Thursday, March 08, 2012

BAKTERIA ADA DI MANA – MANA




Di manakah kebanyakan bakteria yang terdapat di tubuh kita?
Kebiasaannya bakteria ini terdapat di:
1. kulit
2. rongga mulut
3. hidung
4. saluran pernafasan atas (upper respiratory tract)
5. usus kecil, terutamanya di bahagian bawah usus
6. usus besar
7. anus (dubur)
8. beberapa sentimeter di atas saluran air kencing

Tahukah anda bahawa jumlah bakteria yang di bawa oleh badan kita melebihi jumlah sel yang terdapat pada badan kita? Contohnya:
> rongga mulut dan hidung: 10^8-10^10 bakteria/ml
>ketiak: 10^6-10^7 bakteria/mm^2
>perut: <10^3 bakteria/ml >usus kecil: <10^5 bakteria/ml >usus besar: 10^10-10^11 bakteria/g
>vagina: 10^8-10^10 bakteria/ml
>kulit: 10^2-10^3 bakteria/mm2
>paru – paru: tiada bakteria
(Maklumat di ambil dari buku Immunobiology of Human Milk: How Breastfeeding Protects Babies, m/s 14; Lars A. Hanson, 2004)


Mengapa penting untuk bayi yang baru lahir 'didedahkan' kepada 'bakteria baik' sebaik sahaja dilahirkan?

Bayi yang baru lahir perlu didedahkan kepada flora mikrobial yang normal (bakteria baik). Malah flora mikrobial yang normal ini juga perlu hidup di dalam badan bayi. Cara yang paling selamat adalah dengan membenarkan bakteria baik ini datang dari ibunya sendiri kerana ibunya juga boleh menyediakan perlindungan dari bakteria tersebut. Proses ini sebenarnya berlaku secara semulajadi apabila bayi itu dilahirkan secara normal (spontaneous vaginal delivery, SVD). Ini kerana proses kelahiran itu sendiri, yang mana bayi dilahirkan berhampiran dengan anus (dubur) ibu menyebabkan secara tak langsung sebahagian bakteria dari ibu akan berpindah ke kulit dan lapisan mukus pada bayi. Sekali imbas nampak seperti cara ini sangatlah tidak bersih dan tidak hygenic tapi rupa – rupanya itulah hukum alam atau Sunnatullah agar bayi tersebut terdedah kepada bakteria baik secara semulajadi!




Bakteria baik ini hidup pada kulit dan pada kebanyakan lapisan mukus bayi di mana ianya akan membantu untuk melindungi bayi dari sebarang patogen (bakteria jahat) yang merbahaya. Bagaimanakah bakteria baik ini dapat melindungi bayi tersebut? Dengan kehadiran bakteria baik ini, ia akan bersaing dengan bakteria jahat untuk mendapatkan nutrisi dan kawasan atau tapak untuk hidup.Dengan itu bakteria jahat sukar mendapatkan makanan dan kawasan untuk berkembang biak.

Di bahagian perut dan usus bayi di mana bakteria berkembang biak paling banyak, adalah penting supaya bakteria baik terutamanya bakteria jenis 'anerobik' ini mendominasi, bersaing dan juga mengurangkan jumlah bakteria jahat (patogen) yang berpotensi untuk menjadi bahaya seperti E. coli atau Klebsiella. Rawatan antibiotik (untuk sebarang sebab lain) akan teruk mengganggu bakteria baik pada bayi yang sedang dalam rawatan antibiotik malah mungkin juga boleh turut mengganggu bakteria baik pada bayi lain yang tinggal di rumah atau pusat asuhan yang sama.




Penyusuan ibu mampu mengurangkan kapasiti banyak bakteria jahat di dalam perut dan usus bayi daripada menyebabkan jangkitan. Ini berlaku apabila keupayaan bakteria jahat untuk melekat dan masuk melalui tisu ke lapisan mukus pada perut dan usus bayi dihalang atau dihadkan oleh kehadiran susu ibu. Perlu diingatkan bahawa susu tepung atau susu formula langsung tidak mempunyai keupayaan ini.

Kehadiran bakteria baik di dalam perut dan usus bayi merupakan perangsang utama untuk pertumbuhan dan pembangunan sistem imun bayi. Hasilnya, sistem imun bayi berupaya untuk melindungi bayi dari sebarang jangkitan. Tambahan lagi, proses ini juga mampu menghadkan kesannya terhadap makanan atau debunga dan dengan ini boleh mengelakkan bayi dari mendapat reaksi alahan pada masa akan datang.




Sehebat manapun ciptaan manusia, pastinya ia tidak mampu menandingi kehebatan ciptaan Allah Yang Maha Pencipta walaupun sedikit. Allahuakbar!

Rujukan:
1. Immunobiology of Human Milk: How Breastfeeding Protects Babies, The Newborn Meets A World Full of Microbes; Lars A. Hanson, Pharmasoft Publishing, 2004.

No comments: