Thursday, May 31, 2012

Si kecil bercakap

Ada orang bertanya kepada saya, bagaimana mengajar si kecil bercakap?


Hmm.. saya bukanlah orang yang ahli dalam bidang ini, iaitu 'Speech therapist' atau 'Speech Language Pathologist'. Saya sekadar boleh berkongsi dengan kalian sebagai seorang ibu beranak ramai hehe.

Inilah biasanya apa yang saya lakukan:

1. Mula 'bercakap' dengan bayi sejak dia masih dalam kandungan lagi. Bacakan ayat Al-Quran, cerita – cerita menarik ataupun berzikir dengan agak kuat sekadar boleh didengar olehnya yang masih di dalam perut. Kalau ada kakak dan abangnya, ajak mereka untuk berinteraksi dengan bayi di dalam kandungan. Ajar mereka untuk 'mengurut' bayi, yakni mengurut perut kita sambil bercakap – cakap, berzikir, menyanyikan lagu kanak – kanak dll.
2. Selepas bayi lahir, banyakkan melakukan ekspresi muka kerana bayi suka melihat muka kita dan memek muka yang ditunjukkan. Ini boleh dilakukan pada bila – bila masa, sewaktu memandikannya, mengurutnya atau ketika menyusukannya. Bercakap – cakap dengannya dengan bahasa yang mudah, dan jangan terlalu laju.
3. Apabila si kecil sudah mula menunjukkan tanda – tanda mengeluarkan vokal, ajar perkataan – perkataan mudah kepadanya seperti “Allah”, “mama”, “ayah”, “hendak/nak/want” dan lain – lain. Ulang berkali – kali kerana anak – anak mudah belajar bila ada pengulangan. Janganlah mengharapkan dia terus boleh menyebut perkataan yang kita ajar hanya dengan sekali sebut. Sebaliknya, bersabar dan terus mengulang – ulang perkataan yang sama setiap hari sehingga si kecil biasa mendengarnya. Lama - kelamaan dia akan memahami maksud perkataan itu dan cuba menyebutnya sendiri. Kata kunci di sini adalah bersabar dan istiqamah.



4. Sentiasa bercakap dengan si kecil dengan kelajuan yang sederhana atau sedikit perlahan. Elakkan cakap terlalu cepat kerana walaupun mungkin mereka faham apa yang kita cakapkan, tetapi sukar bagi mereka untuk mengulanginya atau meniru perkataan tersebut..
5. Sentiasa perkenalkan perkataan baru kepada anak, seperti “Wasim nak biskut / air / buku?”, lalu tunjukkan biskut / air / buku kepadanya. Sebolehnya elakkan dari berkata begini “Wasim nak ni?” lalu menunjukkan biskut / air / buku tadi kepadanya. Jika kita sekadar berkata 'ni', maka dia tidak dapat belajar perkataan biskut / air / buku tadi.
6. Jangan jemu mengulang sesuatu perkataan dan jangan mengharapkan sebarang keajaiban yang dia terus boleh bercakap. Proses bercakap bukanlah sekadar menggunakan perkataan, sebaliknya ia adalah interaksi kasih sayang yang berterusan antara seorang ibu kepada anaknya.



7. Ada ibu yang menyangka, selagi anaknya tidak mengeluarkan perkataan sendiri (iaitu sekitar umur setahun ke atas), maka dia tidak perlu berbicara dengan anaknya itu! Oh jauh tersasar sekali sangkaan itu. Walaupun mungkin dia masih belum boleh menuturkan sebarang perkataan (umur bawah 1 tahun) tapi sebenarnya sejak dari lahir lagi anak – anak kita sudah mula mendengar bicara kita dan menyimpan info itu di dalam kotak memorinya. Bila tiba masanya, dia akan menggunakan info tersebut untuk kembali berinteraksi dengan kita. Maka, lebih banyak kita berbual dengan si kecil sejak lahir, lebih banyaklah info yang disimpan olehnya.
8. Sebaiknya, kurangkan penggunaan TV sebagai 'pengasuh' si kecil. Memanglah ianya lebih memudahkan kerana apabila mereka leka dengan siaran di TV, itu akan memberi kita ruang masa untuk melakukan kerja – kerja lain di rumah. Namun, kita tidak dapat mengawal apa yang dilihat dan didengar di dalam TV tersebut. Tambahan pula, siaran TV lebih berbentuk 1 hala dan anak tidak boleh berinteraksi dengan TV tersebut, hanya sekadar menontonnya. Ini dalam jangka masa panjang akan membantutkan proses perkembangan otaknya dari mencapai ke tahap yang optimum.
9. Elakkan juga bercakap dengan gaya 'baby talk' atau bercakap pelat dengannya. Walaupun bunyinya sungguh comel, namun ini tidak bagus untuk proses pembelajaran bercakap kepada si kecil kerana nanti dia akan menyangka bahawa 'baby talk' itulah cara sebutan sebenar. Saya pernah melihat seorang kanak – kanak berumur 6 tahun yang dimasukkan ke wad untuk satu kes. Bila saya bercakap dan bertanya soalan kepadanya, dia masih pelat seperti kanak – kanak berusia 3-4 tahun. Lalu saya terdengar perbualan kanak – kanak itu dengan bapanya. Rupa – rupanya si bapa masih bercakap dengannya menggunakan bahasa pelat, patutlah kanak – kanak itu tidak dapat bercakap dengan betul.

Allahua'lam, sekadar perkongsian dari saya kepada kalian. Sebarang penambahan atau teguran adalah amat dialu – alukan. Selamat mencuba!


Friday, May 04, 2012

Kenangan Forensic Medicine di PPUM

Tiba - tiba teringat kisah lama, sewaktu menjadi pelajar perubatan dulu. Pelbagai posting yang perlu kami lalui dan salah satu daripadanya adalah 'Forensic Medicine'.

Sepanjang dua minggu itu, aku bersama kumpulanku ditempatkan di dalam 'posting' Forensic Medicine. Ini adalah di antara posting yang paling tidak digemari kerana kami perlu 'belajar dengan mayat'. Dewan mortuarinya sajapun sudah kelihatan mengerikan, apatah lagi mahu menghadap mayat – mayat yang mati dalam pelbagai cara. Pada hari ini, Prof. Nadesan bertugas untuk mengajar kami bagaimana melakukan 'post mortem'.

Untuk memasuki dewan post mortem itu, kami perlu memakai but getah khas. Manakala kalau mahu, boleh juga memakai 'face mask', kalau tidak tahan dengan bau di dalam dewan tersebut. Dewan itu tidaklah terlalu besar, cuma sebesar 2 kali ganda bilik tidur yang standard. Namun yang pasti, ia sangatlah sejuk, sesejuk badan mayat yang memenuhi kolum – kolum 'laci' yang ditempatkan untuk mereka, persis seperti di dalam cerita CSI.

Aku sendiri kurang menggemari posting ini kerana bagiku, mengapa kita mesti melakukan post mortem dan menzalimi badan mayat yang tidak bernyawa itu? Sedangkan mereka juga pada satu ketika dahulu mempunyai maruah dan aurat yang dipelihara? Namun siapalah aku untuk menidakkan proses post mortem ini terutamanya jika itulah satu – satunya cara untuk membuktikan kebenaran, terutamanya di dalam kes – kes jenayah. Namun bagi aku, selagi boleh aku tidak mahu dan tidak akan benarkan tubuhku sendiri, dan orang – orang yang aku sayangi dilakukan post mortem tanpa sebab – sebab yang benar – benar kukuh. Kalau sekadar untuk akademik atau menambahkan pengetahuan mengenai sesuatu penyakit, maka lupakan saja.

Berbalik kepada kes pada hari ini, kelihatan di atas meja bedah, mayat dua lelaki Cina berumur di dalam lingkungan 30-an dan 40-an. Ah, melihatkan rupa mereka sahaja sudah menggetarkan perasaan aku, walaupun mereka bukanlah beragama Islam. Tapi seperti biasa Prof Nadesan bermuka selamba sahaja menghadap kedua – dua mayat tersebut. Alah bisa tegal biasa kata orang. Prof menerangkan bahawa kedua lelaki ini terlibat di dalam suatu kemalangan kereta yang ngeri. Kemalangan jenis 'head on collision', yang bermaksud kedua kereta mereka saling bertembung dari arah yang bertentangan. Salah seorang dari lelaki itu sebenarnya sudah mabuk, lalu tanpa sedar telah memasuki jalan lebuhraya melalui arah yang bertentangan! Bayangkan kejadian itu berlaku pada pukul 3 pagi, keadaan lebuhraya yang sunyi dan pastinya para pemandu membawa kereta dengan sangat laju. Mangsa yang seorang lagi benar – benar hanyalah mangsa keadaan, kerana dia memandu seperti biasa pada lorong yang betul di lebuhraya. Tiba – tiba ada kereta lain dari arah yang bertentangan yang melanggar keretanya dengan halaju yang tinggi! “Baaammm!” dia tidak sempat mengelak, hanya sempat menekan brek yang tidak memberi sebarang makna. Prof menunjukkan keadaan kakinya yang terkopak dan pecah kerana menekan brek terlalu kuat, namun hasil impak perlanggaran itu, menyebabkan tumit dan kaki kanannya pecah!

Rupanya sebelum kedatangan kami lagi, Prof sudah memulakan separuh dari proses post mortem itu. Dia perlu menoreh pada bahagian dada dan perut mayat untuk mengeluarkan organ dalaman mayat itu untuk didokumentasikan. Torehan berbentuk Y itu dimulakan dari bahu kanan dalam arah menyerong sehingga ke bahagian tengah dada (di ulu hati). Lalu torehan kedua adalah dari bahu kiri menuju ke bahagian tengah juga. Dari point itu, torehan lurus ke bawah sehingga mencecah ke bawah pusat. Bayangkan betapa siksanya mayat itu! Setelah itu, segala organ dalaman seperti hati, limpa dan buah pinggang perlu dikeluarkan untuk diperiksa dan ditimbang. Untuk kes ini, perut mereka juga ditoreh untuk melihat dan merekod kandungan perut.

Setelah itu Prof meminta kami melakukan sesuatu yang tak disangka – sangka. Dia menyuruh kami mencium bau di dalam perut mayat itu! Seorang demi seorang dari kami merapatkan hidung ke arah perut mayat dan menghidu aroma yang dihasilkan. Sungguh memualkan! Baunya sukar untuk dijelaskan, ia seperti bau bangkai bercampur dengan sedikit manis yang tengik. “Itulah bau alkohol di dalam perut.” Terang Prof kepada kami. Ia merupakan bukti yang kukuh bahawa salah seorang mayat itu telah memandu di dalam keadaan yang mabuk dan menyebabkan kemalangan itu berlaku.

Oh tidak mungkin aku akan lupa dengan posting ini dan aku berjanji tak mungkin aku akan menceburi bidang ini jika tiada keperluan yang nyata!