Wednesday, July 14, 2010

Kekuatan Jiwa - Siri 2

Pada artikel yang lalu, telah diterangkan mengenai 2 kekuatan jiwa iaitu Yakin dan Ikhlas. Kekuatan jiwa yang ketiga adalah Istiqamah.

Istiqamah berasal dari perkataan “Qaama” yang bermaksud “berdiri teguh”, atau “Qaa im” yang bermaksud “tegak”. Dengan itu, maksud Istiqamah adalah “tegak dan lurus di atas kebenaran” dan “tidak berputus asa”. Berbeza dengan kebanyakan kita yang memahami istiqamah sebagai melakukan sesuatu perkara secara tetap dan berterusan. Sedangkan sebagai umat Islam, kita sepatutnya sentiasa melakukan penambahbaikan terutamanya dari segi amalan kita, dan bukanlah mengekalkannya di satu tahap status quo sahaja. Istiqamah juga bermaksud tidak berputus asa dengan Rahmat Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Malah, kalau seseorang umat Islam itu berputus asa dengan rahmat Allah, maka dia sudah menjadi kafir, na’uzubillah. Maka Istiqamah juga bermakna seseorang itu “thabat” ataupun berprinsip dan berdiri teguh dengan pendiriannya.

Satu contoh betapa istiqamahnya para sahabat dan sahabiah di zaman silam, adalah apabila berlakunya perselisihan pendapat antara dua kumpulan sahabat sehingga menimbulkan perang saudara pertama selepas kewafatan Nabi saw iaitu Perang Siffin. Di satu kumpulan, iaitu yang diketuai oleh Muawiyyah – mereka menuntut supaya pembunuh Uthman bin Affan dikenakan hukuman segera. Manakalah di satu kumpulan lain iaitu yang diketuai oleh Ali bin Abi Thalib – beliau berpendapat bahawa pencarian pembunuh Uthman akan mengambil masa yang lebih panjang. Masing – masing merupakan di antara para sahabat besar Nabi. Tiada ragu yang kedua – dua panglima ini merupakan antara manusia yang tinggi iman mereka kepada Allah taala.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna yang mereka tidak boleh mempunyai pandangan yang berbeza dalam sesuatu perkara. Contohnya mengenai cara mencari dan menghukum pembunuh Uthman bin Affan. Namun disebabkan kekentalan istiqamah yang dipegang oleh mereka, dan masing – masing amat yakin dengan pendirian masing – masing, maka mereka sanggup bergadai nyawa demi prinsip tersebut hanya kerana iman yang teguh kepada Allah taala. Walaupun masing – masing sedih kerana terpaksa berperang, sedangkan mereka sebenarnya amat utuh dengan ukhuwwah Islamiyah, namun demi istiqamah yang menjadi tonggak kekuatan jiwa mereka, maka mereka tetap teruskan peperangan tersebut. Allahua’lam.

Seterusnya marilah kita ikuti kekuatan jiwa yang keempat. Kekuatan yang dimaksudkan adalah Sabar. Sabar bermaksud kuat atau teguh. Juga bermaksud pendinding atau benteng. Satu lagi maksud sabar adalah menahan diri. Terdapat 3 bentuk kesabaran yang perlu kita fahami dan seterusnya amalkan. Sabar yang pertama adalah sabar dalam melakukan perintah Allah. Sabar yang kedua adalah sabar dalam meninggalkan larangan Allah. Manakala sabar yang ketiga adalah sabar dengan ujian dan musibah yang menimpa kita. Kebanyakan dari kita lebih biasa mendengar erti sabar yang ketiga, tanpa menyedari bahawa sabar di dalam Islam juga bermaksud bersabar melakukan perintah Allah dan bersabar dalam meninggalkan laranganNya.

Sabar dalam melaksanakan perintah Allah bermaksud kita sentiasa kuat dan teguh untuk taat kepada perintah Allah. Bagi kebanyakan kepada kita, bukan mudah untuk sentiasa sabar bangun untuk solat Subuh. Solat tahajjud apatah lagi. Namun, bagi mereka yang sentiasa sabar dalam melaksanakan perintah Allah yang sukar ini, maka banyaklah ganjaran yang bakal menanti di akhirat kelak. Bagi seorang isteri pula, bukan mudah untuk sentiasa sabar dalam mentaati perintah suami, sedangkan Allah mewajibkan setiap isteri agar sentiasa taat kepada suaminya selagimana suaminya tidak menyuruh dia melakukan perbuatan maksiat dan mungkar. Seringkali si isteri mengeluh bila suaminya meminta segelas air. “Eh, awakkan ada kaki, bukannya tak boleh ambil sendiri.” Demikianlah sungutan si isteri. Alangkah derhakanya isteri yang perangainya begitu.

Sabar juga bermaksud sentiasa menahan diri dari melakukan perkara yang dilarang Allah. Bagi sesetengah orang, bukan mudah untuk menahan diri dari menipu. Sedangkan menipu merupakan satu dari perbuatan yang dilarang Allah. Malah ia juga merupakan salah satu dari cabang orang yang munafik. Namun, ada yang mengambil jalan mudah dengan menipu untuk kesenangan diri sendiri yang sementara. Nampaknya orang yang sebegini tidak sabar dalam meninggalkan larangan Allah taala.

Sabar yang ketiga adalah bilamana seseorang itu redha dengan ujian, bala, bencana dan takdir yang ditentukan oleh Allah ke atas dirinya. Ada kata – kata yang berbunyi “Kesabaran itu adalah ketika kejutan yang pertama”. Ini bermaksud dilihatnya seseorang itu mempunyai kesabaran apabila dia mampu redha dan masih tenang ketika pertama kali mendengar sesuatu berita yang menyedihkan, ataupun ketika saat mula – mula ditimpa kemalangan. Dia tidak cepat melatah atau marah dengan situasi itu, malah menahan dirinya dari menyebut atau melakukan perkara yang bodoh sebagai reaksi terhadap ujian yang Allah berikan kepadanya.


Sesungguhnya tidak semua manusia mampu bersabar…

Demikianlah dua lagi bentuk Kekuatan Jiwa, iaitu Istiqamah dan Sabar. Semoga kita diberi kesempatan dan kekuatan untuk meneruskan perbincangan mengenai kekuatan jiwa yang berikutnya, ameen.

No comments: