Thursday, May 31, 2012

Si kecil bercakap

Ada orang bertanya kepada saya, bagaimana mengajar si kecil bercakap?


Hmm.. saya bukanlah orang yang ahli dalam bidang ini, iaitu 'Speech therapist' atau 'Speech Language Pathologist'. Saya sekadar boleh berkongsi dengan kalian sebagai seorang ibu beranak ramai hehe.

Inilah biasanya apa yang saya lakukan:

1. Mula 'bercakap' dengan bayi sejak dia masih dalam kandungan lagi. Bacakan ayat Al-Quran, cerita – cerita menarik ataupun berzikir dengan agak kuat sekadar boleh didengar olehnya yang masih di dalam perut. Kalau ada kakak dan abangnya, ajak mereka untuk berinteraksi dengan bayi di dalam kandungan. Ajar mereka untuk 'mengurut' bayi, yakni mengurut perut kita sambil bercakap – cakap, berzikir, menyanyikan lagu kanak – kanak dll.
2. Selepas bayi lahir, banyakkan melakukan ekspresi muka kerana bayi suka melihat muka kita dan memek muka yang ditunjukkan. Ini boleh dilakukan pada bila – bila masa, sewaktu memandikannya, mengurutnya atau ketika menyusukannya. Bercakap – cakap dengannya dengan bahasa yang mudah, dan jangan terlalu laju.
3. Apabila si kecil sudah mula menunjukkan tanda – tanda mengeluarkan vokal, ajar perkataan – perkataan mudah kepadanya seperti “Allah”, “mama”, “ayah”, “hendak/nak/want” dan lain – lain. Ulang berkali – kali kerana anak – anak mudah belajar bila ada pengulangan. Janganlah mengharapkan dia terus boleh menyebut perkataan yang kita ajar hanya dengan sekali sebut. Sebaliknya, bersabar dan terus mengulang – ulang perkataan yang sama setiap hari sehingga si kecil biasa mendengarnya. Lama - kelamaan dia akan memahami maksud perkataan itu dan cuba menyebutnya sendiri. Kata kunci di sini adalah bersabar dan istiqamah.



4. Sentiasa bercakap dengan si kecil dengan kelajuan yang sederhana atau sedikit perlahan. Elakkan cakap terlalu cepat kerana walaupun mungkin mereka faham apa yang kita cakapkan, tetapi sukar bagi mereka untuk mengulanginya atau meniru perkataan tersebut..
5. Sentiasa perkenalkan perkataan baru kepada anak, seperti “Wasim nak biskut / air / buku?”, lalu tunjukkan biskut / air / buku kepadanya. Sebolehnya elakkan dari berkata begini “Wasim nak ni?” lalu menunjukkan biskut / air / buku tadi kepadanya. Jika kita sekadar berkata 'ni', maka dia tidak dapat belajar perkataan biskut / air / buku tadi.
6. Jangan jemu mengulang sesuatu perkataan dan jangan mengharapkan sebarang keajaiban yang dia terus boleh bercakap. Proses bercakap bukanlah sekadar menggunakan perkataan, sebaliknya ia adalah interaksi kasih sayang yang berterusan antara seorang ibu kepada anaknya.



7. Ada ibu yang menyangka, selagi anaknya tidak mengeluarkan perkataan sendiri (iaitu sekitar umur setahun ke atas), maka dia tidak perlu berbicara dengan anaknya itu! Oh jauh tersasar sekali sangkaan itu. Walaupun mungkin dia masih belum boleh menuturkan sebarang perkataan (umur bawah 1 tahun) tapi sebenarnya sejak dari lahir lagi anak – anak kita sudah mula mendengar bicara kita dan menyimpan info itu di dalam kotak memorinya. Bila tiba masanya, dia akan menggunakan info tersebut untuk kembali berinteraksi dengan kita. Maka, lebih banyak kita berbual dengan si kecil sejak lahir, lebih banyaklah info yang disimpan olehnya.
8. Sebaiknya, kurangkan penggunaan TV sebagai 'pengasuh' si kecil. Memanglah ianya lebih memudahkan kerana apabila mereka leka dengan siaran di TV, itu akan memberi kita ruang masa untuk melakukan kerja – kerja lain di rumah. Namun, kita tidak dapat mengawal apa yang dilihat dan didengar di dalam TV tersebut. Tambahan pula, siaran TV lebih berbentuk 1 hala dan anak tidak boleh berinteraksi dengan TV tersebut, hanya sekadar menontonnya. Ini dalam jangka masa panjang akan membantutkan proses perkembangan otaknya dari mencapai ke tahap yang optimum.
9. Elakkan juga bercakap dengan gaya 'baby talk' atau bercakap pelat dengannya. Walaupun bunyinya sungguh comel, namun ini tidak bagus untuk proses pembelajaran bercakap kepada si kecil kerana nanti dia akan menyangka bahawa 'baby talk' itulah cara sebutan sebenar. Saya pernah melihat seorang kanak – kanak berumur 6 tahun yang dimasukkan ke wad untuk satu kes. Bila saya bercakap dan bertanya soalan kepadanya, dia masih pelat seperti kanak – kanak berusia 3-4 tahun. Lalu saya terdengar perbualan kanak – kanak itu dengan bapanya. Rupa – rupanya si bapa masih bercakap dengannya menggunakan bahasa pelat, patutlah kanak – kanak itu tidak dapat bercakap dengan betul.

Allahua'lam, sekadar perkongsian dari saya kepada kalian. Sebarang penambahan atau teguran adalah amat dialu – alukan. Selamat mencuba!


No comments: