Thursday, November 04, 2010

Lagi tips merawat perasaan cemburu




Hasil pengalaman sendiri yang seciput cuma dan pemerhatian sekeliling, berikut merupakan sedikit lagi cara – cara untuk mengawal perasaan cemburu. Tapi ini tidak bermakna yang cuma cara berikut saja yang berkesan, sebaliknya bergantunglah kepada kekuatan yang ada pada diri sendiri samada untuk menerima atau menolaknya. Pastinya setiap dari kita mempunyai cara – cara yang tersendiri untuk mengawal perasaan kita. Yang penting, apa saja yang kita lakukan, lakukanlah kerana Allah Taala semata – mata.

1/ Jangan lupa untuk membaca azkar pagi dan petang (ada dalam Hisnul Muslim), kerana ia boleh menjadi benteng daripada bisikan – bisikan syaitan yang senantiasa cuba untuk membawa kita ke neraka. (An-Nisa: 118-119).

2/ Bila perasaan cemburu melanda, sentiasa ingatkan diri bahawa azab di akhirat kelak adalah lebih besar berbanding dengan sedikit perasaan luka di hati pada hari ini. Pada hari akhirat kelak, kita tiada masa untuk memikirkan hal remeh – temeh seperti perasaan cemburu, sakit hati ataupun kecewa. Sebaliknya masing – masing hanya sibuk memikirkan nasib sendiri samada dimasukkan ke syurga ataupun dihumbankan ke neraka. Jadi, perlukah kita terlalu melebih – lebihkan perasaan cemburu yg ada pada diri, sedangkan nasib kita di akhirat kelak lebih penting untuk difikirkan lalu hendaklah kita cepat – cepat beristighfar dan bertaubat serta segera melakukan amalan – amalan soleh dengan ikhlas agar diterima oleh Allah Taala sebagai bekalan kita untuk hari akhirat.

3/ Jika cemburu masih menebal, maka sibukkanlah diri dengan segala aktiviti seharian yang dapat menukarkan fokus kita daripada hanya memikirkan perasaan cemburu itu. Lakukan kerja di pejabat, kerja di rumah, mengasuh anak atau apa – apa saja asalkan kita boleh melupakan perasaan cemburu itu. Jika kita sibuk melakukan hal – hal lain maka dengan sendirinya kita tiada masa utk duduk menggigit jari dan hanya asyik memikirkan soal hati dan perasaan yang tak ke mana.

4/ Sentiasa ingatkan diri yang syaitan akan terus mencuba untuk menggoda kita dan janganlah memberi ruang dan peluang kepada syaitan untuk menyesatkan kita apabila kita mula lelah dengan rasa cemburu. Bila jiwa kita lemah, maka syaitan akan bergembira dan mengambil kesempatan itu untuk menarik kita ke arah neraka. Maka kuatkan hati dan berazam dengan sesungguh azam untuk mengalahkan syaitan durjana. Bila kita dapat mengawal perasaan cemburu itu, maka bergembiralah kerana di saat itu juga si syaitan itu akan merasa kecewa. Biarlah kita menang 1-0 dengan syaitan dan jangan mengaku kalah kepadanya kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah.

5/ Sentiasa berdoa kepada Allah agar dikuatkan hati dan agar dihilangkan perasaan cemburu yang ada, sebagaimana kisah Rasulullah saw ketika melamar Ummu Salamah r.a.

Allahua'lam bisowwab.

2 comments:

maryamsiddiqah said...

cemburu kerana apa ni doktor? kenapa perempuan je yg kena lawan perasaan cemburu, kenapa tidak lelaki? padahal dua2 juga manusia, yg sama perasaan dan rasa

Dr Nazatul Shiha said...

Cemburu in general. Benar, lelaki dan perempuan kedua - duanya manusia yang mempunyai perasaan dan emosi. Namun masing - masing mempunyai fungsi dan peranan yang berbeza. Jika kita benar - benar memahami fungsi dan peranan masing - masing yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah dan tidak menggunakan Barat/sekular sebagai neraca pertimbangan, maka kita akan lebih mudah mengerti mengapa perempuan perlu melawan perasaan cemburu manakala lelaki pula dikehendaki perlu cemburu/ghirah dalam konteks hubungan suami isteri.

Suami yang tak cemburu terhadap pergaulan isterinya dengan lelaki lain adalah dayus dan tempatnya adalah di neraka. Manakala isteri pula diingatkan agar tidak nusyuz kepada suami yang mana tempatnya juga di neraka. Dan kita lihat bahawa cemburu merupakan salah satu lubang atau jalan yang menuju ke arah nusyuz maka dengan itu elakkanlah sebarang jalan yang membawa perempuan ke neraka.

Allahua'lam. Sekadar pandangan hamba yang hina