Saturday, July 17, 2010

WANITA MUDAH DIGODA SYAITAN

Ada suatu kisah di mana seorang gadis yang sudah agak berumur telah dipinang oleh seorang jejaka yang baik agamanya. Permulaan kisah mereka baik, di mana mereka ditemukan melalui orang tengah yang mengenali kedua pihak. Mereka tidak bercinta sebelum pernikahan. Kini mereka masih di alam pertunangan.

Namun yang sedihnya, gadis itu telah dimainkan oleh perasaannya sendiri. Kononnya dia tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap lelaki itu. Kononnya dia telah melakukan pelbagai cara untuk menumbuhkan rasa cinta kepada lelaki tersebut, tapi masih tak berjaya. Kononnya dia telah berusaha berdoa, melakukan solat hajat, beristikharah demi untuk menimbulkan cinta terhadap lelaki itu tetapi masih hampa.

Adakah cukup sebenarnya 'usaha - usaha' yang sebegitu? Cukup sekadar berdoa, berharap, solat dan kemudian duduk termenung agar Allah mengkabulkan permintaannya? Semudah itu? Hebat sangatkah kita sehingga wajib untuk Allah melaksanakan permintaan kita? Banyak sangatkah amalan soleh kita sehingga mendapat special treatment dari Allah untuk diberikan segala permintaan kita? Validkah sebenarnya permintaan - permintaan yang sebegitu?

Terlupakah dia bahawa perasaan cinta dan sayang sudah Allah janjikan bagi setiap pasangan yang berkahwin demi kerana Allah? Tidakkah dia yakin dengan janji Allah?

Lalu dia telah meminta nasihat seorang rakannya yang juga sudah mencapai ambang andartu. Kasihan juga si rakannya ini, juga menghadapi masalah mencari jodoh. Bukannya apa, terlalu memilih. Sebenarnya si rakan ini tertekan, kerana seorang demi seorang rakan di kalangan mereka sudah mendirikan rumah tangga. “Eh, takkanlah aku nak keseorangan membujang, sedangkan rakan2 yang lain dah selamat berbahagia. Tak boleh jadi ni..” Mungkin itulah yang bermain – main di fikirannya.

Jadi apabila si gadis yang malang ini meminta nasihat rakannya yang turut malang itu, maka inilah peluang rakannya untuk menusukkan jarum – jarum hikmat. Biar sama – sama tak kahwin. Dia tak sanggup digelar andartu keseorangan. Biarlah rakannya turut mengalami nasib yang sama sepertinya.

Dijadikan cerita pula, si lelaki tadi telah melakukan beberapa tindakan yang kurang disenangi oleh si gadis itu. Maka inilah yang dijadikan modal oleh si gadis untuk semakin menolak cinta lelaki tadi. Alasan yang remeh. Tidakkah dia tahu bahawa tiada siapa yang perfect? Setiap dari manusia itu termasuklah diri gadis itu sendiri bukanlah maksum. Jadi, bagaimana si gadis itu nak mengharapkan seorang lelaki yang perfect kalau dirinya sendiri juga tidaklah seperfect mana.

Beginilah mentaliti kebanyakan perempuan yang terlalu memilih, mereka tercari – cari Mr. Perfect, mereka tercari – cari Mr. Right menurut benchmark yang mereka tentukan sendiri. Tanpa menyedari bahawa memang tak pernah wujud Mr. Right atau Mr. Perfect di dunia ini. Mereka tertipu dengan kisah – kisah Cinderella, Snow White dan Thumbelina ciptaan Barat. Cuma kisah – kisah ini telah diIslamisasikan menjadi kisah – kisah Ayat – ayat Cinta, Bila Cinta Bertasbih, Wanita Berkalong Sorban dan juga Pemilik Cintaku Selepas Allah dan Rasul. Kisah – kisah sebegini meniti di minda mereka, mengharapkan kisah cinta mereka juga sehebat Laila dan Majnun. Apakah mereka buta?

Dek kerana kesalahan lelaki itu, maka si gadis dan rakannya semakin mencari alasan untuk menjustifykan keputusan si gadis untuk memutuskan pertunangan itu. Si rakannya pula telah menyiarkan kisah menyayat hati gadis itu di forum maya – kononnya bertanyakan pendapat ahli – ahli forum mengenai masalah besar yang dihadapi oleh gadis itu. Maka ahli – ahli forum yang jahil dan terlalu cetek pengalaman hidup turut menyokong tindakan si gadis untuk memutuskan pertunangan tersebut. Maka gembiralah si gadis dan rakannya kerana telah mendapat ‘restu’ dari ahli – ahli forum untuk meneruskan tindakannya.

Tidakkah gadis itu tahu, bahawa dalam mana – mana perhubungan jua, pasti ada salah dan silapnya. Pasti ada yang tak kena di hati. Tapi adakah itu boleh dijadikan lesen untuk memutuskan sesebuah perhubungan? Hanya mereka yang pendek akal sahaja memilih jalan mudah dengan segera memutuskan perhubungan tersebut.

Sedangkan bagi yang bijak, mereka akan cuba mencari jalan untuk mengatasi sebarang masalah yang dihadapi. Mereka yang bijak tidak mudah berputus asa dan menyedari bahawa tiada gunanya melarikan diri dari masalah dengan cara memutuskan hubungan semudah itu. Mereka yang bijak sedar bahawa jika tidak dengan lelaki ini, maka hubungan dengan lelaki lain juga tetap mempunyai masalah tersendiri. Maka terpulanglah di atas kebijakan atau kebodohan gadis itu untuk mencari penyelesaian kepada masalahnya.

Bagi mereka yang cerdik juga, mereka telus di dalam komunikasi. Jika ada sebarang perbuatan si lelaki yang tidak disenanginya, maka seeloknya bawalah perkara tersebut untuk berbincang. Bincang dengan baik dan tenang dan nyatakan pandangan masing – masing dengan ikhlas demi untuk kebaikan bersama. Yang sedihnya, si gadis ini langsung bertindak berhenti berbicara dengan lelaki tersebut. Segala sms lelaki itu tak berbalas. Bukankah tindakan itu kebudak – budakan?

Gadis itu terlupa, yang syaitan sangat licik memainkan peranannya untuk menusukkan jarum was – was dan ragu – ragu ke dalam dirinya. Syaitan sangat bijak memainkan peranannya untuk memberi idea – idea yang bernas agar pertunangan itu diputuskan. Syaitan semakin bergembira kerana satu lagi bakal masjid akan roboh. Malah syaitan yang bijak itu menggunakan rakan si gadis sebagai ‘syaitan bertopengkan manusia’ untuk melicinkan gerak rancangannya. Maka bergembiralah syaitan – syaitan dan syaitan manusia kerana rancangan licik mereka berjaya. Ini merupakan kejayaan besar buat mereka.

Itulah wanita, yang sememangnya amat mudah digoda syaitan tanpa mereka sedari. Maka akhirnya, siapa yang rugi?

Allahua'lam. Semoga Allah merahmati dan memberi petunjuk kepada kita semua, ameen.

Wednesday, July 14, 2010

SITI HAJAR: Wanita yang Sabar

Dari link: http://unity99.tripod.com/sitihajar.html

Dalam bahang terik mentari, di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim a.s. terus menunggang unta bersama Siti Hajar. Walaupun perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.

Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu.Setelah lebih kurang 6 bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah. Nabi Ibrahim memilih salah sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim a.s. turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.

Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikitpun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya tentang perintah Allah SWT itu. Sepanjang perjalanan tadi lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.

Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim a.s. bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu : "Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?" Tanpa memandang wajah isterinya yang dicintainya, Nabi Ibrahim a.s. hanya mampu menganggukkan kepala. ""Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini." ""Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu..." ""Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?" Hati Nabi Ibrahim a.s bagai disayat-sayat. Pilu dan pedih hatinya, hanya Allah SWT yang tahu. "Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah SWT."

Bila disebut ia perintah Allah SWT, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah SWT, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ. Dia sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah SWT. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah SWT itu? Sewaktu gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah SWT, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelusuk dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah SWT.

Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan ALlah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan... Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya : "Jika benar ia adalah perintah Allah SWT, tinggalkanlah kami di sini. Aku redha ditinggalkan" suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya yang berlinangan. Ditabahkan hatinya dengan berkata : "Tentang keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah SWT. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini."

Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta redha di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. "Cuma...," katanya lagi, "doakanlah agar datang pembelaan Allah SWT kepada kami." Nabi Ibrahim a.s sangat terharu dan bersyukur. Isterinya Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa :

"Ya Tuhan kami, aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka dari buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu.”

Menitis airmatanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan yang padu pada janji Allah SWT, ditunaikan juga perintah Allah SWT walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar. Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim a.s terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah SWT.

Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah di dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang akan berlaku. Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga telah kering sama sekali. Anaknya Ismail a.s menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu?

Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun SIti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air. Diapun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia telah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air.

Walaupun tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang telah kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi.

Tiba-tiba dengan rahmat Allah SWT, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail a.s. Waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku."

Selepas peristiwa itu, kabilah-kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Mekah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah SWT. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Mekah menjadi tumpuan manusia untuk berdatangan.

Ya, Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan isteri Nabi yang paling dicintai ALlah SWT, adalah perintis kepada semua peristiwa itu, hingga Makkah sekarang menjadi tempat yang paling diberkati dan aman.