah khilaf seperti hukum muzik sehinggakan kita terlupa bahawa hasil perdebatan itu kita bermusuhan dengan saudara semuslim kita sendiri lalu berpecah daripadanya. Sedangkan sudah qatie bahawa perpaduan umat Islam adalah lebih penting – melukakan saudara muslim yang lain adalah seperti melukakan diri sendiri; tidak sempurna iman kita jika kita tidak mencintai saudara semuslim sepertimana kita mencintai diri kita sendiri. Bagaimana tu?

Disebabkan perpecahan umatlah maka saudara kita di Bosnia dilanyak oleh Serbia. Disebabkan masalah yang sama maka saudara Sunni kita di Syria dibantai oleh Syiah Alawiyah pimpinan Bashar Al-Assad. Disebabkan umat Islam seluruh dunia terlalu lemah dan tidak mampu bersatu padu, Islam di Indonesia bergaduh dengan Islam di Malaysia; negara Islam Liga Arab tidak terkata apa – apa; pemerintah Saud, Qatar, Kuwait sudah tercucuk hidungnya dengan ikatan dengan Amerika – maka terjadilah apa yang terjadi di depan mata kita, iaitu perkara pokok yang kita pandang sebelah mata: pembantaian orang Islam yang lemah di merata dunia; di Palestin; di Ughyur, China; di Afghanistan, di Iraq dan kini di Syria. Semuanya kerana kita tidak mampu bersatu. Adakah kaitannya dengan kita? YA! Sangat berkaitan!. Jangan kita ingat yang negara kita ini isolated dari negara Islam di luar sana. Jangan kita ingat kita boleh terselamat sedangkan orang Islam di Syria juga mungkin berfikiran seperti kita sekarang, 15 tahun yang dahulu. 15 tahun tidaklah lama – kita mungkin masih hidup, atau ANAK – ANAK kita mungkin masih hidup untuk melihat perkara yang sama berlaku kepada negara kita pula. Bukankah negara kita yang terlalu kecil dan so insignificant ini juga terlibat di dalam Peperangan Dunia Pertama dan Kedua (WWI & WWII)? Adakah datuk nenek kita bersedia sepenuhnya pada ketika itu? Takkanlah dah terhantuk baru nak terngadah, itulah kebodohan yang jelas namanya.

Saya bukanlah nak anticipate sebarang peperangan, revolusi atau apa – apa yang seumpama dengannya. Cuma yang saya nak timbulkan adalah, ADAKAH KITA SUDAH BERSEDIA? ADAKAH ANAK – ANAK KITA SUDAH BERSEDIA? Kalaupun bukan pada masa kita, adakah kita sudah menyediakan anak – anak kita secukupnya untuk menghadapi masa – masa fitnah yang mendatang? Hmm.. kita memang masih belum bersedia jika kita fikir bahawa sekolah aliran kerajaan (sebagai contoh) yang bercampur lelaki dan perempuan dan terlalu mementingkan keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM sebagai segalanya adalah sekolah terbaik untuk anak kita. Itu sudah cukup untuk menerangkan pola pemikiran kita.

Memang ada di antara kita yang sudah nampak kesan buruk itu kepada anak – anak, lalu menghantar mereka ke sekolah agama swasta (sebagai contoh). Tapi nampaknya itu juga masih belum cukup kalau si anak kecil tetap bergirlfriend – boyfriend, tetap lagha dengan FB dan internet, tetap tidak nampak hala tuju atau terlalu dimanjakan sampai bila dah kahwin nak masakpun tak tahu. Itulah realiti pedih yang perlu kita telan. Lalu apa lagi? Bagaimana lagi yang perlu kita lakukan? Memang ramai yang sedar akan hal ini, dan tahu apakah yang patut kita lakukan – persoalannya SANGGUPKAH KITA BERKORBAN?

Dalam hal ini, pada pendapat saya, kita wajar mengambil iktibar dari masyarakat Cina di negara kita. Ambillah pengajaran daripada mereka bagaimana mereka sanggup berkorban (dengan cara yang betul) untuk anak – anak.




Contoh 1: Seorang ibu Cina berusia sekitar 30-an merupakan surirumah dan menjaga 2 orang anak berumur 12 tahun dan 7 tahun. Suaminya bekerja sebagai pemandu. Anak pertama menghidap penyakit Cerebral Palsy (CP) dan memerlukan penjagaan sepenuhnya dari ibu itu. Mereka bukanlah kaya dan cuma mengharapkan gaji yang tak seberapa dari suami si pemandu. Namun, mereka berdua sanggup menghabiskan lebih dari RM2 ribu ringgit untuk memeriksa kesihatan mereka (screening program) supaya keadaan mereka tiptop untuk menjaga anak – anak. RM2K untuk mereka bukanlah murah – malah jiran ingat mereka kaya kerana sanggup menghabiskan duit sebanyak itu hanyalah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang masih dianggap sebagai 'luxury'. Tahun lepas, si ibu didapati menghadapi masalah hati/liver di mana berdasarkan ujian darah 'Liver Function Test' (LFT; yang merupakan 'satu luxury' di mana kalau tiada sebarang simtom, susahlah seorang doktor nak menjalankan ujian tersebut secara 'free willing') didapati bahawa beberapa indikator 'liver enzymes' sudah meninggi (raised liver enzymes). Si ibu yang concern ini terus mencari supplement yang sesuai dan mengamalkannya selama setahun, di samping mengamalkan pemakanan yang sihat dan menjauhi makanan berlemak dan berminyak. Tahun ini dia kembali lalu mengulangi ujian LFT. Subhanallah, ujian LFT tersebut menunjukkan kesemua raised liver enzymes tadi sudah menjadi normal dengan izin Allah. Ibu itu memberitahu, mereka memanglah tak kaya, tapi dek kerana memikirkan anak yang cacat dan tiada orang lain yang boleh menjaga anak itu kalau dia sakit, maka dia perlu sentiasa memastikan dia sihat walaupun itu bermakna mereka perlu berkorban wang ringgit untuk mencapai maksud itu.

Bagaimana dengan kita? Sanggupkah kita berkorban kerjaya kita (kalau kerjaya yang bukan kritikal seperti setiausaha, akauntan, pegawai tadbir diplomatik – sebagai contoh) demi untuk menjaga anak sendiri ketika kecil dan apabila tiba masanya menghantar mereka jauh dari mata kita contohnya ke Pondok Sungai Durian atau Maahad Al-Manar di Kelantan (sebagai contoh)?. Sanggupkan kita berkorban masa, wang ringgit dan emosi sehingga ke lubuk yang paling dalam untuk anak – anak kita?




Apa yang saya lihat, kita lebih suka berada di comfort zone. Buat apa nak susah – susah hantar anak jauh – jauh atau mahal – mahal kalau dah ada sekolah percuma di depan taman perumahan? Walaupun itu bermakna ia akan memesong halatuju anak kita – belajar untuk berjaya di dalam SPM dan dapat bekerja sebagai seorang arkitek namun tidak menyumbang kepada Islam lalu menjadi seperti keldai yang hanya tahu bekerja-makan-tidur, walaupun itu bermakna mendedahkan anak – anak kita kepada maksiat, walaupun itu bermakna anak kita liat solat dan hanya boleh membaca Al-Quran tetapi tidak mampu menghafalnya apatah lagi memahami maksud dan tadabbur dengan maknanya (bab mengamalkannya tak payah la cerita), walaupun itu bermakna sebahagian masa belajarnya perlu dihabiskan untuk subjek – subjek yang kurang penting seperti English Litterature, Pendidikan Seni Visual, Perdagangan dll? Oh sangat besar harganya hanya kerana kita suka berada di comfort zone. Tak mampu untuk pergi lebih jauh dari itu. Tak mampu menghadapi tekanan emosi berjauhan dari anak – anak kalau anak dihantar ke sekolah yang jauh tapi berpotensi untuk mengelak dari kesemua di atas. Tak mampu menahan nafsu untuk shopping di waktu lunch hari Jumaat (masa rehat panjang, kalau kerja dengan kerajaan) lalu perlu bekerja walaupun hanya sebagai Pembantu Tadbir untuk memenuhi tuntutan itu – dan sebenarnya suami mampu saja menyediakan keperluan secukupnya untuk keluarga cuma tak mampu nak memenuhkan kemahuan nafsu shopping kita. Tak sanggup berhadapan dengan mulut orang yang bakal mencemik dan memandang rendah kepada kita hanya kerana kita memilih untuk menjadi surirumah untuk menjaga anak sendiri walaupun ada degree dalam bidang IT (sebagai contoh). Itulah kelemahan kita.

Balik kepada Priority tadi. Soal agama yang ranting juga adalah penting. Susu ibu adalah penting. Perkahwinan juga penting. Semuanya penting dan tiada siapa yang mempertikaikan akan kepentingannya. Tapi apakah priority yang kritikal yang perlu kita titikberatkan SEKARANG? Yang mana ianya lebih utama untuk diperjuangkan, diamalkan, dilakukan dan diberikan tumpuan yang lebih, melebihi kesemua perkara penting tadi? Soalnya di sini adalah cara kita membuat percaturan, pembahagian masa, tenaga, usaha, wang ringgit malah nyawa. Allah memberi kita 24 jam tidak lebih. Allah memberi kita average 2400kcal tenaga tidak lebih. Allah memberi kita rezeki dalam bentuk kesihatan dan kewangan. Allah memberi kita nyawa. Persoalannya, bagaimana kita membahagikan kesemua itu agar yang utama mendapat bahagian yang lebih manakala yang kurang penting dikurangkan allocationnya?

Susu ibu adalah penting malah ada surah di dalam AQ yang mengatakan mengenainya. Tapi adakah ia tersangat penting sehingga kita memperuntukkan seluruh hidup kita untuk memperjuangkannya? Sedangkan masa dan tenaga tadi juga amat diperlukan untuk memastikan suami kita terlayan kehendaknya dan anak kita tak tergadai aqidahnya. Semuanya berbalik kepada priority dan kita akui bahawa setiap orang adalah berbeza situasinya. Namun priority tidak sepatutnya sangat berbeza. Kalau kita yakin dengan homeschooling (sebagai contoh) dapat mengelakkan anak kita dari terjebak dari maksiat di sekolah – namun itu bermakna kita perlu berkorban masa dan pekerjaan mahupun perjuangan kita di dalam jemaah (biarlah jemaah apapun hatta jemaah susu ibu), sanggupkah kita? Ini sekadar contoh. Setiap orang situasinya berbeza dan setiap ibubapa pastilah mahu yang terbaik untuk keluarga masing – masing. Cuma ramai yang tersasar atau tanpa sedar telah menggadaikan apa yang penting demi untuk yang kurang penting.

Persoalan agama semuanya penting, mana ada yang tak penting. Tapi sanggupkah kita demi perpaduan Islam, menjatuhkan ego kita lalu berjabat tangan dengan orang yang tak bersependapat dengan kita apatah lagi mengenai soal – soal furu' lalu sama – sama berkerah tenaga supaya existence umat Islam di negara kita khasnya dan di dunia umumnya terus terpelihara? Ego sesetengah orang Islam sangatlah tinggi sehingga tak kena gaya. Ini masalah besar. Ini masalah kita menjadi buih dan bangsa lain menerkam kita seolah kita ini kambing panggang yang dibiarkan di tepi jalan. Memamah kita sehingga ke tulang sumsum. Tak sedar lagikah kita? Ketika itu hilang soal susu ibu, hilang soal doa qunut, hilang soal poligami. Kalau sekarangpun dalam keadaan kita di dalam zon selesa kita tak mampu berkerjasama, apatah lagi bila kita diduga dengan situasi merbahaya contohnya jika Singapura dan Thailand menyerang kita serentak? Bagaimana anak – anak kita yang kita harapkan agar menjadi mujahideen dan mujahidah, sempatkah? Atau kena penggal kepala dahulu sebelum sempat menjadi remaja. Itulah yang berlaku di Syria dan Palestine – mass genocide untuk melemahkan generasi umat Islam akan datang. Tapi di Malaysia ni tak jadi masalah, memang majoriti anak – anak dah rosakpun.

Tulisan ini tidak memberikan sebarang solusi, ianya sekadar mencetuskan pemikiran. Sekadar mahu mengetuk kepala sendiri dan kepala – kepala lain yang sudi diketuk. Agar mengingatkan kita mengenai tujuan hidup dan priority di dalam hidup. Allahua'lam.

No comments: