Sunday, February 14, 2010

SUSU IBU - Siri 5

(samb. 5/5)

PILIH YANG MANA SATU

Kisah tiga ibu

Ini juga merupakan paparan yang menarik untuk ditafsirkan. Terdapat tiga wanita di dalam gambar ini. Wanita yang kiri sekali memberikan anaknya susu formula melalui botol. Wanita tengah adalah seorang ibu yang sedang mengandung. Wanita ketiga pula seorang ibu yang menyusukan bayinya dengan susu ibu.

Jika diperhatikan sehalusnya, dapat kita lihat bahawa tiada ‘eye contact’ atau perhubungan mata antara wanita pertama dengan anaknya yang menyusukan susu formula itu. Ibunya asyik memandang ke arah lensa kamera untuk memastikan wajahnya menarik ketika gambar diambil. Dia langsung tidak memandang wajah anaknya yang sedang menyusu, dan si anak pula sibuk memandang ke arah lain tanpa memperdulikan ibunya.

Ibu ketiga (ibu yang memberikan susu ibu) pula adalah sebaliknya. Beliau langsung tidak menghiraukan lensa kamera kerana lebih asyik memerhatikan bayinya yang enak menyusu. Bayinya juga turut memerhatikan ibunya dengan penuh kasih sayang. Mereka berada di dalam dunia mereka sendiri seperti dua insan yang bercinta. Inilah penangan susu ibu. Hanya mereka yang pernah menyusukan bayi mereka yang sepenuhnya sahaja memahami perasaan ini.

Manakala ibu kedua pula sibuk memikirkan ketika bayi yang bakal dilahirkan kelak, ibu yang mana akan dicontohinya? Ibu pertamakah atau ibu ketiga?


SEKEPING GAMBAR SERIBU EMOSI

Seorang ibu bersama anak kembarnya

Ini gambaran benar. Tiada penipuan grafik, tiada ‘editing’ dibuat pada gambar ini, tiada ‘superimpose’. Ini adalah seorang ibu dari negara dunia ketiga yang telah diberitahu bahawa dia tidak akan mampu menyusukan kedua – dua anak kembarnya. Jadi dia telah memilih untuk menyusukan susu ibu pada seorang bayi, manakala seorang bayi lagi diberi susu formula. Masalahnya, ibu ini datang dari keluarga yang miskin. Dia terpaksa mencairkan adunan susu formula itu untuk mencukupkan jumlah kekerapan penyusuan anaknya. Air yang digunakan untuk membancuh susu formula itu belum tentu bersih atau direbus sebaiknya. Peralatan seperti botol susu, puting susu dan lain – lain belum tentu tahap kebersihannya. Maka inilah hasilnya, bayi yang diberi susu badan membesar dengan baik sekali, manakala bayi yang diberi susu formula mengalami masalah ‘failure to thrive’ atau tumbesaran yang terbantut. Inilah kenyataannya…


SOKONGAN PIHAK KERAJAAN

Banyak negara yang semakin menyokong penyusuan susu ibu. Contohnya:

1) Negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) – sedang giat menjalankan aktiviti untuk menyokong penghasilan draf yang menggalakkan penyusuan susu ibu. Usaha – usaha sedang dijalankan untuk mengisukan resolusi draf kebangsaan yang mematuhi “Kod Etika Pemasaran Susu Tepung” yang mengenakan sekatan terhadap pemasaran susu tepung.

2) California – dalam usaha untuk mempromosikan penyusuan susu ibu; pada bulan Disember 2005 contohnya, Massachussets telah mengharamkan pihak hospital dari memberi beg – beg hadiah yang mengandungi susu formula percuma kepada ibu – ibu baru…


Jururawat terlatih sedang mengajar ibu – ibu bagaimana untuk memegang bayi dengan posisi yang betul ketika menyusukan bayi.


DUNIA RAKAN BAYI

Seterusnya kita berharap agar suatu hari nanti, seluruh dunia akan bersatu hati dan menyokong usaha mempromosi dan melaksanakan polisi penyusuan susu ibu dengan cara:
· Memartabatkan peranan & sumbangan wanita terhadap kesihatan kanak – kanak, masyarakat & dunia
· Meringankan tanggungjawab ‘keibuan’, perkhidmatan ANC, perbidanan dan kelahiran yang mesra ibu
· ‘Empowering women’ – menyatukan aktiviti produktif dan reproduktif


Undang - undang di Louisiana dengan jelas menerangkan, "penyusuan susu ibu tidak menyalahi undang - undang." "Seorang ibu boleh menyusukan bayinya di mana - mana kemudahan awam, resort atau taman."


Bilakah kita dapat berbuat begini?? Anda yang menentukan



SIAPAKAH YANG PALING BERPENGARUH KETIKA IBU DI DALAM PANTANG?

Rata – ratanya bersetuju bahawa neneklah sebenarnya yang paling kuat pengaruhnya kepada ibu yang masih di dalam pantang. Nenek dianggap sebagai pembuat keputusan yang penting terutamanya mengenai cara bagaimana bayi disusukan. Ini kerana mereka dianggap telah terlebih dahulu melalui pengalaman ini dan mempunyai pengetahuan yang lebih berbanding dengan ibu – ibu muda itu.

Maka kini terdapat kumpulan – kumpulan nenek yang turut diajak untuk sama – sama terlibat dengan promosi penyusuan susu ibu secara eksklusif dengan harapan bahawa mereka dapat membuat keputusan yang bijak ketika menentukan samada bayi patut diberi susu ibu atau susu formula.


KUASA TUHAN

Oleh itu, jelas sekali bahawa penyusuan susu ibu merupakan pilihan terbaik untuk pemakanan bayi. Perkara ini telah ditegaskan di dalam Islam sejak kira – kira 1400 tahun yang lalu apabila dua ayat Al-Quran telah diturunkan hanya semata – mata untuk menerangkan panduan mengenai penyusuan susu ibu kepada bayi.


“The mothers shall give suck to their children for 2 whole years, for those who desire to complete the suckling, but the father of the child shall bear the cost of the mother’s food and clothing on a reasonable basis… And if you decide on a wet nurse for your children, there is no sin on you, provided you pay what you agreed on a reasonable basis.” ( Al-Baqarah: 233 )

“…And if they are pregnant, then spend on them till they deliver. Then if they give suck to the children for you, give them their due payment.” (At-Talaq: 6)

Yang pasti, Maha Pencipta amat mengetahui apa yang terbaik untuk umat manusia. Persoalannya cumalah, mahukah manusia itu mengikuti perintah-Nya?

SUSU IBU - Siri 4

(samb. 4/5)

IMPIAN SETIAP ANAK

Saya pernah menghadiri satu ceramah oleh Dr. Musa Noordin, seorang pakar kanak – kanak yang terkenal. Beliau menunjukkan paparan yang serupa dengan ini, yang amat menyentuh hati saya:


Tanya beliau kepada kami para hadirin, “Apakah agaknya impian seorang kanak – kanak?”

Kami terdiam memikirkan jawapannya. “Ingin sebuah rumah yang besar?, ingin makanan yang sedap – sedap?, ingin permainan yang hebat –hebat?” itukah yang mereka inginkan?” fikir saya. Namun, beliau menunjukkan keseluruhan paparan itu:



Ya, yang sebenarnya mereka hanya ingin HIDUP! Jika mereka tidak bernyawa, bagaimana mungkin mereka dapat mencapai impian yang lain? Mungkin bagi kita yang dewasa, perkara ini dipandang remeh kerana tidak semudah itu untuk kita mati. Tetapi tidak bagi kanak – kanak, kerana hanya dengan mendapat cirit – birit yang teruk sudah cukup untuk mereka menderita. Dengan tahap imuniti yang masih belum matang dan keadaan fizikal mereka yang masih membesar, setiap penyakit merupakan cabaran yang amat besar bagi anak – anak ini. Cabaran untuk terus HIDUP!

Dengan pemberian susu ibu, dapatlah kita membantu mereka untuk menghadapi cabaran – cabaran itu. Bukannya dengan memberi pakaian yang cantik – cantik, mainan yang hebat – hebat, mahupun dengan memberi pemakanan kelas rendah (low grade food) seperti susu formula!


KEANGKUHAN SYARIKAT SUSU FORMULA

Seterusnya Dr. Yazid menunjukkan paparan yang berikut. Ini juga menunjukkan kepincangan syarikat pengeluar susu formula. Betapa angkuhnya mereka mengaku akan hakikat yang tak seberapa ini. Jauh langit dari bumi sebenarnya…

Sekarang, makin hampir ke susu ibu?

Tak sanggup untuk saya menatap penipuan yang terang – terangan ini. Boleh syarikat ini mengaku bahawa susu formula keluaran mereka semakin menghampiri susu ibu? Langsung tidak masuk dek akal. Hanya mereka yang tidak berpendidikan tinggi sahaja yang boleh tertipu dengan iklan yang sebegini. Jika hanya berdasarkan jumlah nisbah protein dan kasein, laktos, nisbah kalsium kepada fosforus, sudah dianggap hampir menyamai susu ibu, di mana hendak diletakkan antibodi – antibodi, sel – sel hidup, hormon – hormon dan pelbagai macam lagi kandungan nutrisi dan bukan nutrisi yang HANYA terdapat di dalam susu ibu? Di mana? Nasihat saya, janganlah mudah terpedaya dengan tipu helah yang tidak berpenghujung ini. Sedarlah wahai ibu bapa bahawa kuasa membuat keputusan terletak di tangan kita. Tepuk dada tanya selera!

Tidak dinafikan semua syarikat susu formula gergasi berhempas – pulas untuk menghasilkan susu tepung yang ‘terbaik’ dan ‘paling sesuai’ dengan pertumbuhan bayi. Demi untuk merealisasikan hasrat itu, mereka berusaha untuk menganalisis kandungan susu ibu dengan harapan dapat ditiru kandungan itu dan dimasukkan ke dalam susu formula keluaran mereka.

Sebagai contoh, Syarikat M**** J****** telah membuat penambahbaikan terhadap susu formula keluaran mereka berdasarkan kandungan yang terdapat di dalam susu ibu. Berbalik kepada beberapa paparan yang terdahulu,

[sila rujuk perenggan berikut:
Di sini ingin ditambah lagi berkenaan dengan penemuan terbaru LCPUFA (Long Chain Polyunsaturated Fatty Acids). Terdapat pelbagai jenis LCPUFA, dan antara yang paling banyak dibuat kajian adalah DHA (docosahexaenoic acid) dan ARA (arachidonic acid). Kedua – dua DHA dan ARA ini hanya didapati di dalam susu ibu pada jumlah yang sesuai dengan umur bayi tersebut. Didapati bahawa DHA & ARA adalah sangat penting untuk perkembangan otak dan ketajaman penglihatan. Kajian telah menunjukkan bahawa; bayi yang menyusu ibu:
1) MENDAPAT MARKAH LEBIH TINGGI dalam ketajaman penglihatan
2) menunjukkan perkembangan otak yang LEBIH BAIK

Manakala ‘Choline’ (yang juga hanya terdapat di dalam susu ibu) diperlukan untuk asas pembentukan otak bayi dan juga dapat memperbaiki ingatan jangka panjang
.],

Syarikat ini turut menambahkan DHA & ARA ke dalam susu formula mereka berasaskan penemuan di dalam susu ibu ini. Tindakan ini turut disusuli oleh pelbagai syarikat susu formula yang lain. Jangan kita lupa bahawa tindakan mereka yang cuba meniru komposisi susu ibu ini tidak bermakna bahawa susu mereka setanding dengan susu ibu, sebaliknya perbezaan kualiti antara susu ibu dan susu formula adalah amat jauh sekali!

Artikel di bawah juga turut menerangkan akan kebaikan susu ibu yang mengandungi ‘Mikrobiota’ yang amat berguna untuk pertumbuhan usus yang baik:

Penyelidik artikel ini mendapati bahawa ‘mikrobiota’ yang terdapat di dalam usus bayi – bayi yang menyusu susu ibu adalah dianggap sebagai ‘gold standard’. Komponen utama mikrobiota ini terdiri daripada bakteria dari spesis bifido (bifidobacteria), yang menyumbang kepada 70% daripada jumlah total mikrobiota di dalam bayi – bayi ini.


Ini pula merupakan asas bagi penambahan probiotik di dalam susu formula keluaran D****.


Berdasarkan artikel di atas, penyelidik dari Syarikat D**** sendiri mengakui bahawa di antara perbezaan yang paling ketara di antara bayi susu ibu dan bayi susu formula adalah pertumbuhan flora usus. Mereka turut mengakui bahawa tugas pertama mereka adalah untuk membangunkan teknik – teknik untuk menganalisa flora usus ini berdasarkan asas biologi molekul, supaya dengan ini dapatlah jarak perbezaan di antara bayi susu ibu dan bayi susu formula dikurangkan.


STRATEGI PEMASARAN SYARIKAT SUSU FORMULA

Persaingan di dalam perniagaan sentiasa sengit. Siapa yang paling bijak memasarkan produknya, pasti memperoleh pulangan yang lumayan. Untuk itu, strategi pemasaran yang komprehensif dan bertepatan perlu dijalankan. Dan inilah apa yang dilakukan oleh syarikat susu formula secara umumnya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat keuntungan yang maksimum.

Antara medium yang diguna pakai adalah melalui pengiklanan media masa dan penjualan susu secara retail. Manakala kumpulan sasaran mereka terdiri daripada pihak hospital, persatuan – persatuan profesional, pengamal perubatan seperti doktor, jururawat dan bidan, dan yang paling utama, ibu – ibu dan bayi – bayi itu sendiri.


Berdasarkan carta ini, dapat dilihat betapa komprehensif sekali cara mereka merapati dan menaburkan janji – janji manis mereka kepada kumpulan sasaran itu. Ini menunjukkan betapa mereka sebenarnya begitu hampir dengan kaum ibu dan bayi, dengan cara mempengaruhi pemikiran ibu – ibu ini secara langsung (melalui iklan contohnya) ataupun tidak (melalui pihak hospital, doktor dan lain – lain). Kaum ibu janganlah leka dan membiarkan syarikat – syarikat ini mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap kita. Kita haruslah sedar akan tanggungjawab kita untuk memberikan yang terbaik kepada anak – anak kita, terutamanya dari segi pemakanan mereka. Pastilah tugas ini tidak boleh diserahkan kepada lembu – lembu yang tidak tahu berfikir dan membuat keputusan seperti kita!